KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Februari 17, 2008

Ada Lebih Penting Dari PETI UNDI LUTSINAR atau CELUP DAKWAT!

Pengerusi SPR sendiri mengambil sikap memusuhi pembangkang. Sepatutnya beliau bekerja keras memperbaiki imej dan melihat apa yang didakwa oleh pembangkang. Siapa yang boleh menafikan bahawa parti-parti pembangkang adalah sebahagian daripada stakeholders dalam soal pilihan raya?”


Oleh TARMIZI MOHD JAM


TERDAPAT beberapa perkara asas dan pokok yang perlu ada dalam sebuah pilihan raya yang bebas dan adil, kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

“Secara umum perjalanan pilihan raya itu tidak dicemari oleh apa-apa yang boleh menyebabkan ada pihak yang berasa bahawa mereka didiskriminasikan,” ujarnya yang berasa yakin bahawa parti-parti politik cukup matang dan bertanggungjawab dalam membangkitkan soal-soal itu.

“Saya fikir semua parti politik sedar bahawa mereka perlu munasabah dalam membangkitkan apa yang mereka fikir sebagai ketidakadilan. Ini kerana tindak tanduk mereka akan dinilai oleh pengundi dan rakyat seluruhnya. Dengan itu mereka tidak akan menimbulkan perkara-perkara remeh”.

Pensyarah undang-undang itu percaya bahawa hal-hal yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak dari parti-parti politik pembangkang, Gabungan BERSIH dan pemantau MAFREL wajar dilihat dan diambil tindakan.

Dr. Abdul Aziz menyatakan bahawa adalah tidak munasabah untuk mereka sengaja menghabiskan masa membangkitkan perkara-perkara yang akan menyeret mereka dari isu sebenar yang lebih penting yakni dasar dan corak pemerintahan yang mereka cuba kemukakan jika menang.

Setakat ini apa yang anih dan memperkukuh andaian itu ialah pihak Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dikatakan sekata dalam mempertahankan status yang ada baik dari segi undi pos, dakwaan pengundi hantu dan seumpamanya.

“Ini menjejaskan kredibiliti SPR dan yang menyedihkan Pengerusi SPR mengambil sikap memusuhi pembangkang. Sepatutnya beliau bekerja keras memperbaiki imej dan melihat apa yang didakwa oleh pembangkang. Siapa yang boleh menafikan bahawa parti-parti pembangkang adalah sebahagian daripada stakeholders dalam soal pilihan raya ini?” Soal pensyarah undang-undang di UIAM itu.

Beliau menyifatkan penggunaan peti undi lutsinar, dakwat dan lain-lain adalah kecil meskipun penting. Apa yang lebih utama ialah member ruang untuk semua parti politik dalam media kerajaan yang dibiayai oleh pembayar cukai.

Begitu juga dengan soal undi pos. Dr. Abdul Aziz berpendapat Pengerusi SPR terus mempamerkan keangkuhan dan sikap berat sebelahnya dalam sidang akhbar hari ini, 14 Februari.

“Beliau tidak memperlihatkan kredibiliti atau sikap tidak memihak yang perlu dipertontonkan oleh seorang yang memimpin badan seperti SPR,” tegas beliau lagi.

Dr. Abdul Aziz membangkitkan dakwaan pembangkang kerana beliau berpendapat bahawa pembangkang mempunyai peranan penting di dalam sistem kerajaan di negara ini.

“Tanpa pembangkang yang efektif, bagaimana kita dapat mewujudkan kerajaan yang bertanggungjawab kepada parlimen sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan?” soal beliau.

Dr. Abdul Aziz berkata penyokong kerajaan tidak dapat mengambilalih peranan pembangkang kerana mereka terikat dengan whip dan tidak mungkin mengundi tidak percaya kepada kerajaan yang ada sedangkan inilah peranan yang dimaksudkan oleh Perlembagaan.

“Paling tinggi mereka akan sesekala mengambil sikap kritikal seperti yang dimainkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Dato Shahrir Samad atau Zaid Ibrahim. Tetapi mereka tetap bersama kerajaan sewaktu mengundi rang undang-undang di parlimen atau sewaktu berucap,” jelas Aziz lagi.

Sebab itu kempen pembangkang sifar yang dipelopori oleh Khir Toyo tidak selaras dengan Perlembagaan khususnya dan demokrasi amnya.

Slogan itu jelas menunjukkan bahawa Menteri Besar Selangor itu tidak faham konsep demokrasi atau konsep kerajaan secara kabinet di dalam perlembagaan.

“Tetapi lebih malang dan mengaibkan ialah apabila ada Profesor dari IPTA sepertimana yang kita lihat dalam rancangan Hujah di TV9 yang bercakap lebih teruk dan lebih jahil dari Khir Toyo,” tambahnya.

Dr. Abdul Aziz berpendapat sebuah sistem dua parti perlu dibina dan diperkasakan demi masa depan demokrasi di negara ini.

Beliau berkata rakyat perlu memahami kelemahan dan kekurangan parti-parti pembangkang kerana parti-parti di bawah BN pun tidak kurang bermasalah.

“Cuma mereka mempunyai sumber kewangan untuk menutup mulut dan memberi sagu hati kepada pihak-pihak yang tidak puas hati,” tambahnya.

Apa yang menjadi masalah ialah kita terlalu mengambil serius tentang masalah antara parti-parti pembangkang sedangkan ia kecil berbanding dengan keperluan membina sebuah parti yang dapat menyaingi dan menjatuhkan kerajaan.

“Walaupun NGO penting dalam demokrasi, peranan mereka berbeza dan mereka tidak dapat mengambil peranan pembangkang yang disebut di dalam Perlembagaan. Begitu juga dengan pihak media yang mempunyai peranan yang berbeza meskipun mereka, sebagaimana NGO, boleh memberi sumbangan dalam memperkasa mekanisme semak dan imbang kita,” tegas Dr. Abdul Aziz yang pakar dalam Perlembagaan.

Tiada ulasan: