KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 27, 2008

Khir, Mohamad Antara MT Yang Mahu PEMILIHAN UMNO Diteruskan!

By HERMAN HAMID

DI SEREMBAN, ahli MT Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mahu pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun ini diteruskan demi masa depan parti.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bagi saya, kita jangan lari daripada masalah. Kita kena hadapinya. Kita tangguh sampai bila pun, masalahnya akan ada juga.

“Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini memberi pengajaran yang amat mahal. Kita kena rasional. Kalau kita sayangkan Umno, tidak payah kita tangguhkan lagi pemilihan.

“Kalau agenda peribadi mengatasi perjuangan, tangguhkan sampai bila pun, ia tidak akan menyelesaikan masalah,’’ jelas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, cadangan menunda pemilihan Umno ke tahun depan tidak membawa sebarang makna kerana akhirnya pemilihan itu akan tetap dijalankan.

“Tidak ada bezanya jika pemilihan ditangguhkan ke tahun depan. Pemilihan sepatutnya diteruskan seperti yang dirancang,” katanya ketika dihubungi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan, Umno patut mencontohi MCA yang tetap meneruskan pemilihan parti itu walaupun MCA memperoleh keputusan pilihan raya yang lebih buruk pada pilihan raya umum lepas.

MCA hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mohamad Khir turut mencadangkan pucuk pimpinan Umno mendapatkan pandangan ahli-ahli peringkat bawahan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

Berdasarkan amalan parti, katanya, banyak keputusan yang diputuskan di peringkat atasan dibuat tanpa mendapatkan maklum balas ahli-ahli akar umbi.

“Kita tanya ahli-ahli, adakah mereka mahukan pemilihan diadakan lebih cepat? Dari situ baru kita putuskan sama ada perlu teruskan pemilihan tahun ini atau menangguhkannya ke tahun depan,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata, ahli-ahli Umno di peringkat mana sekalipun telah mempunyai kematangan dalam politik.

Katanya, dakwaan sesetengah pihak kononnya pertandingan akan mengundang perpecahan hanyalah satu andaian.

“Pemilihan parti adalah peluang untuk ahli-ahli Umno mencari pemimpin yang terbaik untuk memimpin parti. Jika ia terus dilewatkan, kita akan terus berhadapan dengan masalah terutama dari segi persepsi rakyat,’’ katanya.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Titiwangsa, Mohd. Idham Yasser berkata, ramai pemimpin Umno tidak bersetuju pemilihan parti ditangguhkan.

“Pemuda Umno sendiri berhadapan dengan sekatan had umur jika pemilihan ditunda. Akan ada ramai yang terlepas peluang memimpin pergerakan Pemuda kerana melewati had umur,” jelasnya. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: