By TARMIZI MOHD JAM
(Bahagian Satu)
Muqqadimah: Buku Rahsia Bisnes Orang Cina menjadi buku bestseller di Malaysia dan Indonesia. Terjual melebihi 22,000 naskah. Buku terbarunya, Formula Bisnes Negara China, belum mendapat maklumbalas penuh. Ia baru diterbitkan. Cetakan pertama sudah habis dan sekarang masuk ke cetakan kedua. Karya seorang penulis Cina yang kini memeluk Islam. Fasih berpidato dalam bahasa Melayu. Pengetahuannya yang detail tentang budaya bisnes orang Cina cukup menarik untuk digarap. Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM bersama Penolong Setiausaha Agung PERKIM, Sdra. ANN WAN SENG di pejabatnya, Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh. Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
TARMIZI: Muktakhir ini nampaknya Saudara banyak menulis buku-buku berkenaan bisnes dan pengurusan. Mengapa fokus genre ini dipilih?
ANN WAN SENG: Sebenarnya, bukan muktahir ini. Saya telah lama menulis tentang motivasi bisnes dan pengurusan dalam majalah Dewan Ekonomi, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, i-Islam dan beberapa majalah lain. Cuma saya merasakan sekarang ini masa yang paling sesuai untuk dibukukan semua tulisan saya yang berkaitan dengan motivasi bisnes dan pengurusan untuk dikongsi bersama dengan masyarakat khususnya masyarakat Islam. Sebab ekonomi ini memainkan peranan cukup penting bukan sahaja dalam pembangunan sesuatu masyarakat tetapi ia juga menjadi saluran untuk dakwah, membangunkan insan hatta bisnes merupakan sunnah Nabi SAW yang cukup penting.
Maksud Saudara...
Sunnah ini telah diabaikan oleh ummat Islam. Sedangkan Nabi SAW telah berpesan sembilan persepuluh dari rezeki datangnya dari bisnes. Nabi sendiripun merupakan seorang bussinesman yang berjaya dan amanah. Isteri Baginda juga, Siti Khadijah merupakan seorang bisnes woman dan ramai sahabat-sahabat Nabi juga ahli perniagaan yang telah menggunakan hasil keuntungan bisnes mereka untuk membantu perjuangan Islam. Jadi, saya merasakan, bisnes ini kalau kita lakukan dengan betul ia dapat dimanfaatkan untuk perjuangan Islam. Untuk memartabatkan Islam. Untuk mengembalikan maruah Islam yang sudah tercalar dan tercemar sejak kebelakangan ini. Umat Islam cukup lemah. Sebab mereka tidak kuasai ekonomi. Mereka ditindas. Ekonomi dikuasai oleh orang bukan Islam. Padahal kalau kita tengok dari segi sejarah, ummat Islam sebenarnya mempunyai kekuatan ekonomi yang cukup hebat yang pernah mereka bangunkan suatu ketika dahulu. Jadi, saya memilih genre ini sebagai fokus utama kerana merasakan sudah sampai masanya ummat Islam dan khususnya di kalangan saudara baru dapat dikeluarkan dari kepompong kemiskinan, kepompong kemelaratan dan juga masalah-masalah yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk menunjukkan suatu teladan yang baik pada masyarakat yang lain khususnya pada mereka yang bukan beragama Islam.
Apa judul buku-buku yang Saudara hasilkan berkenaan motivasi bisnes dan pengurusan? Setakat ini bagaimana sambutan dan pencapaiannya?
Saya telah menghasilkan empat buah buku berkaitan dengan bisnes iaitu Rahsia Bisnes Orang Cina, Rahsia Bisnes Orang Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea dan yang terbaru, baru diterbitkan dua bulan lepas iaitu buku Formula Bisnes Negara China. Saya banyak menulis khususnya tentang budaya bisnes orang Cina kerana ia mempunyai pembaca yang cukup meluas dan ramai yang ingin tahu rahsia bisnes kaum ini. Agaknya kerana orang Cina menguasai ekonomi di mana-mana maka pembaca ingin tahu rahsianya. AlhamdullilLah! Sambutan terhadap buku-buku ini cukup memberangsangkan. Buku Rahsia Bisnes Orang Cina sahaja sudah dicetak tujuh kali dalam tempoh setahun. Sebenarnya lapan kali iaitu satu dalam bentuk paper bag. Buku ini juga telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Ia diterbitkan pada bulan Januari tahun ini dan maklumbalas yang saya terima, dalam masa enam bulan ia sudah dicetak tujuh kali di Indonesia. Diterbitkan oleh Penerbit Hikmah iaitu salah satu syarikat yang terletak di bawah Syarikat Penerbitan Mizan. Di Malaysia buku-buku ini diterbitkan oleh PTS Publishers & Distributors Sdn. Bhd.
Bukankah buku Rahsia Bisnes Orang Cina menjadi bestseller di Malaysia...
Buku Rahsia Bisnes Orang Cina ini telah menjadi buku bestseller di Malaysia. Ia masih mendapat permintaan dari pengedar buku seluruh negara. Bukan sahaja di Malaysia, ia juga menjadi bestseller di Indonesia. Pada kulit buku ini, untuk cetakan ke tujuh ada diiklankan “Terjual melebihi 22,000 naskah Bestseller di Malaysia dan Indonesia“. Bagi buku Formula Bisnes Negara China, maklumbalas penuh belum diketahui. Ia baru diterbitkan. Cetakan pertama sudah habis dan sekarang masuk ke cetakan kedua. Popular Bookshop khabarnya menempah 3,000 naskah untuk edaran seluruh rangkaian kedai-kedai bukunya.
1 ulasan:
Hellο there, I discοvered yοuг blog by the use of Gοogle whilѕt looκing for а ѕіmilar mаtter, yοur
wеb ѕite gоt here up, it аpρеars to be liκe great.
I have booκmaгked it in my gооgle bookmarks.
Ι'm now not positive the place you'гe getting your informatіon,
however gοоd topic. I neeԁs to sρend some tіme lеaгning muсh mоre or unԁeгstanԁing more.
Τhаnks for excellent infο I used to be looκing for this information for mу mission.
Ηerе іs mу blog post
- same day loans
Catat Ulasan