WALAUPUN lega dengan penarikan balik penggantungan Harakah pada Jumaat lepas, sidang pengarangnya tetap kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebabkan ia mengalami kerugian, lapor Ali Bukhari dari Malaysiakini hari ini.
Akhbar dwimingguan PAS itu gagal diterbitkan selama tiga keluaran sejak arahan itu dikuatkuasakan serta-merta 23 Mac lalu.
Ketua Pengarangnya Ahmad Lutfi Othman berkata ia juga mengalami kerugian setelah mencetak 50,000 keping pelekat dan 30,000 poster kempen 'Bebaskan Harakah' bagi menentang tindakan KDN itu.
PAS melancarkan Hujjah mulai Jumaat lepas sebagai menggantikan Harakah - hari yang sama perdana menteri baru Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penarikan balik arahan kementerian tersebut.
Selepas pengumuman itu, tabloid politik berusia 22 tahun itu diterbitkan seperti biasa mulai hari ini - dengan ketebalan 56 halaman dan harga kekal RM2 senaskhah.
Selang 12 jam sebelum pengumuman mengejut Najib itu, KDN melancarkan rampasan Hujjah, yang tidak mempunyai permit penerbitan, di beberapa tempat di seluruh negara.
Kira-kira 1,300 naskhah tabloid politik itu dirampas di Bukit Mertajam, sementara pegawai kementerian menyiasat syarikat percetakannya di Shah Alam.
Rampasan di tempat-tempat lain tidak diperolehi, kata Ahmad Lutfi kepada Malaysiakini.
Tambahnya, kempen untuk kebebasan media alternatif akan diteruskan walaupun kerajaan telah membatalkan tindakannya terhadap Harakah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan