Oleh TARMIZI MOHD JAM
Profesor Dr Abdul Aziz Bari kelmarin menulis sebuah artikel mengenai kerajaan sementara dalam malaysiakini.com.
Saya minta beliau membuat penjelasan ringkas mengenai konsep kerajaan sementara, terutamanya hujah perlembagaannya dan mengapa ia mempunyai kuasa yang terbatas.
“Kerajaan sementara timbul kerana kerajaan yang ada secara automatik terbubar dengan terbubarnya Dewan Rakyat.
Ini kerana kerajaan, baik di peringkat pusat mahupun negeri berdiri diatas kekuatan atau sokongan majoriti di dalam dewan,”jelasnya.
Sebab itu, tambahnya, apabila Dewan Rakyat dibubarkan maka dengan sendirinya kerajaan yang berdiri diatas nya pun bubar sama.
Dengan kata lain, jelas Dr. Abdul Aziz, kerajaan yang ada itu tidak wujud lagi. Sebab itu Perdana Menteri dan anggota kabinet yang lain tidak boleh menggunakan kemudahan kerajaan.
“Adalah tidak logik dan bertentangan dengan undang-undang jika sebuah entiti yang sudah tidak mempunyai dasar Perlembagaan terus bertindak dan berbuat sesuatu seolah-olah tidak berlaku sebarang perubahan,” tegasnya.
Selain itu, Dr. Abdul Aziz menegaskan, adalah tidak adil jika kerajaan menggunakan kuasa dan kemudahan kerajaan hingga menafikan parti-parti lawan terhadap kemudahan yang sama.
“Malangnya sejak merdeka kerajaan-kerajaan yang memerintah tidak pedulikan konsep itu. Sebenarnya konsep kerajaan sementara ini secara langsung mengingatkan bahawa kerajaan yang ada itu sekadar membuat kerja yang penting,” jelasnya.
Pensyarah UIAM itu menjelaskan bahawa meskipun kerajaan sementara ini tidak disebut oleh Perlembagaan, ia ada menyebut secara tidak langsung dalam Perkara 43(2) yakni seseorang yang dilantik oleh Yang di Pertuan Agong hendaklah meletakkan jawatan apabila Perdana Menteri yang baru dilantik selepas pilihan raya.
Katanya lagi, konsep kerajaan sementara itu perlu dilihat dalam konteks kerajaan dalam sistem Westminster dimana eksekutif dilantik oleh ketua negara bukan dilantik secara langsung melalui pilihan raya sebagaimana di Amerika Syarikat.
Ketua Negara membuat perlantikan itu berdasarkan sokongan majoriti yang ia miliki di Parlimen yakni Dewan Rakyat.
“Seperti yang dikatakan, kerajaan sudah tidak wujud lagi, apabila Perdana Menteri meminta supaya Parlimen dibubarkan secara tidak langsung itu turut membubarkan kerajaan yang dipimpinnya.”
Malangnya Mahkamah Persekutuan, pada 2001, membuat keputusan bahawa kerajaan sementara boleh mengisytiharkan darurat.
Ini tidak logik kerana kalau dalam hal-hal yang lebih kecil pun ia dilarang berbuat demikian apatah lagi dalam isu-isu besar seperti mengisytiharkan darurat yang umumnya mempunyai kesan menggantung Perlembagaan.
Ketua Pembangkang semalam, menyeru rakyat membuat laporan polis sekiranya kerajaan yang ada melepasi garisan yang betul.
Ini penting, kerana jika dibiarkan mereka mungkin akan melakukan perkara-perkara besar, seolah-olah mereka masih memiliki kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan