KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 31, 2008

Konsep Raja Berperlembagaan: AZIZ BARI SANGGAH RAIS YATIM

Hanya Raja yang berilmu dan beriman dapat membuat keputusan yang tegas dan bijaksana itu kerana sebenarnya bukan mudah untuk berdepan dengan suasana yang tegang dan membingungkan seperti kemelut yang melanda politik hari ini!

By TARMIZI MOHD JAM

DALAM wawancara dengan Berita Minggu semalam (30 Mac) Menteri Luar Datuk Seri Utama Rais Yatim seolah-olah menyatakan bahawa tindakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertentangan dengan konsep raja berperlembagaan.

Beliau juga menyatakan perlantikan pakatan pembangkang sebagai kerajaan negeri tidak mengikuti undang-undang kerana ia bukan satu entiti sebagaimana Barisan Nasional.

Saya menghubungi Profesor Dr Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan. Beliau terlebih dahulu memberi definisi raja berperlembagaan.

Katanya konsep itu tidak semestinya bertindak mengikut nasihat kerana raja berperlembagaan sebenarnya “merujuk kepada seorang raja yang dibatasi oleh kekangan-kekangan tertentu dalam tindakan-tindakannya, khususnya yang berhubung dengan pentadbiran negeri.”

Dalam soal perlantikan kerajaan, konsep raja berperlembagaan adalah jelas kerana, katanya lagi, raja tertakluk kepada beberapa kriteria yakni calon itu mesti ahli dewan yang mempunyai sokongan majoriti dan calon itu mestilah orang Melayu yang beragama Islam.

“Jadi adalah jelas bahawa meskipun raja mempunyai kuasa budibicara dalam perlantikan Menteri Besar, baginda masih tertakluk kepada beberapa syarat yang dinyatakan oleh Perlembagaan.

"Jadi bagaimana Rais boleh membayangkan yang keputusan oleh Pemangku Raja Perak itu tidak selaras dengan konsep raja berperlembagaan?” Aziz bertanya.

Dalam wawancara dengan Berita Minggu itu Rais seolah-olah membayangkan perlunya ada nasihat dari Perdana Menteri.

Aziz tidak setuju kerana dalam soal perlantikan kerajaan, Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri boleh bertindak mengikut budibicara masing-masing.

“Bagaimana mereka hendak mendengar nasihat itu sedangkan orang yang berkenaan belum dilantik menjadi Menteri Besar?

"Ibarat pasangan yang belum bernikah, bagaimana mereka hendak menuntut hak masing-masing? Soal mendengar nasihat cuma timbul bila orang berkenaan telah dilantik menjadi Menteri Besar,” tegas Aziz.

Beliau menambah soal perlantikan adalah soal dan urusan negeri yang diletakkan di bahu Sultan atau Yang di Pertua Negeri. Dan yang penting ia adalah kuasa budibicara yang subjektif sifatnya.

Aziz hairan bagaimana Rais boleh melibatkan Perdana Menteri dalam soal itu kerana Perlembagaan tidak menyebutnya langsung. Selain itu ia juga tidak selaras dengan konsep federalisme yang kita amalkan, tambahnya.

Rais juga mempersoalkan kenapa istana Perak melantik calon dari gabungan parti-parti yang tidak berdaftar sebagai satu entiti sebagaimana Barisan Nasional?

Aziz berkata soal ini tidak timbul kerana Perlembagaan tidak menyebut soal parti; Perlembagaan cuma menyebut seseorang yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli dewan.

Jadi apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja Perak sebenarnya betul di sisi Perlembagaan, tegas Aziz.

“Walaupun pada satu peringkat Lim Kit Siang ada menimbulkan keraguan, dengan mengeluarkan kenyataan meminta ADUN DAP memboikot upacara perlantikan, tindakan tersebut tidak jelas menarik sokongan DAP keatas pakatan PKR-DAP-PAS.

“Apa yang penting ialah selepas itu Lim Kit Siang menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada istana. Selepas itu kesemua ADUN dari ketiga-tiga parti itu solid, berdiri teguh di belakang calon PAS,” terangnya lagi.

Profesor undang-undang UIAM itu tidak bersetuju dengan tanggapan Rais, malah menyifatkan tindakan Raja Nazrin sebagai amat bijak dan menunjukkan pandangan jauh baginda.

