KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mac 30, 2008

Fahaman ATHEIS Bawa Saya RAPAT DENGAN ISLAM!


By REDHUAN D OON

ATHIESMA bermakna tidak percaya kepada Tuhan maupun satu kuasa ajaib yang menyeluruh dalam hidup kita.

Saya walaupun dilahirkan dalam keluarga yang beragama Kristian, mula terhakis kepercayaan saya kepada agama tersebut kerana ia tidak dapat menjawab banyak persoalan yang melanda jiwa dan otak saya.

Semasa saya berada dalam darjah enam saya suka belajar dan telah mengisi satu borang belajar secara menerusi pos mel atau surat menyurat untuk mazhab Katholik, iaitu satu cabang penting dalam agama Kristian.

Oleh kerana sumber itu dalam akhbar inggeris mengajak saya memohon untuk dapat pelajaran percuma itu, maka saya pun menulis memohonlah.

Mereka hantar saya bab-bab agama Katholik menerusi pos lebih kurang setiap minggu dan saya mengikuti sepenuhnya sehingga dapat kelulusan dari sumber Katholik itu.

Mereka hantar saya sehelai sijil dimana di dalamnya diperakui saya ini lulus dengan cemerlang agama Katholik.

Tetapi saya tidak berhenti di situ. Saya masih tertanya-tanya dan ingin meneroka lagi mana-mana sumber yang mengajak saya bertanya. Tidak ada sumber lain dalam akhbar zaman itu yang dari agama Hindu, Buddha atau Islam.

Di dalam rumah saya ada disimpan kitab Bible. Boleh dikatakan saya terhafal banyak bab dalam kitab tersebut. Saya tau ayat mana yang mengatakan manusia ini semua berdosa dari zaman nabi Adam lagi.

Saya tau ayat mana yang suruh kita sayang kepada jiran kita macam diri sendiri. Tentang Tuhan sayang dunia ini sehingga menghantar anak tunggalnya untuk diimani oleh sesiapa yang inginkan keselamatan akhirat.

Saya bukanlah cari sangat keselamatan akhirat. Saya cuma nak cari keselamatan dunia. Saya kebingungan mengapa saya lahir ke dunia ini.

Mengapa pula dilahir sebagai lelaki? Mengapa dilahirkan berbangsa Cina? Mengapa tidak berbangsa Melayu yang hidup senang releks sahaja? Cina ni susah. Asyik rotan anak.

Oleh kerana tidak ada sumber lain waktu itu, saya mula menganuti pemikiran atheis. Sebagai seorang atheis yang tidak percaya tuhan, bermakna tidak perlu berdoa, kerana tidak ada tuhan yang akan dengar doa tersebut.

Jika ada apa-apa mau tau, siasat sendiri sehingga dapat. Jika tak dapat, tunggu je lah. Mana tahu, satu hari nanti ada fakta baru keluar yang boleh menerangkan tentang kejadian alam ini.

Namun saya tidak kekal lama sebagai atheis. Jiwa itu apabila dah mula bertanya-tanya akan sentiasa tertanya hebat sehingga diluar kawalan diri kita sendiri.

Perlu juga satu minuman spiritual baginya. Saya mula mencari lebih mendalam menerusi lorong-lorong dalam kawasan perpustakaan. Saya dapat jawatan Penolong Librari di sekolah Victoria.

Saya dapat banyak buku mengenai agama Buddha, Tao atau Zen. Amat kurang waktu itu mengenai Islam atau Hindu. Semua agama saya mau terokai. Mana tau mana yang betul.

Tak akan tau sehingga diterokai dulu. Dengan itu saya menjadi lebih rapat dengan agama Buddha dan Tao. Dalam ajaran tersebut banyak mengajak bertafakur secara alami atau menyeluruh.

Itu dinamakan prinsip Ying dan Yang. Ada jantan, ada betina. Ada hitam, ada putih. Semua benda ada oppositenya. Saya pun berfikir waktu itu saya akan akhiri hidup saya sebagi sami buddha di atas gunung Nepal satu hari nanti.

Namun akhirnya tidaklah begitu. Apabila berlaku krisis dalam keluarga, saya menjadi agak panik dan serius tentang kemana harus saya bertanya untuk mendapatkan jawapan nekad.

Saya buka diari saya dan menulis kata-kata yang ditujukan kepada tuhan, seolah-olah mengaku diri tuhan itu ujud dan boleh memberi jawapan pulak kembali ke saya.

Enam bulan kemudian saya memeluk Islam iaitu pada tanggal 12hb, Januari, 1980. Hidup saya mengambil arah dan arus yang cukup menarik selepas itu.

Sehingga hari ini saya kira hala tuju perjalanan saya belum selesai. Namun banyak soalan hidup saya terjawab menerusi beberapa potong ayat Al-Quran. Misteri kejadian alam dan manusia lebih jelas sekarang.

Hanya saya seorang sahaja dalam keluarga saya yang memeluk Islam. Saya tidak berapa sanga pula ingin mengajak yang lain mengikuti saya.

Pernah adik setahun muda dari saya sendiri tanya saya tentang pilihan saya. Saya cuma jawab bahawa ia adalah perjalanan hidup yang personal dan private.

Masing-masing kubur masing-masing. Engkau, engkau, aku, aku. Cuma kebetulan kita adik beradik di alam ini. Itu lebih merupakan kebetulan.

Yang penting engkau harus bertanya, mengapa engkau ujud, dan mula mencari jawapannya. Orang lain tak mungkin menemui jawapan tersebut buat engkau.

Itu dah lebih dari 20 tahun dahulu. Masa itu beliau mengalami sakit jiwa kerana putus kasih dengan girlfriendnya yang merupakan seorang pramugari. Dengar khabar lari ikut airline pilot.

Adik saya cuba buat yoga dan bertapa untuk menghilangkan peritnya. Tak lama kemudan dia sembuh agaknya kerana dah tak nampak beryoga maupun bertanya lagi pasal agama.

Tahun lepas adik perempuan saya pula yang mengalami krisis dalam hidup sehingga hampir-hampir mau membunuh diri. Terpaksa saya pula cuba memberi kaunseling kepadanya.

Tidak dapat elak dia bertanya pula tentang Islam. Saya jawablah apa yang saya boleh. Tetapi saya tetap dengan prinsip saya, bahawa mengenal Islam itu hendaklah personal dan private, bukan kerana peer pressure atau ajakan orang semata-mata.

Jika anda mau, anda akan tau dan ambilnya. Jika sekadar main-main seolah Islam itu ubat sakit jiwa maaflah, saya kurang setuju ia diperlakukan sedemikian.

Akhirnya adik saya terbiar begitu sahaja tidak memasuki mana-mana agama. Kawan-kawan kristian dia pun pening macamana nak layan permasalahannya.

Satu hari mungkinkah mereka jumpa jalan atau tidak, saya tidak tau. Kerana kepada saya, kita tidak mungkin dapat mengenal Allah. Adalah terpulang kepada Allah samada Dia ingin memberi kita hidayah atau tidak.

Kita tidak berkuasa menukar agama orang lain. Itu pun Al-Quran meletakkan 'Tiada paksaan di dalam Ad-din. Yang terang adalah mengalahkan yang lain.' Ia adalah obvious.

Jika orang tidak terima, kita tidak hairan. Kita masih menjalani hidup kita dengan gembira dan aman damai. Yang penting ialah jangan kita sengsara atas perkara yang diluar kawalan kita.

Kita harus ikhtiar atas perkara yang dalam kawalan kita. Kepada saya perkara itu adalh ilmu dan perjalanan hidup kita. Mungkin saya ini tidak cukup ilmu bathin sehingga tidak dapat menguasai hati nurani adik-beradik saya.

Tetapi saya cukup menunjukkan contoh yang seberapa baik kepada suku sakat saya. Apabila ada seorang datuk sebelah emak saya jatuh sakit, saya biayai dia di rumah orang tua sehingga dia meninggal dunia.

Apabila ada seorang pakcik saya sebelah bapak sakit jantung dan tiada wang, saya tolong bayar duit doktornya.

Apabila hari Tahun Baru Cina, saya bawa isteri dan anak-anak duduk dengan emak saya. Sering hanya kami sahaja yang menemani dia pada hari tersebut. Adik-beradik yang lain ada sahaja hal. Emak saya mula sedar yang anak sulungnya sahaja yang taat.

Pernah emak saya hairan saya masuk Islam. Dia kata Cina banyak agama. Buddha pun ada, orang putih pun ada, mengapa saya pilih agama orang Melayu?

Tetapi kemudiannya dia kata dia ingat yang negeri Cina pun ramai dan lebih dulu masuk Islam daripada Malaysia. Akhirnya dia bukan sahaja terima saya masuk Islam malah menyiapkan tempat untuk saya solat!

Makanan saya pun dia jaga supaya halal khas untuk saya. Cuma waktu berpuasa dia cukup panik. Dalam bahasa hokkien dia akan bagi tau saya, "Awak sudah banyak kurus, buat apa puasa lagi? Tak makan nanti lagi kurus! Jangan bimbang makan di dalam gerai kita ini. Tak ada orang lain nampak!"

Saya jawab, "tak kira nampak ke tidak, puasa itu wajib, dan tak memudaratkan. Saya tak boleh makan sehingga berbuka".

Emak saya balas, "Makan! Boleh makan! Ada orang melayu sembunyi kat gerai saya makan!"

Itulah yang lucu. Payah saya mau terangkan tentang amalan Islam kepada emak saya padahal orang Islam yang lain pecah curfew.

Satu hari saya merancang mau kahwin. Emak saya pula tanya bangsa apa yang saya mau ambil dari sebagai isteri. Saya jawab tak kisahlah, bangsa apa pun. Emak saya pula kata, "Melayu tak boleh. Awak tak ingat 513?". 513 bermakna Mei 13.

Entah macamana calon untuk saya kahwin itu pulak susah saya cari dari kalangan bangsa Melayu maupun kaum polynesia yang lain.

Maklumlah kebanyakannya ketot berbanding dengan saya yang 6 kaki 2 inci tinggi. Akhirnya saya kahwin dengan orang putih afrika.

Kepada saya, pada awalnya agama Islam itu ganjil dan membingbangkan akhirnya apabila saya makin menyelaminya tidaklah begitu sama sekali, malah sudah menjadi sanubari hidup saya sekeluarga, dan sentiasa tidak kering gusi untuk saya mengkhabarkan kisah-kisah menarik sepanjang perjalanan hidup kami.

Tiada ulasan: