By TARMIZI MOHD JAM
(Bahagian Ketiga)
Muqqadimah: Buku Rahsia Bisnes Orang Cina menjadi buku bestseller di Malaysia dan Indonesia. Terjual melebihi 22,000 naskah. Buku terbarunya, Formula Bisnes Negara China, belum mendapat maklumbalas penuh. Ia baru diterbitkan. Cetakan pertama sudah habis dan sekarang masuk ke cetakan kedua. Karya seorang penulis Cina yang kini memeluk Islam. Fasih berpidato dalam bahasa Melayu. Pengetahuannya yang detail tentang budaya bisnes orang Cina cukup menarik untuk digarap. Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM bersama Penolong Setiausaha Agung PERKIM, Sdra. ANN WAN SENG di pejabatnya, Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh. Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
TARMIZI: Macam mana orang Cina di Malaysia berniaga?
ANN WAN SENG: Pertama menekankan soal kepercayaan. Urusniaga orang Cina terletak atas dasar kepercayaan. Bagi mereka kepercayaan mesti diwujudkan terlebih dahulu. Antara peniaga dengan pelanggan. Peniaga dengan pembekal atau pemborong. Penjual dengan pembeli. Majikan dengan pekerja. Malah antara peniaga dengan peniagapun, mereka sentiasa bekerjasama dan saling mempercayai antara satu sama lain. Konsep kedua pula, menekan soal ambil berat. Orang Cina punyai satu perasaan ambil berat yang cukup kuat. Sebab itu komuniti bisnes mereka saling bekerjasama antara satu sama lain. Mereka bersatu padu. Saling bantu-membantu. Bila ada ahli mereka berdepan dengan masalah bisnes, mereka akan selesaikan. Menghulurkan segala pertolongan kepada peniaga tersebut. Dan inilah yang tidak ada pada peniaga-peniaga Melayu. Kesatuan atau perpaduan dalam komuniti bisnes orang Melayu agak longgar. Apa yang terjadi, seolah-olah berlakunya persaingan yang tidak sihat di kalangan peniaga Melayu. Mereka cuba dengan pelbagai cara untuk menjatuhkan saingannya termasuk dengan menggunakan cara-cara ilmu hitam. Orang Cina bersaing secara sihat. Mereka mengamalkan konsep win-win situasition iaitu kedua-dua belah pihak akan dapat manfaatnya. Inilah yang dinamakan sebagai bamboo network.
Bamboo network? Apa tu?
Bamboo network adalah sistem perniagaan orang Cina macam sepohon pokok buluh. Pokok buluh ini, ia tumbuh dari satu akar atau perdu yang sama. Tetapi ia tumbuh dengan cabang yang banyak. Walaupun tumbuh berpuluh-puluh cabang tetapi asas kekuatannya terletak pada perdunya dan perdu inilah yang memberikan tapak bagi cabang-cabang buluh itu tumbuh dengan subur. Inilah yang menyatukan mereka.
Kebanyakan orang Cina terlibat dalam bisnes apa? Macam orang Melayu mungin peruncitan seperti restoran dan kedai runcit...
Bisnes orang Cina lebih banyak bergantung kepada suku-sukunya. Macam orang Cina Hailam banyak terlibat dalam bisnes kedai kopi, restoran nasi ayam, gerai dan seumpamanya. Orang Tai Chiu pula terlibat dalam bisnes hardware iaitu jual barangan besi, paku, cat, atap, kayu-kayan, paip dan lain-lain. Mereka juga terlibat dalam pekerjaan nelayan. Orang Hokkien pula banyak terlibat dalam bisnes peruncitan. Orang Kantonis pula banyak dalam bisnes pembinaan. Orang Fu Chaw di Sarawak, terlibat dalam bisnes pembalakan dan kilang papan. Pada dasarnya, orang Cina ini terlibat dalam semua perniagaan. Cuma suku-suku tertentu akan menguasai bidang tersebut. Bagi saya, bisnes orang Melayu tidak begitu pelbagai. Umpamanya, kalau orang Melayu buka restoran atau gerai, sederet kedai tersebut akan jual makanan yang sama. Sedangkan orang Cina, walaupun mereka berniaga makanan tetapi makanan yang mereka jual tidak sama pada satu deretan kedai atau gerai. Orang Hokkien jual makanan dia, orang Hailam jual makanan dia, orang Kantonis jual makanan dia. Jadi ada kepelbagaian. Inilah yang menghidupkan perniagaan orang Cina kerana ia memberi peluang kepada pengguna memilih. Bidang bisnes bagi orang Melayu selalunya tidak berkembang. Umpamanya dalam bidang peruncitan. Orang Cina walaupun ia terlibat dalam peruncitan tetapi mereka akan pastikan bisnesnya tumbuh cawangan-cawangan lain yang akhirnya menjadikan mereka banyak perniagaan. Contohnya Giant Hypermarket yang berasal dari sebuah kedai runcit yang menjual barangan keperluan seharian. Ia diasaskan lebih 50 tahun lepas dari sebuah kedai yang kecil. Kita lihat sekarang, dari sebuah kedai kecil ia berkembang menjadi rangkaian pasaraya mega bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia Tenggara. Inilah kekuatan yang ada pada orang Cina, masih dalam perniagaan yang sama tetapi berkembang dan membesar.
Orang Cina bijak dalam bisnes berbanding kaum-kaum lain di Malaysia? Memang betul-betul bijak atau bagaimana...
Ia ada kaitan dengan pendedahan sejak kecil lagi. Sebab orang Cina ini kebanyakan membesar dari latar belakang keluarga peniaga. Macam saya sendiripun, membesar dari keluarga yang tidak pernah makan gaji. Sejak saya kecil lagi, keluarga saya dah biasa berniaga. Dari situlah tumbuhnya minat, kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan juga tumbuhnya pelbagai bentuk kebijaksanakan dalam bisnes termasuk juga mengira. Perkara ini boleh dibentuk. Kita mesti membudayakan budaya niaga itu dalam satu-satu masyarakat. Orang Melayu, dari segi latar belakangnya tidak punyai pengalaman dari segi perniagaan. Ini disebabkan ibu bapa mereka bekerja dalam bidang pertanian seperti penoreh getah, pesawah padi, pekerja buruh. Tetapi ini semua boleh diubah dan dibentuk.
Pemerhatian Saudara, sejauh mana operasi bisnes di Malaysia dijalankan secara halal ataupun mengikut kehendak Syariah?
Ini susah untuk diukur. Setakat ini kita tiada neraca atau piawaian yang boleh digunakan. Apa yang boleh dikatakan, bagi mempastikan berlakunya urusniaga halal, yang paling penting tiada unsur penipuan. Sebab, bila sebut sahaja bisnes orang akan kaitkan dengan penipuan. Untuk menjadikan bisnes ini suatu yang diberkati maka peniaga mestilah bersikap jujur dan amanah dalam bisnesnya. Ada orang kata, orang Cina berjaya dalam bisnes sebab mereka kuat menipu. Bagi saya, persepsi ini tidak betul. Semua ini anggapan buruk yang prajudis. Sebenarnya dari segi bisnes, orang Cina amat menekan soal kejujuran dan kepercayaan. Ini aspek yang paling penting bagi mereka untuk menjayakan satu-satu bisnes. Jadi, bila sudah ada kejujuran dan kepercayaan, keuntungan akan datang kemudian. Kalau ini dapat dilaksanakan, Insya-Allah operasi bisnes di negara kita sama ada yang dijalankan oleh orang Islam ataupun bukan Islam, sebenarnya bisnes itu sudah mengikut hukum syarak secara langsung ataupun tidak langsung. Sedar ataupun tidak!
Kepekaan ummat Islam hari ini, lebih fokus kepada “makanan halal“. Tetapi dalam “urusbisnes halal“ agak kurang peka. Dari segi ribanya, pembiayaannya, urusniaganya, etikanya...
Orang selalu kata, makanan halal boleh kita buat. Kita boleh promosikan makanan halal tetapi bukan bisnes halal. Sebab bisnes ini selalunya orang kata tidak halal sebab selalu guna taktik kotor, kena jatuhkan orang lain dan sebagainya. Ini semua persepsi-persepsi yang tidak tepat. Mesti ada rasuah, riba, penipuan dan pemerasan. Kita kena ubah persepsi ini. Bisnes ini suatu sunnah. Maknanya ia suatu yang digalakkan oleh Islam. Nabi SAWpun buat. Ini suatu yang halal. Yang mengotor dan menjadikannya haram ialah disebabkan oleh pemain-pemain di dalamnya. Mereka sebenarnya tidak tahu tuntutan dan falsafah bisnes yang dianjurkan oleh Islam itu. Untuk mengembalikan keadaan tersebut, kita harus bisnes ikut cara Islam. Bukan sahaja kita untung di dunia tetapi untung juga di akhirat kelak.
Logo “halal“ yang dikeluarkan oleh JAKIM hanya tertumpu kepada produk-produk makanan dan minuman. Tidak kepada “bisnes halal“ seperti yang disebutkan tadi. Macam kad kredit halal, pembiayaan halal, saham halal dan lain-lain... Mengapa pada pandangan Saudara logo “halal“ ini tidak digunakan?
Saya rasa ini suatu soalan yang baik. Pendekatan ini patutnya boleh digunakan tetapi untuk memberikan logo “halal“ kepada urusbisnes kewangan, kad kredit, saham, pelaburan, hartanah dan seumpamanya, agak rumit sikit. Ia tidak cukup dengan sekadar logo. Paling penting ialah pengisiannya. Kalau logonya halal, pendekatan tak betul, pengisiannya tidak ikut kehendak syariah, secara automatik ia jadi tidak halal. Dalam konsep yang berkaitan dengan urusbisnes, kewangan dan lain-lain, selain dari segi istilah ialah nilai agamanya mesti ada. Sebab itu, dalam apa-apa urusan sekalipun yang perlu ditekankan ialah nawaitu atau niat. Kalau niatnya betul, ikut syariah tidak jadi masalah. Yang penting logo halal asas ialah untuk dapat keredhaan Allah.
Dalam masyarakat bisnes Cina, peranan dewan-dewan peniagaan, macam mana? Berbanding dengan dewan-dewan perniagaan Melayu. Banyak juga...
Dewan perniagaan Cina ini amat penting sekali. Dewan-dewan inilah yang menjadi tonggak kekuatan kepada masyarakat Cina. Dewan-dewan ini berperanan melindungi, memayungi, tempat rujukan, menghulurkan bantuan dan tempat dapatkan nasihat. Dewan ini juga penting untuk mempertahankan perniagaan orang Cina. Ia berperanan dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan menjaga kepentingan ahli-ahlinya. Berbanding dengan dewan perniagaan Melayu, mereka jadikan dewan itu sebagai tempat berpolitik.
Mengapa Saudara dakwa begitu?
Ini realiti. Dewan perniagaan Melayu hanya dijadikan sebagai batu loncatan untuk memanjat ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi, untuk mendapatkan kontrak-kontrak dan peluang bisnes dari kerajaan, kadang-kadang hanya untuk menjaga kepentingan beberapa kerat pimpinan tertinggi dewan sahaja. Saya rasa itu bukan peranan dewan perniagaan. Dewan sewajarnya dapat membentuk kesatuan dan semangat kekitaan di kalangan ahli-ahli. Itulah sepatutnya menjadi matlamat utama penubuhan dewan-dewan ini. Orang Cina menjadikan dewan-dewan sebagai tempat untuk menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi. Bukan tempat untuk cetuskan masalah. Dalam dewan perniagaan Melayu, kita lihat ahli-ahlinya sentiasa berbalah, bertelingkahan. Dewan jadi tempat cetus masalah bukan jadi tempat selesaikan masalah !
Terdapat juga keterlanjuran peniaga Cina yang gunakan logo halal palsu, penyamaran restoran halal, campur aduk daging khinzir dan macam-macam lagi isu-isu kontroversi timbul. Mengapa ini terjadi?
Ini terjadi kerana logo halal telah diperniagakan. Peniaga-peniaga Cina gunakan logo halal sebab “halal“ sudah jadi comercial trademark dan daya tarikan yang sangat bernilai. Ia dapat meyakinkan orang ramai. Soal kebersihannya, produk yang dikeluarkan dan sebagainya. Apabila ia menjadi suatu yang bernilai maka akhirnya logo ini akan diperniagakan. Sebab itu timbul isu orang guna logo halal palsu. Ada yang membeli logo halal itu, tanpa diperiksa premisnya. Semuanya ini terjadi kerana kekuatan pada daya tarikan “halal“ itu sendiri. Logo halal itu secara automatik memberikan suatu keyakinan. Macam saya sebut tadi, orang Cina bisnes berteraskan soal kepercayaan. Jadi logo halal adalah bentuk trademark kepercayaan untuk menjual produk mereka di tengah-tengah pasaran.
Along atau Ah Long juga suatu bisnes dalam masyarakat Cina. Apa yang tak kena...
Mereka memperniagakan wang. Wang digunakan untuk menghasilkan wang. Ini juga dilakukan oleh bank-bank. Bank ini juga adalah Along tetapi ia sah dari segi undang-undang. Along yang kita perkatakan ini ialah Along yang tidak ada lesen menjalankan perniagaan. Cara-cara yang mereka gunakan itu bertentangan dengan undang-undang. Keras dan ganas. Along itu sendiri sebenarnya mendapat sumber kewangan daripada sumber-sumber yang haram. Sesetengahnya dapat dari bisnes pelacuran, judi, pengedaran dadah, sendikit penyeludupan dan sebagainya. Apabila sumbernya sudah tidak betul, bermakna keseluruhannya akan jadi tak betul juga. Sebab itu bisnes Along ini tidak selamat. Bukan sahaja kepada Along itu sendiri tetapi kepada peminjam pun tidak selamat. Benda haram, bila diguna pakai ia akan mendatangkan natijah yang tidak baik juga. Sekarang, peminjam tidak pernah siasat dari mana sumber Along dapat duit. Paling penting, meminjam dengan Along mudah dan cepat tanpa sebarang cagaran. Ini kerana prosedur bank-bank yang amat menyukarkan orang membuat pinjaman, Along jadi pilihan.
Tapi, ia salah di sisi undang-undang. Penguatkuasaan lemah!
Bagi saya, penguatkuasaan undang-undang cukup lemah terhadap kegiatan Along ini. Memberi pinjam duit tanpa lesen, jelas suatu kesalahan tetapi apa tindakan yang diambil ? Tiada. Ramai yang jadi mangsa, terdiri dari golongan peniaga-peniaga kecil macam penjaja tepi jalan, pengusaha gerai dan peniaga pasar malam. Mereka sukar sekali untuk dapatkan pinjaman bank-bank. Bagi saya, Along bukan penyelesaian untuk membantu menjayakan bisnes sebaliknya ia akan jadi api dalam sekam. Bisnes musnah, hidup merana dan silap-silap keluarga cerai-berai.
Secara umumnya, soalan terakhir, bagaimana Saudara melihat bisnes halal boleh menggantikan bisnes konvensional yang bertunjangkan riba dan menindas.
Potensinya cukup besar. Tidak ada seorangpun yang mahu bisnesnya gulung tikar disebabkan perkara-perkara yang boleh merosakkan bisnesnya. Konsep halal adalah jelas. Adil dan tidak menindas. Jauh dari penipuan. Ini paling penting. Ia nilai murni yang boleh diterima oleh semua. Konsep bisnes halal patut dipromosikan secara besar-besaran dan harus dimulakan oleh orang-orang Islam sendiri. Sebab itu saya selalu menekankan agar orang Islam terlibat dalam apa jua bisnes. Melalui bisnes kita bukan sahaja menonjolkan Islam itu cantik, tetapi keadilan dan kejujuran yang terbit dari bisnes halal adalah strategi dakwah paling efektif kepada bukan Islam. Inilah kejayaan RasulululLah SAW ketika berniaga. Ia bukan berpontensi kepada orang Islam semata-mata tetapi saya yakin, orang bukan Islam akan lebih membuka mata terhadap Islam melalui dunia bisnes halal ini. Saya optimis, orang Cina akan lebih yakin dengan bisnes halal berbanding bisnes konvensional seperti yang sedang diamalkan oleh mereka. Perkataan “halal“ itu sendiripun, sebenarnya suatu istilah yang positif dan ia tidak menyekat sesiapa untuk melaksanakannya.
1 ulasan:
saudara terlalu mengagungkan kaum cina. kelemahan n kesalahan kaum cina langsung tidak diulas. walaubgmanapn, temubual yg bagus.
Catat Ulasan