Kajilah apa yang tersirat dalam WPI tajaan anak Badawi ini. Siapakah yang paling beruntung? Singapura atau Malaysia?
By ABDUL HALIM MOHD RASHID
SEJAK pentadbiran negara ini dikuasai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, seorang blogger Umno yang memperkenalkan dirinya sebagai The "thirteen million plus Ringgit" guy (bigdogdotcom.wordpress) melihat negara ini "bermain dan menari kepada rentak dan irama Singapura dalam serba serbi".
Ia bermula dengan isu Bank Negara meluluskan Temasek Holdings membeli saham penguasaan dalam Malaysian Plantations Bhd dan sekaligus menguasai Alliance Bank Bhd, kata beliau.
Keadaan itu berlaku ketika Singapura sendiri amat liat untuk melepaskan asset negara itu, termasuk syarikat-syarikat dalam negara itu, dari dibeli oleh kepentingan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah merayu agar kerajaan Singapura bersikap lebih terbuka bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia memiliki aset di republik itu.
Najib berkata, aliran pelaburan dua hala yang saksama dan seimbang adalah untuk kepentingan bersama serta menguntungkan kedua-dua negara.
Merujuk pelaburan syarikat milik Singapura, Temasek di negara ini beberapa tahun kebelakangan ini, kata Najib, aliran kemasukan pelaburan dari Singapura ternyata besar.
''Diperhatikan bahawa jumlah dan saiz pemerolehan kepentingan rakyat Singapura, terutama entiti dikawal kerajaan, jauh lebih besar berbanding pemilikan syarikat-syarikat Singapura oleh rakyat Malaysia," kata Timbalan Perdana Menteri.
Lebih mendukacitakan, Khazanah Holdings seolah-olah menjadi extension atau tangan kepada Temasek Holdings.
"Dalam pada itu, anak syarikat pelaburan negara, Khazanah Holdings Bhd persis dan menjadi pseudo Temasek Holdings Ltd, syarikat pelaburan Singapura. Terma baru seperti Government Linked Companies (GLC) mula digunakan dalam 'cakap cakap pasaran'.
Temasek Holdings juga mula membeli kepentingan dalam syarikat syarikat strategik Malaysia, seperti Telekom Malaysia," kata ahli Umno itu dalam postingnya yang bertajuk "Kerjasama dengan Singapura dan mengadai kepentingan ekonomi, kawasan pembangunan dan ketenteraan?".
Perkara itu sebenarnya pernah mendapat perhatian Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar. Sikap Khazanah Nasional kebelakangan ini amat menimbulkan kecurigaan, kata beliau.
"Pintunya yang terbuka luas untuk membolehkan perluasan cengkaman dan penguasaan syarikat-syarikat Singapura dalam projek-projek dan syarikat-syarikat strategik di negara ini menimbulkan tanda tanya adakah sayap perniagaan kerajaan yang sangat penting itu berkhidmat kepada negara ini atau sebenarnya kepada kerakusan cita-cita strategi Singapura ke atas negara ini," katanya lagi dalam satu kenyataan pada bulan November 2006..
Lebih buruk lagi, katanya, Khazanah Nasional juga berusaha untuk membawa pemikiran yang sangat bahaya kepada rakyat negara ini apabila ia menyeru rakyat Johor supaya jangan berfikiran sempit bila berurusan dengan Singapura.
Mahfuz mmbangkitkan kenyataan Naib Presiden Kanan Khazanah Nasional di dalam Pejabat Pengarah Urusan, Ahmad Shahizam Mohd Shariff yang menyatakan rakyat Johor hari ini mesti bersikap realistik dalam penilaian mereka terhadap rancangan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER).
Ternyata bukan pembangkang sahaja yang begitu curiga dengan Khazanah Holdings yang semakin didakwa lebih mengutamakan kepentingan Singapura dari kepentingan negara.
Malah, The "thirteen million plus Ringgit" guy yang selalu mempertegaskan kesetiaanya kepada Umno melihat pembelian saham Pantai Holdings yang melibatkan pelaburan Khazanah Holdings sebagai satu skandal.
Kemungkinan amat ramai ahli Umno yang lain yang mempunyai tanggapan yang sama seperti beliau amat sukar ditolak.
Dalam kenyataan yang sama pada bulan November 2006 itu, Mahfuz mengecam Khazanah Nasional telah membelanjakan begitu banyak wang negara untuk mengambilalih Pantai Holdings Bhd dari Parkway Holdings Ltd dalam satu urusniaga yang amat berat sebelah dan hanya menguntungkan syarikat Singapura.
"Lebih menyakitan hati rakyat negara ini ialah apabila Khazanah Nasional menguasai semula Pantai Holdings Bhd melalui Pantai Irama Sdn Bhd dengan menggunakan wang rakyat, tiba-tiba 49 peratus saham Pantai Irama diserahkan pula kepada Parkway yang kemudiannya akan menguruskan hospital-hospital di bawah Pantai Holdings," katanya.
Melalui Pantai Irama, katanya, Khazanah membeli saham Pantai daripada Parkway dengan cara membeli 6.6 peratus pegangan atau 30.92 juta saham dengan harga yang tidak dinyatakan dan kemudian membeli keseluruhan 26 peratus pegangan yang dimiliki Parkway dengan harga RM2.65 sen sesaham, harga yang dianggap terlalu tinggi, dan selepas itu Pantai Irama akan membuat tawaran awam pula yang akan meletakkan Pantai pada nilai RM1.25 bilion.
"Rakyat terus tidak puas hati dengan Pantai Holdings yang sebelum itu menolak tawaran dari dua konsortium pelabur tempatan untuk mengambilalih dua anak syarikatnya, Pantai Medivest Sdn Bhd dan Fomema Sdn Bhd, kedua-duanya memegang konsesi dari kerajaan," kata Mahfuz.
Fomema memegang konsesi 15 tahun untuk menjalankan pemeriksaan kepada semua pekerja asing yang hendak masuk berkerja di dalam negara ini. Konsesi hanya akan berakhir pada September 2012.
Pantai Medivest pula memegang konsesi 15 tahun dari Oktober 1996 untuk membekalkan perkhidmatan sokongan kepada hospital-hospital di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Medivest dan Fomema adalah punca pendapatan utama Pantai, iaitu kira-kira separuh jualan kumpulan Pantai Holdings dan lebih 40 peratus keuntungan dari operasi kumpulan itu.
Selepas isu Pantai Holdings, timbul pula pembatalan jambatan bengkok ke Singapura.
Menurut The "thirteen million plus Ringgit" guy, pembatalan jambatan tersebut yang dirancang untuk menggantikan Tambak Johor berlaku kerana Abdullah membuat keputusan 'flip-flop' apabila timbul soal "penjualan pasir disamping permintaan untuk pengunaan ruang udara" yang dibangkitkan Singapura dalam siri rundingan berkenaan projek itu.
Walaupun perkara itu dibantah keras oleh Johor dan Tentera Udara Diraja Malaysia dan menerima pelbagai reaksi negatif, "PM 'Flip-Flop' Abdullah masih berdegil mempertahankan keputusan yang ramai percaya dibuat secara terburu buru dan cuai itu," kata beliau.
Apa yang sentiasa didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura ke atas Malaysia di zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri dikatakan semakin mengancam keselamatan negara dengan pelancaraan dan perlaksanaan projek pembangunan mega Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada November 2006.
Blogger ahli Umno itu melihat WPI lebih "menguntungkan Singapura berbanding diri sendiri, kerana membeli peluang industri sokongan bernilai rendah republik itu dipindah dan segala sumber negara pulau-bandaraya itu ditumpu sepenuhnya kepada industri nilai tinggi seperti ICT, bio-teknologi, perkhidmatan kewangan dan pasaran modal".
Lebih buruk lagi, beliau juga menyatakan bahawa "WPI juga akan melaksanakan pembangunan di mana kepentingan Melayu sebenarnya akan terabai".
Apa yang sentiasa didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura ke atas Malaysia di zaman Abdullah menjadi Perdana Menteri seolah-olah disempurnakan Mei tahun lepas di Langkawi, apabila "PM 'Flip-Flop' Abdullah telah menjemput Singapura terlibat secara pro-aktif dalam perancangan pembangunan WPI, semasa berunding dengan PM Singapura Brig Gen (NS) Lee Hsien Loong".
Mahfuz membangkitkan tuduhan ramai pihak yang medakwa Abdullah mengkhianati negara ini apabila WPI kini dipanggil perluasan de facto Singapura secara rasmi (official de facto extension of Singapore) di dalam wilayah Malaysia.
Beliau juga mengecam Abdullah yang memekakkan telinga ketika ketika begitu ramai rakyat Johor membantah dengan mesej bahawa mereka "tak setuju pelan khianat SJER adakan Free Acces Zone, kuasa autonomi, utamakan port (pelabuhan) dan airport (lapangan terbang) Singapura dan jadi bandar satelit tempat enjoy rakyat Singapura. Johor negeri berdaulat!"
Apa yang sentiasa didakwa sebagai pengkhianatan kerajaan Abdullah ke atas negara ini semata-mata untuk menyerah diri kepada apa yang didakwa sebagai penjajahan secara halus Singapura lebih ketara lagi apa laman web Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) melaporkan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengakui bahawa terdapat kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal dengan tatacara sepatutnya.
Akta IRDA 664 diwujudkan untuk memudahcarakan cita-cita mewujudkan WPI.
Menteri Besar Johor itu menjawab isu yang dibangkitkan oleh ProWaris mengenai Akta IRDA 664. ProWaris melihat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara.
Akibatnya, kata The "thirteen million plus Ringgit" guy, pegawai-pegawai Singapura kini menjadi sebahagian dari task force khas yang diwujudkan untuk merangka program pembangunan WPI, termasuk hub pengangkutan, soal imigresyen, pelancongan dan soal alam sekitar.
"Singapura mempunyai kepetingan khusus dan strategik dalam apa (jua) keputusan dan perancangan task force ini. Kini Singapura diberikan 'kuasa' untuk menentukan isu-isu yang melibatkan mereka dalam negara kita sedangkan isu seperti pengeksportan-pembelian semula air Johor-Singapura dan hub logistik PTP-Senai-Pasir Gudang masih tertangguh dan belum selesai," kata beliau.
Sebab itulah, menurut ahli Umno itu, apa jua kenyataan yang positif yang dibuat oleh Lee Kuan Yew "dilihat sebagai 'meragukan' dan menimbulkan tanda tanya (adanya) 'udang disebalik batu' di kalangan penganalisa politik".
Jumaat lalu, Bernama melaporkan Lee Kuan Yew berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Malaysia bagi membolehkan kedua-dua negara maju bersama.
Laporan Berita Harian Singapura lebih jelas lagi dari apa yang dilaporkan oleh Bernama. Berikut ialah petikan laporan akhbar itu: "Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew berkata Singapura akan meraih manfaat dalam projek Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) namun pada jangka panjang Malaysia akan meraih manfaat lebih besar."
Oleh itu, Malaysia perlu merubah pemikirannya - daripada pandangan berasaskan persaingan dan kebencian terhadap Singapura kepada kerjasama dan sedia menerima negara ini.
Apatah lagi, Malaysia mempunyai bakat dan sumber tenaga lebih luas berbanding Singapura.
Encik Lee berkata, Singapura akan melakukan apa yang terdaya dan patut dilakukan untuk memastikan IDR berjaya.
'Soal siapa yang akan dapat lebih manfaat (daripada projek IDR), sejarah akan menentukannya,' kata Encik Lee semasa ditemui media di Istana semalam.
Kenyataan beliau adalah sebagai mengulas lebih lanjut komen yang dibuatnya dalam satu sidang Institut Pengajian Dasar, tengah hari semalam, tentang adakah Singapura memerlukan kawasan pedalaman, seperti Malaysia, untuk berkembang sebagai sebuah kota jagat.
Kenyataan itu amat jelas bagai memujuk rakyat Malaysia supaya mengundi Barisan Nasional. Maklumlah, parti itu dikuasai oleh sahabat Lee sendiri, Abdullah.
Lebih dari itu, Malaysia kononnya akan "meraih manfaat lebih besar".
Tidak hairanlah kalau Mahfuz menyeru rakyat supaya bangkit beramai-ramai menentang Barisan Nasional yang dipimpin Abdullah yang semakin dituduh menjadi khadam suruhan Singapura dan agen-agennya di negara ini.
Tindakan itu wajib dilakukan rakyat negara ini, kata beliau lagi, bukan sahaja kerana apa yang didakwa sebagai penyerahan wilayah Malaysia kepada Singapura.
Malah, pengambilalihan syarikat-syarikat Singapura ke atassyarikat-syarikat strategik negara ini telahpun sampai ke peringkat yang parah dan akan memusnahkan negara ini - antaranya termasuk pengambilalihan Pantai oleh Parkway; pembelian sebahagian kepentingan AirAsia, Proton Holdings Bhd oleh GSIC; pemilikan ekuiti Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Malaysian Plantations Bhd oleh Temasek Holdings dan pemilikan saham-saham pelabuhan tempatan, Westports, oleh pengendali pelabuhan Singapura, PSA, melalui Hutchison Ports Holdings.
Agaknya sebab itulah beberapa anak muda yang ditemui ketika menanti pembebasan beberapa pemimpin dan aktivis yang ditangkap di hadapan penjara Pudu baru-baru ini mendakwa, "kalau undi Barisan Nasional, Singapura akan perintah Malaysia"!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan