Kini saya telah menjadi seorang pakar ICT dan mengetuai sebuah projek Open Source global yang masyur, mendapat jemputan menjelajah ke negara-negara maju maupun membangun sebagai seorang penceramah dan penasihat sehingga ke peringkat kerajaan mereka.
By REDHUAN D ONN
SAYA dilahirkan di Singapura sebagai Daniel Oon Poh Shin pada tanggal 16hb Oktober, 1961.
Saya dapat mengikuti pendidikan sekolah rendah aliran Inggeris sehingga menjadi pelajar terpilih ke Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur pada tahun 1974.
Keluarga saya agak miskin kerana ayah saya cuma seorang juru elektrik yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, Unit Semboyan yang berpangkat paling tinggi Sarjan sebelum beliau bersara awal dalam tahun 1979.
Ibu-bapa saya telah berpisah pada pertengahan tahun itu disebabkan pergaduhan dalaman yang berpunca dari cara hidup bapa saya yang suka duduk di meja judi dan arak.
Saya sebagai anak sulong terpaksa mengharungi hidup hampir seorang diri kerana tidak mendapat apa jua bantuan atau sumber kewangan luar bagi saya meneruskan pendidikan saya ke universiti.
Saya amat berminat dengan sains, sejarah manusia dan falsafah. Saya ingin sekurang-kurangnya menjadi seorang penyelidik sains atau sejarawan dalam alam universiti sekiranya saya dapat menuntut habis-habisan.
Kerana saya dikira bukan bumiputra saya tidak mendapat bantuan kerajaan untuk belajar ke luar negara. Rakan sekelas saya, Khairiltitov saya dengar beliau dapat belajar ke Amerika Syarikat padahal jika tak silap saya dia cuma dapat MCE (SPM) gred 2.
Saya bukan sahaja dapat gred 1 tetapi terpaksa mengejar poin cognix serendah bawah 9 poin untuk layak naik ke tingkatan enam bawah pada tahun 1979.
Adik saya yang kemudiannya gagal memperolehi gred dan poin yang sedemikian terpaksa mencari pembiayaan pendidikannya sendiri iaitu ke TAR (Kolej Tunku Abdul Rahman).
Ibu kamilah yang cuba menanggung kami menerusi perniagaan kecilnya di tepi jalan Ampang depan Kelab Lumba Kuda. Kami bantu ibu kami menjual rokok sehingga dapat menanggung saya selama beberapa tahun dari tingkatan 3 sehingga 6 bawah itu.
Kehidupan kami sudah cukup sederhana tetapi telah ditambah susah kerana tabiat buruk judi dan minuman keras yang dibenarkan oleh budaya semasa masyarakat Cina.
Saya masih ingat menerima kain baju dan seluar sekolah secara derma dari jiran Cina yang lain sewaktu kami duduk di Kem Wardieburn dari tahun 1970 ke 1979. Oleh kerana saya agak tinggi lampai, seluar yang didermakan itu tidak cukup panjang dan perlu di lepaskan kain pada bahagian kelepet kaki.
Namun begitu dengan keadaan ibu-bapa saya sering bertelagahan mengenai isu wang, mereka masih cukup tegas tentang kebebasan anak-anak mereka.
Kita empat adik beradik tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain atau menjalankan apa jua aktiviti ko-kurikulum sekolah selain dari pelajaran untuk peperiksaan semata-mata sahaja.
Kami diterap dengan nilai ekstrim konfucius Cina yang mementingkan buku pelajaran di atas segala-galanya. Kami akan dirotan sekiranya terjumpa bermain di luar rumah.
Saya diberikan kerja rumah yang berat dan memaksa saya berdepan dengan buku sepanjang hari. Sekiranya saya dapat markah merah atau kedudukan dalam kelas lebih dari 10 (walaupun kelas darjah itu paling top seluruh sekolah) saya akan dirotan dengan kuat sekali.
Tabiat saya yang hidup seolah dalam penjara rumah ingin sangat mencari buku bacaan yang lain dari sajian yang amat membosankan di sekolah.
Yang sedihnya kami tidak mampu membeli buku lain dan maka perpustakaanlah menjadi tempat kesukaan saya yang ibubapa benarkan saya melawat.
Masa itu tidak ada komputer PC maupun internet. Saya mampu membaca dengan banyaknya semasa di British Council selama beberapa jam setiap jumaat saya ke sana waktu solat jumaat yang saya tidak hadir dalam tahun-tahun 1974 ke 1979 semasa di Victoria Institution.
Apabila sampai tingkatan enam bawah saya mengikuti kurikulum biologi mathematik lanjutan dan bercadang ingin terus belajar sehingga ke bangku universiti.
Tetapi keadaan kewangan, keluarga serta spiritual makin menekan saya sehingga akhirnya saya berhijrah seorang diri ke Melaka dan memeluk agama Islam di sana.
Sehingga sekarang saya tidak berpeluang kembali ke bangku pengajian tinggi melainkan sekejap sahaja apabila termampu dengan duit yang ada, atau masa lapang yang ada.
Namun dengan cabaran hidup yang sedemikian rupa telah menanam satu jenis jatidiri yang tidak mudah dikalahkan atau ditakut-takutkan oleh mana-mana pihak.
Saya cukup degil dan anti-establishment dan sering mengeluarkan hujah-hujah menentang kerajaan sejak dari bangku sekolah lagi kerana dasar yang saya anggap tidak adil kepada rakyat berbangsa Cina.
Saya berusaha seorang diri sebagai seorang mualaf untuk menyara hidup dan berasa amat beryukur bahawa bukan sahaja saya dapat berbuat demikian tetapi saya berjaya tanpa sehelai ijazah maupun bantuan dari mana-mana pihak.
Kini saya telah menjadi seorang pakar ICT dan mengetuai sebuah projek Open Source global yang masyur, mendapat jemputan menjelajah ke negara-negara maju maupun membangun sebagai seorang penceramah dan penasihat sehingga ke peringkat kerajaan mereka.
Di sini lah ingin saya menyatakan bahawa kejayaan saya adalah berpunca secara tidak langsung dari Dasar Ekonomi Baru.
Dengan dasar itu negara menjadi stabil dan saya dapat merancang satu kerjaya dan perjalanan hidup yang panjang, makmur dan membina dari satu tahap ke satu tahap yang lain.
Tanpa menerima bantuan secara langsung dari kerajaan saya terbina semangat berkobar-kobar untuk membuktikan kepada diri dan yang lain.
Dengan dasar yang stabil, negara menjadi makmur dan saya mengecapinya sehingga dapat menggunakan pelbagai kemudahan seperti sistem internet yang canggih lagi murah untuk melakukan projek Open Source saya ke seluruh dunia tanpa henti, dan juga mudah terbang sini sana dari lapangan terbang tercanggih di dunia.
Keadaan negara ini yang berbilang kaum dan penuh dengan polemik juga mencetuskan bahan pemikiran bagi saya sepanjang masa yang membina falsafah hidup saya supaya lebih pragmatik, realistik dan berjuang, tanpa kira keadaan maupun halangan.
Dalam blog khas ini saya ingin mengajak kepada satu idealisma yang saya percaya bukanlah baru iaitu perpaduan umat sejagat sepertimana yang ditiup dalam Ayat 13, Surah Al-Hujarat di dalam Al-Quranul Karim.
Bersama dengan ramai insan yang lain di dunia yang fana ini saya turut juga ingin satu politik yang membina, positif, berdisiplin, bertanggungjawab dan menjurus kearah bagaimana kita boleh mendapat manfaat maksima di dunia tanpa sempadan ini.
Saya akan mengimbas kembali banyak peristiwa penting dalam hidup saya serta pelajaran yang bakal ditimba darinya.
Antaranya yang saya rasa agak penting ialah Peristiwa Mei 13 dimana saya berumur 8 tahun waktu itu, penglibatan saya dalam parti PAS dan CCC dalam tahun 1985, dan penglibatan saya dalam pelbagai bidang menarik seperti ICT dan pembangunan sumber manusia.
Saya tidak berniat memaksa idealisma saya ke atas mana-mana pihak maupun bersikap tidak santun. Saya cukup memegang kepada prinsip agama Islam yang saya nikmati iaitu bahawasanya ilmu pengalaman yang ada pada kita cuma setitik sahaja dari lautan Ilahi.
Sekurang-kurangnya kita bertafakur, berkongsi dan terbuka untuk ditegur dalam apa jua keadaan pun. Semoga menerusi cara blog ini kita dapat berbuat demikian.
5 ulasan:
Assalamualaikum.
Raduan, lama tak jumpa. Malah saya seperti dah lupa pada anda. Imbas kembali pertemuan di Institut Hasni, jalan Raja Bot, KL. Anyway, harap dapat hubungi saya di nik_9487@yahoo.com.sg jika sudi.
blog reduan oon bukan di sini
tapi di http://padi-malaysia.blogspot.com/
tq sebol . . . nik.
Salam kembali ke nik_9487, t.k. kerana komen di blog saya sehingga saya perasan ade trabus di sini, semoga kita berjumpa kembali bila kelapangan.
Ah... nak 'reprimand' sikit TMJ ni. Janganlah main copy/paste tulisan orang je, tanpa sebut sumber. Kira pliagarisma tu.. :-)
Walamacamanapun terima kasihlah sbb bagi iklan. Yang saya duk harap sdr berikan lebih analisa dan ide sdr sendiri yg cukup berisi tu.
wasalam!
One more thing saya nak betulkan sikit. Nama saya Oon, bukan Onn. Tak kena-mengena dengan orang Johor.
Catat Ulasan