“Sebenarnya baginda boleh mengambil jalan mudah dengan melantik Datuk Seri Tajol Rosli selepas Kit Siang mengeluarkan kenyataan mengejut itu.

"Bagaimanapun, saya fikir baginda sedar dan mengikuti perkembangan dan melantik Tajol adalah tidak bijak kerana Kit Siang sendiri tidak menarik DAP keluar dari pakatan berkenaan.

“Baginda mahu membentuk sebuah kerajaan majoriti di dalam dewan. Baginda mahu mengelakkan pembentukan kerajaan minoriti yang kemudiannya akan berhadapan dengan masalah.

“Dengan kata lain Pemangku Raja Perak tidak hanya melihat soal siapa yang memiliki sokongan terbanyak tetapi turut mengambilkira apa akan terjadi selepas kerajaan itu terbentuk,” hurai Aziz dengan panjang lebar.

Aziz berkata apa yang dilakukan oleh Raja Perlis juga betul kerana selain mengikut peruntukan Perlembagaan baginda juga mempastikan sendiri bahawa sokongan yang didakwa itu benar-benar jujur dan bukan diarah atau dilakonkan.

“Apa yang berlaku itu memang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Hal yang sama juga dilakukan oleh Sultan Selangor apabila baginda membuat keputusan mendengar sendiri sokongan itu dari para ADUN DAP dan PAS.

“Tetapi ini terpaksa dibuat apabila laporan media tidak memberi gambaran sebenar dan istana menghadapi kesulitan kerana tidak pasti kedudukan sebenar itu,” ujar Aziz.

Mengenai perlantikan di Terengganu, Aziz menyatakan bahawa sebenarnya kalau kita menerima bahawa Raja adalah pelindung dan penjaga negeri dan Perlembagaan, apa yang dilakukan oleh MPPR itu adalah benar dan tidak menyalahi falsafah Perlembagaan.

“Saya fikir istana tahu dan sentiasa mengikuti perkembangan. Dan MPPR tahu bahawa apa yang dikatakan sokongan majoriti itu tidak harus diterima bulat-bulat kerana ia mungkin akan menghancurkan negeri”.

Aziz berkata sebagai pelindung Perlembagaan, istana Terengganu mempunyai tanggung jawab untuk mempastikan bahawa orang yang didakwa terlibat dengan rasuah dan keganasan politik tidak terus merajalela dengan berselindung di sebalik Perlembagaan.

Beliau berkata dalam kes Terengganu, ada dua jenis kuasa yang terbabit; yang pertama ialah kuasa melantik dan yang kedua ialah kuasa simpanan atau reserve powers untuk melindungi negeri dan Perlembagaan.

“Saya berpendapat istana menggunakan kuasa simpanan itu untuk mengambil tindakan drastik yang tidak pernah kita saksikan selama 50 tahun kita merdeka,” tambahnya.

Apakah ini sesuatu yang buruk?

Aziz berkata apa yang disaksikan ialah sesuatu yang positif kerana kita dapat melihat pelaksanaan sebenar konsep raja berperlembagaan.

“Adalah jelas bahawa konsep raja berperlembagaan itu berguna untuk melindungi rakyat dan sekarang kita dapat melihat sendiri bahawa ia bukan bermakna boneka atau lembu dicucuk hidung yang boleh ditarik ke sana ke mari,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Aziz menambah, hanya Raja yang berilmu dan beriman dapat membuat keputusan yang tegas dan bijaksana itu kerana sebenarnya bukan mudah untuk berdepan dengan suasana yang tegang dan membingungkan.

Dan di sinilah terletak kelebihan sistem beraja kerana raja-raja tidak dilantik oleh ahli politik, tegasnya mengakhiri perbualan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam yeop lame x jumpa.... ape khabor mike.... ni teman radzi abas... member lama mike le... teman baru je jumpa blog ni dari kawan kite
a'a yarab dia yg bagi tau.... kalu mike free call le teman d no 0192382808

Tanpa Nama berkata...

05 lbs of weight loss program, they can help each other in their erection
pills over counter efforts. 5-3 5 grams saturated fat,
like butter, it's a bit heavy almost unbelievable, but that's just
one benefit of taking this ten minute erection pills over counter action steps,
it can often impair your body's metabolism. Every morning when you get 'stressed' and it lasts as long as you erection pills over counter are careful to choose resistant starches. To help you keep your goals in mind.

My web blog pro enhance

Tanpa Nama berkata...

jangan buat berita palsu aku tegaskn!