KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 06, 2009

Mohamad Sabu tanya BN, mengapa larang isu Altantunya dibangkitkan dalam kempen pilihan raya?



WALAUPUN pelbagai kecaman dilancarkan BN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menaruh keyakinan PAS dan Pakatan Rakyat akan dapat menangkis serangan tersebut. Seterusnya akan dapat mempertahankan Parlimen Bukit Gantang. Ikuti pendapat beliau mengenai potensi serta gerak kerja PAS sepanjang pilihan raya tersebut.

BN dilihat mengecam pesonaliti calon PAS, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Bagaimana PAS menghadapi situasi ini?

MOHD SABU: Isu sembah derhaka dan Dato' Seri Mohamad Nizar alat DAP digunakan oleh BN dalam kempen mereka. Bagi menangkis tohmahan tersebut, kita yakin dengan kempen dari rumah ke rumah dapat memberi penerangan kepada orang ramai. Saya yakin orang Melayu boleh faham. Paling kurang, undi kita 2004 dahulu akan kekal. Dan saya juga yakin undi di kalangan anak muda juga akan meningkat.

Maknanya isu yang dimainkan BN ini tidak akan mempengaruhi serta memberi kesan kepada orang Melayu?

Kita tidak akan cakap memberi kesan tetapi kita mesti bekerja keras untuk memberi maklum balas kepada mereka. Jika kita biarkan, memang ia akan terkesan. Tetapi oleh kerana dalam pilihan raya ada tuduh menuduh serta jawab menjawab, gayung dihayun, gayung disambut. Jadi tidak ada masalah bagi kita untuk memberi penerangan kepada pengundi-pengundi.
Jentera penerangan kita kuat, terutama memberi penerangan dari rumah ke rumah. Insya-Allah kita dapat menghadapi segala tohmahan yang dilemparkan.

Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang merupakan referendum peralihan kuasa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi kepada Dato' Seri Najib Tun Razak. Sejauh mana ia benar?

Ya, itu satu 'testing' kepada rakyat sama ada menerima atau tidak. Sebab kalau kita tengok pada hari penamaan calon sudah nampak kebangkitan rakyat. Kita melihat kebangkitan rakyat semacam menolak kepimpinan Najib yang tidak selesai lagi masalah dengan pendedahan dalam akhbar Perancis yang mengaitkan Najib dengan Altantuya.

Sejauh mana kemelut politik di Perak sebelum ini mempengaruhi undi terhadap PAS?

Walaupun kemelut politik berlaku di Perak, tetapi setelah kita memberi penerangan kepada rakyat, kita yakin sokongan masih berpihak kepada kita. Terutama golongan bukan Melayu dan juga generasi muda di kalangan orang Melayu.

Polis mengeluarkan larangan isu Altantuya tidak boleh dibangkitkan sepanjang pilihan raya kecil di Bukit Gantang. Apakah larangan ini wajar dipatuhi?

Polis boleh keluarkan larangan tetapi dia tidak mempunyai hak untuk melarang kita daripada bercakap. Kita minta Najib dakwa surat khabar Perancis di mahkamah. Kita minta suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat. Adakah polis hendak membuat satu undang-undang baru bahawa jika menimbulkan isu Altantuya akan didakwa di bawah Akta Hasutan. Naib Presiden PAS ingin memberitahu agar polis mengikut undang-undang. Jangan jadi bodoh!

Rasuah di kalangan Umno dilihat masih berakarumbi di dalam Umno walaupun berlaku peralihan kuasa. Ia memberi tamparan kepada Umno di Bukit Gantang. Pandangan saudara mengenai perkara ini?

Rasuah di dalam Umno menjadi isu utama selain hilangnya keyakinan rakyat terhadap Umno itu sendiri. Mengikut Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen dia meminta bubarkan sayap-sayap Umno dan juga bubarkan Umno.
Walaupun berlaku peralihan kepimpinan dalam Umno, rasuah lagi 'kuat' berlaku. Yang menang dalam pemilihan Umno itu pun terlibat dengan politik wang. Boleh dikatakan Umno itu sendiri terlibat dengan barah.
Misalnya kekalahan Mukhriz. Kita lihat begitu jelas beliau mendapat pencalonan tertinggi tetapi memperoleh undi paling merosot. Isu rasuah ini tetap memberi tamparan kepada Umno dan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang ini.

Ini bermaksud pengundi-pengundi sudah memahami bahawa Umno terlibat dengan politik wang?

Pengundi-pengundi Cina terutamanya sudah memahami bahawa pimpinan Umno banyak terlibat dengan poliitik wang. Begitu juga dengan pengundi India. Dan pengundi Melayu juga sudah ramai yang memperkatakan mengenai politik wang ini, terutama golongan pertengahan. Golongan pertengahan ini kebanyakannya di Bandar Taiping.

Difahamkan PAS memulakan kempennya sebelum hari penamaan calon. Sehingga kini adakah kempen PAS memenuhi sasaran?

Kempen PAS di Bukit Gantang telah bermula sebelum penamaan calon lagi. Ahli-ahli PAS dari Kelantan telah turun ke Bukit Gantang sejak berlaku kekosongan kerusi tersebut. Majlis-majlis yang kita anjurkan telah berjalan lancar. Dan tinggal dua tiga hari lagi sebelum pilihan raya ini, inilah masanya kita menangkis serangan-serangan BN dan Umno dan segala serangan tersebut perlu kita jawab.

Bagaimana dengan kerjasama di kalangan Pakatan Rakyat yang lain?

Kerjasama yang diberikan amat baik. Kemunculan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta tokoh-tokoh pimpinan daripada KeADILan memberikan kerjasama yang cukup erat. DAP menyumbangkan tenaga yang maksimum untuk memastikan kemenangan PAS di Bukit Gantang ini.

Apakah kehadiran calon bebas dalam pilihan raya ini akan mengurangkan undi terhadap PAS?

Pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan pertarungan antara dua gergasi. Jadi kehadiran calon bebas, Kamarul Ramizul Idris tidak banyak mempengaruhi jumlah undi. Kehadiran calon bebas di Bukit Gantang seperti di Permatang Pauh, yang mana tidak mempengaruhi jumlah undi.

Jadi, PAS berkeyakinan penuh akan mempertahankan Bukit Gantang?

Ya, Insya-Allah kita akan dapat mempertahankan Bukit Gantang.

Tiada ulasan: