Rosol berkata sebahagian wakil rakyat BN berhasrat mengundurkan diri bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan sebagai bantahan atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap MB baru itu!
By MALAYSIAKINI
PERLANTIKAN Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu dilihat sebagai tidak mengikut perlembagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Semua Adun yang bilangannya agak besar itu tetap menyokong Datuk Seri Idris Jusoh. Itu satu perkara yang tidak ada perubahan dari segi sokongan.
"Dengan itu, maka sebarang lantikan yang dibuat terhadap orang lain itu, tidak kena dengan Perlembagaan," kata Abdullah ketika diminta mengulas mengenai tindakan 22 Adun BN negeri yang membantah pelantikan Ahmad hari ini.
Sebelum itu, menurut Bernama, Abdullah menyaksikan edisi ke-10 perlumbaan Grand Prix Malaysia di litar Sepang. Beliau turut menyampaikan piala kejuaraan kepada pelumba Scuderia Ferrari Marlboro, Kimi Raikkonen.
Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan sebagai menteri besar baru Terengganu pagi tadi daripada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.
Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar itu bagaimanapun masih belum ditetapkan lagi.
Seramai 22 lagi wakil BN, tidak termasuk Idris, menolak pelantikan tersebut dan memulaukan majlis angkat sumpah dengan alasan Idris mendapat sokongan majoriti dan paling layak.
Jurucakap kumpulan ini, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno, Datuk Rosol Wahid berkata Ahmad boleh dikenakan tindakan pelucutan keanggotaan Umno jika menerima pelantikan tersebut.
Semalam, menjelang pengumuman pejabat Sultan Terengganu berhubung pelantikan Ahmad dan majlis angkat sumpah, Rosol berkata sebahagian wakil rakyat BN berhasrat mengundurkan diri bagi membolehkan pilihanraya kecil sebagai bantahan.
Mereka juga merancang mengusulkan undi tidak percaya kepada Ahmad di sidang Dewan Undangan Negeri. Terengganu mengalami krisis pelantikan menteri besar sejak tamatnya pilihanraya umum 8 Mac.
Dalam pilihanraya itu, BN menguasai 24 daripada 32 kerusi DUN - hilang empat kerusi berbanding 2004.
Idris, yang memulakan gerakan merampas negeri itu daripada pentadbiran PAS, tidak mendapat perkenan istana apabila majlis angkat sumpahnya 10 Mac lalu dibatalkan tanpa sebab.
Ketegangan antara BN dengan istana menimbulkan kebingungan dan ketidakpastian di negeri itu dan juga Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan