KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 06, 2009

PRM mahu pengundi tolak semua calon BN di dua bukit dan satu batang esok!


PARTI Rakyat Malaysia (PRM) menyeru pengundi kawasan Parlimen Bukit Gantang memberikan sokongan bulat kepada calon PAS Nizar Jamaluddin serta menolak calon BN dan menyeru pengundi DUN Bukit Selambau Kedah dan Batang Ai Sarawak mengundi KeADILan dalam pilihanraya kecil 7 April ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yon, pilihan raya kecil yang di sedang berlangsung kini khususnya di Bukit Gantang mempunyai makna yang penting dalam peringkat perkembangan sejarah negara. Keputusannya akan mempengaruhi halatuju politik demokrasi negara akan datang serta dasar-dasar ekonomi dan sosial.

Beliau bersetuju dengan pandangan calon PAS Bukit Gantang, Dato' Seri Nizar Jamalauddin bahawa pilihan raya kecil ini harus ditanggap sebagai pungutan suara rakyat terhadap dasar dan politik BN yang tidak demokratik dan korup.

Ia juga sebagai protes perbuatan Umno yang merampas kuasa pemerintahan negeri Perak daripada kerajaan Pakatan Rakyat tanpa mengikut peraturan dan proses yang sah.

"Inilah peluang dan ketika yang sesuai untuk rakyat sekali lagi bersuara. Mereka telah muak dan menolak politik dan dasar Umno/BN yang dasarnya hanya menguntungkan segelintir manusia yang berkuasa, dan rakyat mahu menyaksikan perubahan yang tulin dan bernas dilakukan," tegas beliau ketika dihubungi.

Katanya, rakyat negera ini telah menyaksikan manfaat pertukaran separa parti pemerintahan di lima buah negeri pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu. Perubahan memang baik untuk rakyat khususnya di negeri Perak, ujar beliau lagi.

Koh berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat Perak di bawah pimpinan Nizar Jamaluddin telah melaksanakan beberapa perubahan dasar yang dicita-citakan oleh rakyat negeri itu dalam masa yang singkat. Perubahan begini tidak mungkin berlaku pada bila-bila masa di bawah kerajaan Umno/BN.

"Rakyat juga menyaksikan kebajikan mereka di negeri-negeri di bawah kuasa Pakatan Rakyat dijaga dengan baik. Umpamanya dasar air percuma bagi penggunaan air 20 meter padu yang pertama telah dilaksanakan di negeri Selangor, sebuah negeri di bawah Pakatan Rakyat," jelas beliau.

Akan tetapi, tegas beliau, apabila kerajaan negeri Selangor hendak membeli balik syarikat yang mengurus air, kerajaan Pusat di bawah BN campurtangan dan mengambil alih syarikat berkenaan.

Kini, bayaran bil air di negeri Selangor akan dinaikkan sebanyak 31% dan ini jelas menunjukkan tujuan untuk menjaga kepentingan kroni Umno yang menguasai syarikat tetapi mengalami kerugian teruk.

Pada masa yang sama, dakwa Koh, BN cuba menggagalkan dasar air percuma bagi 20 meter padu kerajaan Pakatan Rakyat dan seterusnya menghapuskan mana-mana dasar yang menjaga kepentingan rakyat.

Kata Koh lagi, walaupun kepimpinan Umno telah bertukar tangan, parti itu tidak akan melakukan apa-apa perubahan yang bernas sebaliknya perubahan hanya kosmetik untuk mengabui mata dan meredakan kemarahan rakyat dan pada masa yang sama menutup kekorupan dan ketamakan pemimpin Umno.

Tiada ulasan: