Kunjungan kami ke Bilik Gerakan Dun PKR Kota Damansara: Siapapun tidak menyangka, Dr. Mohd Nasir Hasyim kini bergelar YB
yang akan memperjuangkan nasib rakyat marhaen!
Kami turut membantu rakan akrab, S Arutchelvan dari PSM yang bertanding atas tiket PKR di Dun Semenyeh. Beliau tewas pada calon BN.
By TARMIZI MOHD JAM
PILIHAN RAYA ke 12 ini selayaknya dijulang sebagai "tsunami akhbar" yang menghentam keangkuhan Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun Malaysia merdeka.
Beberapa hari sebelum hari mengundi, Presiden Partai Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Mohd Nasir Hasyim yang bertanding atas tiket PKR di Dun Kota Damansara, nampak kurang bermaya dan melihat harapan untuk menang "tipis" di kerusi itu.
Saya bersama Cikgu Ishak Surin bertandang sekejap ke Bilik Gerakan PKR Dun Kota Damansara yang terletak di Lembah Subang, untuk menziarah beliau dan bertanya khabar.
Kami tidak sempat membantunya berkempen di sana, kerana waktu sudah terlalu suntuk dan masa kami banyak dihabiskan di Parlimen Titiwangsa dan sekitar Batu.
Tetapi, sebelum itu kami telah membantu rakan baik dari PSM juga, S. Arutchelvan a/l Subramaniams, calon PSM yang bertanding atas tiket PKR di Dun Semenyih dalam Parlimen Hulu Langat.
Arul adalah Setiausaha Agung PSM. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan kedua-dua tokoh PSM ini kerana perjuangan mereka yang konsisten dalam membela nasib pekerja estet, setinggan atau peneroka bandar yang sentiasa ditindas oleh pihak kerajaan dan pekerja kilang yang diperas majikan.
Tiga calon PSM bertanding pada pilihan raya kali ini. Presidennya, Dr. Mohd Nasir Hasyim di Dun Kota Damansara, Arul di Dun Semenyeh dan seorang lagi Dr. D Jayakumar, salah seorang Naib Presiden PSM yang mencatat sejarah berjaya menumpaskan Presiden MIC, Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput.
Dalam pertemuan kami dengan Dr. Nasir pada pagi Jumaat itu, beliau melihat terdapat ruang perpecahan dalam Umno sendiri apabila meletakan calon baru, Datuk Zin Isma Ismail dengan mengetepikan penyandang Datuk Mokhtar Dahalan.
Namun, harapannya untuk menang, sukar dibayangkannya kerana pelbagai jentera kerajaan dan kemudahan berpihak kepada BN. Ketika, itu seperti juga orang lain dan penganalisa politik, sukar untuk membuat ramalan apa yang akan terjadi.
Faktor kononnya, orang-orang Datuk Mokhtar menikam dari belakang Zin Isma, sudah tidak penting kerana kecondongan pengundi secara keseluruhannya memang memihak kepada Barisan Rakyat.
Sikap pengundi juga tidak terjangkau untuk diukur, arah undian mereka sebelum pilihan raya ke 12 ini. Apa yang dirasai, memang ada perubahan dan akan berlaku anjakan paradigma.
Rupa-rupanya, Dr. Nasir yang tidak menjangkakan menang, antara yang menang pada pilihan raya kali ini bersama rakannya, Dr. D Jayakumar.
Dr. Nasir menewaskan calon BN Datuk Zin Isma dengan majoriti sebanyak 1,075 undi. Beliau meraih 11,846 undi dan Zin Isma mengutip 10,771 undi.
Samy Vellu yang liat untuk ditumbangkan dari dalam MIC akhirnya tumpas ditangan Dr. D Jayakumar apabila tokoh PSM itu menang dengan majoriti 1,821 undi.
Beliau mendapat sebanyak 16,458 undi dan Samy memungut 14,637 undi. Seorang calon Bebas, Norizan Oon pula meraih hanya 864 undi.
Kemenangan ini membuktikan Samy sudah tidak relevan lagi untuk MIC dan BN. Barangkali, sikap degil dan mulut celuparnya Samy banyak membantu kemenangan lawannya.
Sementara Arul yang menentang calon BN di Dun Semenyeh gagal merebut kerusi itu apabila berjaya mengutip sebanyak 10,448 undi berbanding calon BN, Johan Aziz memungut 11,588 undi dengan majoriti 1,140 undi.
Apapun, saya mengucapkan selamat berjuang dan bertugas kepada kedua-dua rakan yang "Yang Berkhidmat" - Dr. Mohd Nasir Hasyim dan Dr. D Jayakumar, masing-masing di Dun Kota Damansara, Selangor dan Parlimen Sg. Siput, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan