KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mac 25, 2008

KINI Isu RASUAH Pula DIUMPAN Untuk HAPUSKAN Politik Ahmad Said

Adakah semua wakil rakyat yang dicalonkan oleh Idris dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu mempunyai kes-kes salah laku supaya "boleh diugut akan dilapor kepada BPR jika tak dengar kata?"

By ABDUL HALIM RASHID

JIKA ada di antara 23 Ahli-Ahli Dewan Undangan (Adun) Terengganu yang didakwa menyokong Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil keputusan berpaling tadah dari bekas Menteri Besar (MB) Terengganu itu, adakah mereka juga akan diadukan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR)?

Persoalan itu dibangkitkan oleh Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu ketika diminta mengulas laporan berita sebuah stesen TV tempatan bahawa BPR membuka penyiasatan ke atas seorang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu berhubung dua projek di Kijal.

"Mungkin laporan BPR dibuat ke atas Mat Said (Adun Kijal, Datuk Ahmad Said) yang dilantik oleh istana sebagai MB.

"Kalau benar, kes-kes salah laku nampaknya dijadikan senjata untuk menambat kesetiaan wakil-wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional (BN) kepada (Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) dan suruhan-suruhannya seperti Idris.

"Kalau tak dengar kata, akan dilapor salah laku mereka kepada BPR," katanya.

Persoalannya, kata beliau, adakah semua wakil rakyat yang dicalonkan oleh Idris dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu mempunyai kes-kes salah laku supaya "boleh diugut akan dilapor kepada BPR jika tak dengar kata".

"Persoalan yang lebih penting kepada rakyat sekarang bukan siapa Menteri Besar. Itu kita serah kepada Sultan.

"Tetapi, seluruh rakyat Terengganu mesti memaksa Idris membuktikan bahawa semua calon yang beliau kemukakan dalam pilihan raya umum baru-baru ini bersih dari sebarang salah laku.

"Suruh dia buktikan sebagai orang Islam, bukan sebagai orang Umno," katanya.

Kalau benar Idris menyenaraikan orang-orang yang mempunyai salah laku dalam pilihan raya umum yang lalu, kata Mohamad Sabu lagi, beliau telah melakukan pengkhianatan yang besar kepada rakyat Terengganu.

"Kalau benar Idris senaraikan tukang-tukang buat salah yang pada bila-bila masa beliau boleh lapor kepada BPR kalau mereka melawan, bukan sahaja beliau dan semua yang beliau senaraikan tak layak jadi MB malah Abdullah yang luluskan senarai Idris itu juga mesti letak jawatan," tegas beliau.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan dua Adun Terengganu dipanggil BPR negeri untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kononnya mereka ditawarkan wang dan jawatan sebagai Exco oleh pihak tertentu jika menyokong Ahmad sebagai MB yang baru.

Dua Adun terbabit tiba di pejabat BPR di Wisma Persekutuan di Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan masing-masing.

Tindakan itu diambil selepas salah seorang Adun terbabit mendakwa dia ditawarkan wang tunai RM300,000 oleh seorang lelaki yang menghubunginya ketika dalam perjalanan bertemu dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu di Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu.

1 ulasan:

sniper berkata...

ini adalah masanya PAS Terengganu perkemaskan jentera untuk menghadapi apa juga kemungkinan .. selain kerja culaan atau majlis-majlis, usrah dan ceramah kelompok kena berjalan.. tetapkan semua ahli dalam mood dan semangat untuk bekerja.. disamping boleh juga perbaiki akhlak penyokong sedikit sebanyak .. ye la, bukan semua penyokong kita dari background agama..kerja parti kena jalan, tapi tarbiyah jangan tinggal ..kena ingat, misi utama kita adalah meneruskan kerja dakwah nabi (SAW) ..bab politik pilihanraya ni sebahagian dari cabangnya aja..