Saya dan kami penulis-penulis blog pun tidak mahu disalah anggap, di mana peranan kami juga adalah untuk membangunkan negara Malaysia yang kami cintai ini.
By IBNU HASYIM
SAYA penulis blog ibnuhasyim blogspot.com masih menunggu, bila lagi Kementerian Penerangan di bawah Datuk Ahmad Shabery Cheek hendak memanggil blogger-blogger yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ini baik penyokong kerajaan atau pembangkang.
Sebelum itu, Datuk Ahmad Shabery berkata pendapat penulis blog tidak boleh diketepikan dan beliau akan bertemu mereka secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat balas berhubung pembinaan negara.
Beliau berkata Kementerian Penerangan memandang berat peranan yang dimainkan media alternatif seperti laman blog dan internet kerana mereka mempunyai peranan tersendiri dalam membina negara.
Contoh, menurutnya lagi ada peranan yang penulis-penulis blog mainkan dalam pilihan raya lepas.
Ada mesej ingin disampaikan kepada kerajaan, yang banyak dimainkan oleh pengundi kelas pertengahan dalam mendapatkan maklumat. Peranan yang dimainkan mereka perlu diketahui.
Ahmad Shabery, yang dilantik ke jawatan itu ekoran pilihan raya 8 Mac, berharap pertemuannya dengan penulis blog tidak akan disalah anggap oleh mana-mana pihak kerana Kementerian Penerangan berhasrat untuk menjadi jambatan kepada sesiapa sahaja termasuk golongan itu untuk disampaikan kepada pihak lain.
"Pandangan bloggers tidak boleh diketepikan. Mereka menjadi saluran terus untuk rakyat menyampaikan pandangan walaupun kadang kala cara penyampaian mereka negatif," katanya.
Ahmad Shabery juga berkata kewujudan pelbagai laman blog akhir-akhir ini sebagai alat untuk menyalur pandangan peribadi, seakan-akan terlepas pandang oleh sesetengah pihak.
"Setiap orang sudah ada kebebasan untuk menjadikan ia (laman blog) sebagai pusat penyebaran maklumat. Kita terlepas pandang dengan peranan yang dimainkan mereka, untuk memahami perasaan mereka secara langsung," katanya lagi.
Saya dan kami penulis-penulis blog pun tidak mahu disalah anggap, di mana peranan kami juga adalah untuk membangunkan negara Malaysia yang kami cintai ini.
Penulis-penulis blog lucah atau yang mempamirkan gambar lucah juga perlu dipanggil, supaya kegiatan mereka boleh disejajarkan demi pembangunan negara dan agama-agama di negara ini.
Sekian, harap maklum. Terima kasih untuk semua, terutama kepada Datuk Ahmad Shaberi yang nampaknya agak prihatin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan