KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 21, 2008

Potensi BISNES HALAL Dan SIKAP Orang Melayu...

Kegagalan orang Melayu dalam bisnes, pada saya disebabkan oleh sikap. Ia tiada kaitan dengan bangsa atau keturunan. Tiada kaitan dengan genetik ataupun baka. Mahupun juga agama!

By TARMIZI MOHD JAM

(Bahagian Kedua)


Muqqadimah: Buku Rahsia Bisnes Orang Cina menjadi buku bestseller di Malaysia dan Indonesia. Terjual melebihi 22,000 naskah. Buku terbarunya, Formula Bisnes Negara China, belum mendapat maklumbalas penuh. Ia baru diterbitkan. Cetakan pertama sudah habis dan sekarang masuk ke cetakan kedua. Karya seorang penulis Cina yang kini memeluk Islam. Fasih berpidato dalam bahasa Melayu. Pengetahuannya yang detail tentang budaya bisnes orang Cina cukup menarik untuk digarap. Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM bersama Penolong Setiausaha Agung PERKIM, Sdra. ANN WAN SENG di pejabatnya, Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh. Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA

TARMIZI: Bagaimana Saudara melihat dunia bisnes halal di Malaysia berbanding bisnes konvensional?

ANN WAN SENG: Pada saya, bisnes cara konvensional ini agak terbatas berbanding dengan bisnes halal yang wujud dalam ajaran Islam. Ianya lebih luas dan pasarannya lebih besar. Bila sebut tentang halal, “halal“ ini semua orang boleh guna. Semua orang nakkan suatu yang halal termasuk orang bukan Islam kerana halal itu suci, baik, berkat dan positif. Jika sesuatu bisnes itu dijalankan dengan baik mengikut acuan Islam, saya yakin ia mampu menarik perhatian orang bukan Islam untuk turut menjalankan bisnes secara Islam, secara halal. Yang pertama bila kita sebut Islam, ia akan dikaitkan dengan keadilan, amanah, kebaikan dan juga dikaitkan dengan pengambilan untung mengikut kadar yang ditetapkan oleh Islam. Bukannya ambil untung sampai menindas dan menganiaya orang lain. Bisnes halal ini patut dikembangkan di Malaysia dan harus menjadi agenda utama kepada masyarakat Islam di negara ini.

Di negara kita, kalau dilihat betul-betul, orang-orang Melayu khususnya orang Islam gagal menjadi “pemain handal” dalam dunia bisnes berbanding dengan masyarakat Cina. Apa persepsi Saudara pada tanggapan ini...

Kegagalan orang Melayu dalam bisnes, pada saya disebabkan oleh sikap. Ia tiada kaitan dengan bangsa atau keturunan. Tiada kaitan dengan genetik ataupun baka. Mahupun juga agama. Malahan kalau kita perhatikan, Islam sendiri menggalakkan ummatnya turut terlibat dalam bisnes. Ini disebabkan oleh sikap orang-orang Melayu yang lebih suka makan gaji, sikap yang tak mahu susah, sikap yang tak berani berdepan dengan cabaran, kadang-kadang mereka berpegang dengan pepatah-pepatah Melayu yang sudah lapuk umpamanya “rezeki yang secukap tidak boleh jadi segantang“. Bagi saya, peribahasa-peribahasa begitu memberikan motivasi yang nagetif kepada orang-orang Melayu untuk bertindak. Sedangkan kalau kita kaji sejarah, orang Melayu pada zaman dahulu merupakan pemain-pemian bisnes yang cukup handal dan hebat.

Apa yang Saudara jumpa dalam catatan sejarah bisnes orang Melayu?

Orang Melayu pernah mengusai dunia perniagaan maritim (kelautan). Mereka kuasai Selat Melaka, Laut China Selatan dan mereka mendirikan pelabuhan-pelabuhan. Sebab itulah orang Portugis datang, orang Belanda datang, orang Bristish datang sebab kehebatan perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang Melayu waktu itu. Bisnes mereka hingga ke Afrika. Orang Melayu cukup mahir dengan ilmu pelayaran. Merekalah pemain bisnes handal yang berurusan dan jalinkan hubungan dengan pedagang China, India. Tetapi, hari ini orang-orang Melayu telah gagal menjadi pemain handal disebabkan mereka bukan sahaja bergantung harap tetapi sudah berada dalam zon selesa. Ini bermakna, mereka tidak perlu bekerja lebih kuat dari orang lain. Berbanding orang Cina. Mereka golongan pendatang. Imigran yang datang ke sini tidak mempunyai apa-apa tetapi mereka berjaya membangunkan ekonomi. Contoh penting ialah Loh Boon Siew. Dia datang ke Tanah Melayu sehelai sepinggang. Bukan sahaja tidak punyai wang, datang seorang diri tetapi dia juga buta huruf. Jadi, bagaimana Boon Siew yang buta huruf, miskin, tiada saudara-mara dan tidak ada latar belakang bisnes boleh menjadi jutawan dan ahli perniagaan terkenal pada hari ini? Bagi saya, ini contoh terbaik yang patut menjadi dorongan dan motivasi kepada orang-orang Melayu mengembalikan semula kehebatan mereka dalam dunia bisnes.

Tetapi pendapat ini cukup kuat. Orang Melayu gagal dalam bisnes kerana pegangan agama. Hukum hakam...

Bagi saya, persepsi ini tidak tepat dan salah. Banyak contoh yang boleh dikemukakan bagaimana agama Islam itu sendiri menggalakkan orang-orang Islam supaya terlibat dalam bidang bisnes. Sebabnya dalam Islam ini ada konsep yang perlu dilakukan oleh mereka seperti membayar zakat. Kalau nak bayar zakat, seseorang itu mesti ada duit. Dalam Islam, tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Semuanya itu adalah galakkan dari Islam supaya orang-orang Islam itu bergiat dalam bisnes. Dengan itu, hasil keuntungan yang diperolehi boleh membantu orang-orang susah yang lain. Dalam Islam juga ada konsep infaq dan sedekah. Semuanya itu ada nilaian pahalanya. Untuk mendapatkan pahala itu, maka seseorang mesti ada duit. Salah satu cara untuk dapatkan duit ialah melalui bisnes. Sebab Nabi SAW telah pertegaskan dalam satu hadis “sembilan persepuluh dari rezeki datangnya dari pintu bisnes“. Maknanya, sumber duit itu ada dalam bisnes. Kenapa kita tak rebut?

Masyarakat Cina Muslim juga terlibat dalam bisnes. Tetapi mereka boleh berjaya. Merujuk kepada perbandingan bangsa tadi...

Ini sekaligus membuktikan bahawa soal bangsa, keturunan, baka atau pegangan agama bukan isu untuk berjaya dalam bisnes. Islam tidak pernah menghalang seseorang itu untuk berjaya dalam bisnes. Halangan yang pertama ialah masalah sikap, psikaikologi, rendah diri, tak mampu nak bersaing dengan kaum-kaum lain dan sebagainya. Satu lagi yang perlu diatasi ialah sikap suka bergantung kepada orang lain. Umat Islam harus membina sistem kekuatan ekonominya yang tersendiri. Dan inilah yang dilakukan oleh masyarakat Cina Muslim. Mereka membentuk satu kelompok komuniti bisnes dan komuniti inilah yang bekerjasama antara satu sama lain.

Secara umumnya, apakah bisnes orang Cina juga bergantung kepada pembiayaan bank untuk menjalankan operasi bisnes mereka sepertimana orang Melayu...

Orang Cinapun bukan punyai asset yang banyak. Modal mereka juga seperti orang lain. Pada pemerhatian saya, orang Cina mula bisnes dari bawah. Bila mula dari bawah, modal yang digunakan tidak banyak. Berbanding orang Melayu, mereka suka bisnes mula dari besar. Dari atas. Makin lama makin kecil dan akhir sekali gulung tikar. Sebab, bila kita buka bisnes secara besar-besaran sudah tentulah modalnya juga besar. Kemungkinan mendapatkan modal ini tentunya dari pembiayaan bank. Bisnes belum lagi berjalan tetapi wang telah digunakan. Salah satu sikap yang kita dapat bandingkan antara orang Cina dan Melayu ialah orang Melayu dapat duit bank, dia tidak gunakan untuk membangunkan bisnesnya. Sebaliknya duit itu digunakan untuk membeli kereta mewah, ubahsuai pejabat, perabot pejabat, ubahsuai rumah malah ada pula yang berkahwin lebih. Bagi saya, bisnes seseorang itu berjaya atau tidak, ianya tak bergantung kepada berapa banyak pembiayaan bank tetapi yang paling utama ialah cara dia menguruskan wang pinjaman tersebut. Inilah kelemahan yang ada pada orang Melayu. Sebab, soal pinjaman bank ini sudah jadi suatu kemestian dalam bisnes. Malah, paling teruk untuk dapatkan modal, ada yang pinjam dari Along.

Tiada ulasan: