By ABDUL HALIM RASHID
PILIHAN manakah yang lebih baik, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz yang digugurkan dari kabinet atau Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri yang digantikan oleh Rafidah sebagai Perdana Menteri?
Begitu pertanyaan Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa ketika mengulas kabinet baru Abdullah dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com
"(Dari segi) kerja berkesan, Rafidah bila-bila masa lebih baik dari Abdullah. Kalau begitu, mengapa tidak Abdullah yang gugur dan Rafidah menggantikan beliau?
"Jaga cucu bukan kerja Rafidah. Kalau dah nak jaga cucu, Wanita Umno usah berketuakan Rafidah," kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu.
Kepada beliau, jika tidak disenaraikan dalam kabinet baru Abdullah, lebih baik Wanita Umno balik menjaga cucu dan menghayun buaian.
"Wanita Umno bersekali dengan wanita besinya, Rafidah, (telah) 'kecundang' ... kecuali Rafidah bangkit".
Husam juga bertanya, apa puncanya Rafidah digugurkan selepas dipilih bertanding dan menang.
"Imejnya buruk? Mana buruk Rafidah berbanding (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) Mat Taib (Tan Sri Muhammad Muhd. Taib)?
"Atau kerana Rafidah tulis surat 16 muka pada Abdullah selepas kekalahan BN?
"Apa kandungan surat itu? Sekurang-kurang(nya), Wanita Umno kena baca dan tau kandungan surat ketua mereka pada presiden parti," kata beliau.
Husam juga mempertikaikan gembar-gembur pengiytiharan harta oleh Abdullah yang dilihat sebagai percubaan untuk mengaburi mata rakyat kononnya kabinet yang ada sekarang mempunyai imej bersih.
"Kerajaan bersih dan pengisytiharan harta menteri? Tan Sri Mat Taib dan wang dalam guninya? Sudah lesap atau jika wang masih berguni-guni, bagaimana hendak dihitung?" beliau mempersoalkan.
Husam juga mempertikaikan percubaan untuk memberikan gambaran kononnya kerajaan Perdana Menteri yang dituntut berundur itu hendak mereformasikan kehakiman dan badan perundangan.
Persoalan-persoalan yang dibangkitkannya mempertikaikan perkara tersebut.
"(Datuk Seri) Adnan (Mansor) yang dikaitkan dengan pengaturan (Datuk VK) Lingam (kini berada) di ibu pejabat Umno dan BN? Tahniah pada Lingam atau pada Adnan?"
Beliau juga bertanya adakah kabinet yang baru ditubuhkan Abdullah itu bebas dari "perasa" menantunya, Khairy Jamaluddin (KJ).
"Bebas dari perasa KJ? Mengapa (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk) Noh (Omar) sebagai Menteri penuh dan bukan (Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad) Husni (Mohamad) Hanazlah? (Menteri Tenaga Air dan Komunikasi, Datuk) Shaziman (Abu Mansor) dari Negeri Sembilan? (Menteri Kerja Raya, Datuk Ir) Mat Zin (Mohd. Zin Mohamad) lebih layak dari yang lain?"
Husam juga bertanya benarkah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak asalnya diberikan peluang menyenaraikan 40 peratus anggota kabinet.
"Saat akhir, semua senarai Najib gugur dan beliau kini keseorangan dalam Kabinet untuk pengukuhan politik Abdullah (yang) lebih dari segala yang lain," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan