KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 13, 2008

DAP BIMBANG TAKUT DIHENTAM JIKA TERIMA MB DARI PAS!



Gambar-gambar telah dirakam di Pejabat Perhubungan PAS Perak oleh Blog Al-Husyen sejurus kembalinya Ir. Nizar Jamaluddin dari mengadap Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah

By BERNAMA

BAKAL Menteri Besar Perak yang baru, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini berkata kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS yang memerintah Perak akan memberikan layanan yang adil dan saksama terhadap seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Beliau memberi jaminan tidak ada mana-mana kaum akan diberikan layanan istimewa berbanding kaum-kaum lain selaras dengan prinsip Islam yang menetapkan keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira kaum.

"Kita tidak akan pinggirkan mana-mana pihak... kerajaan ini mengamalkan dasar kolektif dan sebarang keputusan akan dibuat bersama," katanya pada sidang akhbar sulungnya di pejabat PAS Perak sejurus selepas menghadap Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah di Istana Kinta di sini pada pukul 5 petang hari ini.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah memperkenankan pelantikan Mohamad Nizar, 51, sebagai Menteri Besar Perak ke-10 selepas ketiga-tiga parti itu semalam mengemukakan tiga nama - Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham, 47; Bendahari PKR Perak Jamaluddin Mohd Radzi, 52; dan Mohamad Nizar yang juga Setiausaha PAS Perak untuk dipilih bagi jawatan itu dan seterusnya mengetuai kerajaan negeri yang baru.

Senarai nama berkenaan dikemukakan selepas ketiga-tiga parti itu mendapat perkenan baginda untuk membentuk kerajaan campuran.PAS yang memenangi enam kerusi dan PKR tujuh kerusi bergabung dengan DAP yang memperoleh 18 kerusi untuk membentuk kerajaan campuran selepas menguasai majoriti mudah 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam pilihan raya umum Sabtu lepas.

Barisan Nasional (BN) memperoleh 28 kerusi. Pada pilihan raya 2004, BN menguasai 52 daripada 59 kerusi DUN.Mohamad Nizar, anggota DUN Pasir Panjang, akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 4 petang esok.

Beliau berkata perkenan Sultan Perak dimaklumkan kepada beliau oleh Raja Dr Nazrin Shah yang menerima rombongan pemimpin ketiga-tiga parti itu menghadap di Istana Kinta.

Beliau berkata kerajaan campuran itu juga akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Menteri Besar yang akan disandang oleh anggota DUN yang mewakili kaum Cina sebagai Timbalan Menteri Besar 1 dan Timbalan Menteri Besar II mewakili kaum India.

"Kita akan merujuk Penasihat Undang-undang Negeri bagi mewujudkan jawatan itu... belum ada jawatan itu di Perak tetapi di negeri lain sudah ada jadi ada ruang.Jawatan-jawatan itu akan diisi oleh Cina dan India," katanya.

Ngeh, anggota DUN Sitiawan, ketika bercakap kepada pemberita di luar Istana Kinta berkata beliau akan menyandang jawatan Timbalan Menteri Besar 1 manakala jawatan Timbalan Menteri Besar II masih belum diputuskan.

Nizar berkata dasar kerajaan campuran yang akan dikenali sebagai kerajaan Barisan Rakyat itu akan mengamalkan dasar yang mengambil kira kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

"Ini kerajaan dari rakyat kepada rakyat yang akan memberi kekuatan kepada rakyat...kita akan bekerjasama memastikan rakyat mendapat kesaksamaan, keadilan dan pembelaan. Insyallah kekuatan rakyat akan membawa Perak kembali kepada zaman cemerlang, gemilang dan terbilang yang pernah dilalui," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai termasuk penyokong ketiga-tiga parti supaya bertenang bagi memastikan peralihan kerajaan berjalan licin.

"Jangan wujud rasa bimbang dan kepada para penyokong diharap terima hakikat dan menghormati keputusan baginda Sultan...semua tiga parti juga telah berikrar bersetuju dengan keputusan yang dibuat atas kebijaksanaan baginda," katanya.

Mohammad Nizar juga merayu para penyokong supaya tidak mengadakan perarakan bagi meraikan kemenangan menubuhkan kerajaan baru sebaliknya mereka diminta mengadakan majlis kesyukuran secara kecil-kecilan di tempat masing-masing.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang telah membantu proses pilihan raya dan peralihan kuasa berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu Ngeh yang juga Pengerusi DAP Perak yang ditemui pemberita di perkarangan Istana Kinta petang tadi mengakui banyak pihak akan mengkritik dan mempertikaikan mengapa DAP yang menguasai 18 kerusi DUN tidak diberikan mandat untuk menerajui kerajaan campuran Perak.

Beliau berkata perkara tersebut telahpun diperincikan oleh Dr Raja Nazrin ketika pertemuan di Istana Kinta petang tadi.

"Sungguhpun setiap parti inginkan calon mereka dipilih (sebagai Menteri Besar) untuk menerajui kerajaan campuran tetapi di bawah Perlembagaan Negeri Perak, keputusan muktamad merupakan hak dan atas budi bicara baginda Sultan Perak."

Jadi harapan kita ialah sungguhpun calon PAS dipilih menjadi Menteri Besar, dia (Nizar) sudah pun menjanjikan hanya mengamalkan polisi-polisi yang dipersetujui bersama oleh semua parti campuran ini," katanya.

1 ulasan:

sniper berkata...

PAStikan isu ini ditangani dengan tabah dan bijak. Walau apa juga motif DAP keluarkan kenyataan negatif tersebut, PAS mesti bertindak matang.

Jangan terikut-ikut dengan puak Umno-Bn yang mula melatah merata-rata sekarang ni..bak kata orang tua-tua, menarik tepung rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan bersepah ..

PAStikan Perak menjadi contoh/model buat semua bahawa PAS memang layak memimpin. Dalam perjanjian Hudaibiyah pun Nabi SAW boleh bertolak ansur dengan musyrikin Mekah, inikan pula kita berurusan dengan musyrik cina..

Apa yang penting, PAS boleh kembali menghidupkan budaya ilmu di seluruh masjid dan surau, boleh menjamin kebajikan umat Islam dan memastikan ketelusan dan kesaksamaan dalam mentadbir.

Biarlah DAP dan PKR menguruskan isu perindustrian, alam sekitar, sains dan teknologi atau sebagainya kerana kita perlu meraikan juga kepakaran dan kemahiran mereka. Tak perlu PAS tamak untuk menjuarai semua isu.

Jika berjaya menyatupadukan umat melayu atas nama Islam untuk hadir ke surau dan masjid, dan wang zakat/baitulmal diagih dengan sebaiknya sudah cukup baik buat PAS Perak.