Walaupun pada amalannya Perdana Menteri boleh memberi nasihat dan pandangan, kuasa melantik Menteri Besar adalah di tangan Raja. Raja boleh melantik sesiapa sahaja yang pada pandangan Baginda mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.
By DATUK A KADIR JASIN
AHMAD Said yang pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu dianggap "bercanggah dengan perlembagaan" oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, hari ini mengangkat sumpah jawatan.
Dia berbuat demikian di hadapan Pemangku Sultan, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, Kuala Terengganu.
Beberapa hari lampau, Abdullah dengan lantang berkata tindakan melantik orang lain selain daripada Idris Jusoh sebagai Menteri Besar "adalah bercanggah dengan Perlembagaan" - unconstitutional.
Serentak itu Ahmad Said "dipecat" daripada Umno dan 22 ADUN Umno yang "menyokong" Abdullah dan "mahukan" Idris mengumumkan pemulauan majlis mengangkat sumpah Ahmad Said sambil mengancam akan meletakkan jawatan.
Sekonyong-konyong, sekitar Rabu lalu, Abdullah mengubah rentak dengan mengumumkan penerimaan pelantikan Ahmad Said. Seolah-olah tidak ada apa yang terjadi, dia mengumumkan isu itu selesai.
Hari ini, turut hadir di hadapan Putera Mahkota Terengganu yang berusia 10 tahun itu adalah 22 ADUN Umno yang sehingga tiga hari lalu enggan menyokong pelantikan Ahmad Said.
Inilah cerita kacau-bilau, kelam-kabut dan kucar-kacir apabila yang diberi mandat dan amanah gagal menggunakan akal, kebijaksanaan, pengetahuan dan budi bicara.
Dengan izin, "comedy of error" ini tidak sepatutnya berlaku kerana pelantikan Menteri Besar bukanlah perkara baru.
Walaupun pada amalannya Perdana Menteri boleh memberi nasihat dan pandangan, kuasa melantik Menteri Besar adalah di tangan Raja. Raja boleh melantik sesiapa sahaja yang pada pandangan Baginda mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.
Akibat tindak-tanduk Perdana Menteri dan para penasihatnya itu, perkara berikut telah berlaku:-
1. Kerajaan Negeri Terengganu lewat ditubuhkan. Ia sepatutnya berlaku pada 10 Mac;
2. Hubungan antara Istana dengan kepemimpinan Umno dan Kerajaan Pusat tercemar;
3. ADUN Umno Terengganu dijadikan bahan percaturan yang merendahkan martabat mereka dan mencetuskan kemarahan rakyat Terengganu;
4. Tidak fasal-fasal mereka dituduh "kurang ajar," "biadab" dan "derhaka" kepada Raja;
5. Akhirnya mereka terpaksa menelan ludah sendiri kerana terlalu taasub kepada pemimpin walaupun dia ternyata silap; dan
6. Memberi modal percuma kepada pari-parti lawan bagi memesatkan lagi propaganda mengenai keangkuhan, kelemahan dan kecelaruan kepemimpinan Umno.
Bagi Abdullah, seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pulau Pinang hari ini, dia bukan sahaja kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malah dia juga "kehilangan" Perlis, Terengganu dan, mungkin juga, Johor di mana calon-calon Menteri Besar pilihannya ditolak oleh Raja-Raja.
Dr Mahathir yang berucap di mesyuarat agung tahunan Persatuan Melayu Tanjung (Permata) meneruskan rayuannya kepada ahli dan pemimpin Umno agar menukar kepemimpinan parti demi menyelamatkan Umno daripada ditolak secara mutlak oleh orang Melayu.
Sementara itu, berikut adalah ulasan saya dalam blog Dr Mohd Khir Toyo (drkhir.blogspot.com):
Sdr Dr Khir,
Selamat datang ke dunia blog. Tahniah. Mungkin ini permulaam merawat Umno yang sedang sakit teruk.
Terima kasih kerana akhirnya mendengar suara rakyat. Orang Melayu bukan jahil dan penakut lagi.
Tindak tanduk para pembesar Umno sejak akhir tahun 2003 telah menyedarkan orang Melayu bahawa Umno tidak boleh lagi diubati dari dalam.
Para pembesar Umno tidak lagi mendengar suara hati orang Melayu. Mereka mendengar suara bisikan nafsu mereka dan konco-konco mereka.
Kalau pembesar Umno, termasuk Sdr, mendengar jeritan batin orang Melayu dan ahli Umno, bala yang menimpa Umno pada 8 Mac, Insya-Allah, tidak berlaku.
Tetapi para pembesar Umno terlalu sibuk mendengar kata manis anak mentantu dan konco-konco mereka sehingga membuatkan rakyat benci.
Umno kalah teruk kerana orang Melayu sudah benci. Sudah jelak diperkotak-katikkan.
Terima kasih kerana kini mahu mendengar. Jadilah Ketua Pembangkang yang berwibawa di dalam DUN Selangor dan lakukan perubahan dalam Umno.
Mencium keris, meneriakkan slogan dan menyokong kepemimpinan yang lemah akan memburukkan penyakit Umno.
Jangan biarkan penyakit Umno menjadi penyakit terminal yang membawa maut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan