Katanya, beliau tidak mahu perlembagaan negeri itu digantung sekali lagi seperti yang pernah dilakukan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) suatu ketika dahulu.
"(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan. Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran... Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua," katanya sambil membaca kaedah fiqhiyyah bagi menyokong hujahnya.
"Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran... dan Kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik," kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan Facebook di Hotel Grand Seasons di ibu negara, Sabtu, 15 Januari lalu.
Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan, lapor Malaysiakini.
Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka "diambil secupak-secupak" sehingga habis. "Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS," katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.
Katanya hal demikian berlaku kerana berkat doa dan dakwah yang dilakukan membuatkan bukan Islam berasa selesa dan tidak takut dengan ajaran Islam. Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata demikian ketika menjawab soalan penulis blog Azizi Abdullah yang mengutarakan soalan mendakwa semangat PAS untuk menegak undang-undang jenayah Islam itu dilihat "mengendur" selepas bersama Pakatan Rakyat.
Beliau juga turut menyifatkan kerjasama PAS dengan DAP tidak merugikan PAS sama sekali berbanding kerjasama Umno dengan MCA. PAS mahu laksanakan Islam tetapi Umno dan MCA sama-sama tak mahukan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan