KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 27, 2008

Umno Bahagian CHERAS Dilihat "LANGGAR" Arus Presiden Umno?

Umno Bahagian Cheras berpendirian Abdullah harus bertanggungjawab ke atas prestasi buruk BN keseluruhannya termasuk di Pulau Pinang yang ditawan oleh pembangkang!

By AGENDADAILY

UMNO Bahagian Cheras,Kuala Lumpur mendahului bahagian-bahagian lain dengan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membolehkan mereka meluah rasa dan membuat pendirian bagi ‘merawat’ Umno ekoran pilihanraya umum ke 12 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang empat negeri lagi.

Mesyuarat selama kira-kira dua jam yang berlangsung di pejabat Umno Bahagian itu di Jalan Peel Selasa malam dihadiri oleh pimpinan empat peringkat iaitu Bahagian,Pemuda,Wanita dan Puteri.

“Biarlah segalanya bermula di Cheras. Kita nak bagi peluang semua orang bercakap agar kita tahu isi hati mereka sebenar dan tahu bagaimana perasaan orang dibawah.

"Kita tidak mahu hanya Ketua Bahagian seorang diri buat kenyataan sokong itu… sokong ini… sikap dan tindak tanduk ini harus dihentikan demi keutuhan Umno,” kata Ketua Umno Bahagian itu Senator Datuk Syed Ali Alhabshee ketika ditemui lepas mesyuarat itu.

Seperti yang diduga mesyuarat berkenaan berlangsung panas dimana sebilangan pemimpin empat peringkat bahagian itu bangun bersuara secara terbuka perkara-perkara yang mereka tak puashati dan mahu diperbetulkan segera.

Menurut Syed Ali pimpinan Umno kini harus ubah segera cara mereka setelah rakyat memberi mesej jelas menerusi keputusan pilihanraya baru-baru ini.

“Kalau itu tak faham lagi dan masih nak terus dengan berpolitik cara lama saya merasa khuatir dan bimbang Umno boleh jadi parti syok sendiri dan kelak dilihat oleh orang ramai tak relevan lagi,” katanya.

Dalam usaha untuk ‘merawat’ Umno agar ia dilihat lebih demokratik, terbuka dan serasi dengan senario semasa, mesyuarat itu telah meluluskan 12 resolusi yang antaranya melibatkan soal kuota pertandingan jawatan dan diadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan perwakilan meluah rasa bagi memantapkan lagi parti.

Resolusi pertama mesyuarat itu menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno perlu diberi ruang serta peluang secukupnya untuk meneruskan agenda parti dan pentabiran negara serta tidak perlu letak jawatan ekoran kegagalan mengekalkan majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat pada pilihanraya 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, ia berpendirian Abdullah harus bertanggungjawab ke atas prestasi buruk BN keseluruhannya termasuk di Pulau Pinang yang ditawan oleh pembangkang.

Umno Bahagian Cheras mencadangkan agar kesemua jawatan tertinggi parti disemua peringkat dipertandingkan bagi membolehkan ahli-ahli parti menterjemahkan pendirian secara jelas mengenai kehendak serta aspirasi mereka terhadap pucuk pimpinan parti serta hala tuju parti.

Dalam hal ini, ia mahu sistem kuota yang dikuatkuasakan selama beberapa penggal yang lalu bagi pertandingan jawatan parti dimansuhkan agar parti dilihat benar-benar demokratik dan keputusannya lebih dihormati rakyat.

Menurutnya, ini kerana mana-mana calon yang menang akan dianggap sebagai pemimpin sebenar diterima oleh ahli-ahli Umno seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan asal Umno.

Sebagai catatan sekarang Perlembagaan parti menetapkan mereka yang hendak bertanding jawatan Presiden Umno mestikan dapat 30 peratus pencalonan dari 191 Bahagian Umno di seluruh negara manakala Timbalan Presiden 20 peratus, Naib Presiden 10 peratus dan ahli Majlis Tertinggi 5 peratus.

"Kalau jawatan-jawatan ini tidak dipertandingkan, kita tidak tahu kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden di dalam parti. Jika ada pertandingan, kita boleh menilai kekuatan Presiden dan Timbalan Presiden diakar umbi," kata Syed Ali.

Beliau yakin pertandingan untuk dua jawatan tertinggi itu tidak akan memecah belahkan parti, malah akan mengukuhkan perpaduan dalaman dan meningkatkan maruah mereka yang menang.

"Biar rakyat tahu Umno amalkan demokrasi sihat, biar orang bertanding,"ujarnya.

Selaras dengan itu ia memohon supaya diadakan satu Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat ini bagi membolehkan Presiden Umno dan barisan kepimpinan Majlis Tertinggi Umno mendengar secara jelas dan terbuka apa jaga kritikan,saranan dan cadangan ahli-ahli parti di peringkat akar umbi kearah membina semula kemantapan Umno secara keseluruhan.

Perhimpunan khas itu juga bagi membolehkan meminda Perlembagaan untuk memansuhkan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Menyentuh tentang resolusi ini, Syed Ali menjelaskan ia ia tidak ada kena mengena dengan cadangan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah supaya diadakan perhimpunan khas pada 11 Mei nanti.

“Perhimpunan khas yang kami cadangkan itu perlu bagi meminda Perlembagaan Umno berhubung kuota pencalonan bagi melayakan seseorang nak bertanding,” katanya.

Mengenai pemilihan jawatan lagi, Umno Bahagian Cheras berpendapat ia wajar diadakan sebelum pilihanraya umum diadakan dan tidak seperti sebelum ini iaitu lepas pilihanraya.

“Biar semua berentap dulu dan selesaikan masalah pertandingkan agar fokus sepenuhnya dapat diberi pada pilihanraya,” katanya.

Mengenai institusi Kesultanan Raja-raja Melayu pula ia mahu seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan ahli-ahli Umno sentiasa memelihara dan mempertahankan kedaulatan institusi itu.

Umno Bahagian itu juga mahu setiap pemimpin parti supaya berani bersuara memperjuangkan kepentingan parti ,rakyat dan orang Melayu dan tidak sekali-kali mengamalkan sikap bodek dan mengampu yang jelas melemahkan samaada organisasi mahupun orang Melayu sendiri!

Tiada ulasan: