KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 06, 2009

Calon PAS Bukit Gantang antara individu awal saman kerajaan isu PPSMI

Nizar begitu prihatin dengan kepentingan bahasa dengan mengambil tindakan menyaman kerajaan melalui anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun, Mohammad Syawal Nizar.

TIDAK ramai yang tahu, sebelum Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) ditubuhkan, sekaligus membangkitkan ratusan ribu rakyat yang cintakan bahasa 7 Mac lalu, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin adalah pejuang bahasa yang terawal.

Perjuangannya menentang dasar yang dikatakan menghakis bahasa Melayu itu bermula sejak 2006 apabila beliau bertindak menyaman Kementerian Pelajaran Malaysia pada 20 Jan 2006.

Ketika masih ramai yang tidak menyedari kebobrokan dasar tersebut, Nizar begitu prihatin dengan kepentingan bahasa dengan mengambil tindakan menyaman kerajaan melalui anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun, Mohammad Syawal Nizar.

Malah, tindakan Nizar itu, jika dilihat pada hari ini cukup 'menampar' Gapena yang pada mulanya begitu bersungguh-sungguh menyatakan hasrat untuk menyaman kerajaan jika meneruskan dasar tersebut.

Bagaimanapun, setelah ratusan ribu rakyat yang cintakan bahasa ibunda dikasari dengan tembakan gas pemedih mata dan 'water cannon', Gapena tidak mampu meneruskan hasrat mereka itu.

Nizar pula, ketika itu bukanlah seorang Menteri Besar seperti sekarang. Beliau hanyalah seorang bapa bersama tiga lagi rakannya yang melihat kepincangan dasar tersebut dan enggan memperjudikan nasib anak-anaknya.

Perjuangan Nizar bukan hanya tindakan saman tersebut. Beliau turut mengedarkan risalah kempen di dan menerangkan kepada ramai pihak tentang keburukan dasar tersebut.

Ranjau perjuangannya turut menerima cemuhan apabila NST ketika itu melalui editoriqlnya mengeluarkan kenyataan "...satu usaha dangkal (besar kepala) untuk menyembunyikan ketidakmampuan mereka untuk menguasai bahasa Inggeris."

Ternyata, dengan cemuhan tersebut Nizar dan tiga rakannya memfailkan saman malu terhadap NST.

Tiada ulasan: