KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mac 12, 2008

Government In Waiting: ANWAR Perlu Segera Bentuk Kerajaan Persekutuan, MUDAHKAN KERJA DI LIMA NEGERI!

Anwar cuba untuk menjadi Perdana Menteri melalui Umno tetapi gagal dan beliau terpaksa menggadaikan banyak prinsip perjuangan beliau apabila beliau menyertai Umno pada 1982. Kini... peluang itu sudah terbentang!

By TARMIZI MOHD JAM

DENGAN jumlah 82 kerusi yang dimiliki sekarang, parti-parti pembangkang di bawah Barisan Rakyat – DAP, PKR dan PAS – Anwar perlu bekerja untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Demikian pendapat Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari UIAM ketika dihubungi. Beliau berpendapat apa yang disebut oleh Dato Seri Anwar Ibrahim hari ini sebagai “government in waiting” perlu dimulakan penubuhannya.

Dr. Abdul Aziz berkata Kerajaan Barisan Rakyat perlu diwujudkan di peringkat Persekutuan untuk mempermudahkan kerja lima kerajaan negeri yang telah dibentuk di Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

“Kerajaan Persekutuan itu perlu kerana sistem Perlembagaan kita meletakkan terlalu banyak kuasa dan sumber kewangan di tangan Kerajaan Pusat.

"Tanpa Kerajaan Pusat yang mesra dengan mereka, negeri-negeri berkenaan akan mengalami laluan sukar sebagaimana yang telah kita dilihat di masa lalu”, tegas Dr. Abdul Aziz.

Antara contoh-contoh yang telah berlaku sejak merdeka ialah Sarawak pada 1966, Kelantan dan Terengganu sejak 1959 dan Sabah pada 1985.

Pulau Pinang juga mengalami nasib yang sama sebelum Gerakan menyertai Barisan Nasional pada 1974.

Selain itu banyak undang-undang yang perlu dikaji dan dimansuhkan. Ini termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Inilah kekangan-kekangan yang selama ini membelenggu kebangkitan rakyat.

Pakar Perlembagaan itu memberitahu bahawa di dalam Barisan Nasional kebanyakan parti – kecuali Umno – sebenarnya tidak selesa dengan undang-undang itu tetapi terpaksa mengikut telunjuk Umno.

Prasarana baru perlu dibina dengan membersihkan sistem kita dari undang-undang yang ketinggalan zaman itu, tegas Dr. Abdul Aziz.

Tanpa prasarana itu apa yang diwar-warkan oleh Anwar sebagai fajar baru untuk Malaysia akan tinggal mimpi dan angan-angan sahaja, ujar beliau.

Profesor Undang-Undang Perlembagaan itu menyatakan kesemua yang disebut di atas boleh dibuat tanpa kekuatan dua pertiga.

“Contohnya untuk meluluskan akta mengenai IPCMC yang akan memantau pasukan polis tidak perlukan undi dua pertiga. Hanya meminda peruntukan-peruntukan tertentu Perlembagaan sahaja yang memerlukan sokongan dua pertiga”, tegas Dr. Abdul Aziz lagi.

Dengan membentuk kerajaan Persekutuan, Anwar akan dapat membersihkan pasukan polis, memulakan reformasi badan kehakiman dan memberi sokongan kepada pembersihan di dalam SPR dan sistem pengundian.

Ini semua perlu supaya kemenangan berharga yang dicapai pada 8 Mac lalu dapat dipertahankan selepas ini.

Dr. Abdul Aziz bagaimanapun memberitahu bahawa secara tidak langsung komposisi di dalam Dewan Negara akan berubah selepas ini kerana sudah pasti lima negeri di bawah Barisan Rakyat akan menghantar senator yang berbeza untuk mewakili negeri masing-masing.

“Saya yakin selepas ini prosiding di dalam Dewan Negara akan lebih panas. Ketika ini ramai yang menguap dan membuang masa di situ”, tambahnya.

Senator-senator Umno yang ada sekarang sudah pasti akan mengalami kejutan. Di bawah Perlembagaan setiap negeri berhak menghantar dua orang senator untuk mewakili negeri masing-masing.

Berbalik kepada soal pembentukan kerajaan, pakar Perlembagaan itu menjelaskan bahawa kerajaan yang dibentuk di bawah sistem Westminster boleh ditumbangkan bila-bila masa: tidak seperti di bawah sistem Amerika sesebuah kerajaan di bawah sistem British itu tidak mempunyai jangka hayat yang tetap.

“Paling lama ialah lima tahun yakni usia dewan. Kerajaan itu juga boleh kekal untuk beberapa hari sahaja”, jelasnya.

Beliau berkata, di bawah sistem Amerika kerajaan itu mempunyai jangka hayat yang tetap yakni empat tahun.

“Dan itulah sebenarnya kelemahan sistem Amerika dan di sinilah kelebihan sistem British di mana ia boleh dijatuhkan bila-bila masa”, kata Dr. Abdul Aziz lagi.

Beliau memberitahu, sekurang-kurangnya ada dua cara untuk melakukan perkara itu.

Yang pertama melalui undi tidak percaya, yang sekiranya berjaya akan memaksa kerajaan yang ada meletakkan jawatan.

Yang kedua ialah dengan mengajak Ahli-ahli Parlimen dari pihak kerajaan menyertai BA, jelasnya.

Dr. Abdul Aziz berkata jumlah minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan ialah 112 orang Ahli Parlimen. Jumlah kerusi Dewan Rakyat pada masa ini ialah 222 kesemuanya.

Beliau berkata apabila kerajaan itu tumbang maka Yang di Pertuan Agong bertanggung jawab melantik kerajaan baru untuk menasihatkan baginda.

Mengandaikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memasuki Dewan Rakyat melalui pilihan raya kecil, Dr. Abdul Aziz percaya tokoh itu mempunyai kemampuan dan karisma untuk menyerang kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita sudah melihat bagaimana kerajaan yang dipimpin Abdullah gabrah dan melakukan kesilapan demi kesilapan hingga akhirnya mengalami kekalahan paling besar dalam sejarah Malaysia”, tambah beliau lagi.

“Atau Anwar mengambil cara yang kedua dengan memujuk sejumlah Ahli Parlimen dari kalangan Barisan Nasional untuk menyertai beliau dan membentuk kerajaan”.

Dr. Abdul Aziz berpendapat Anwar mempunyai kemampuan untuk memilih cara yang beliau fikir sesuai untuk membentuk kerajaan yang beliau akan ketuai sebagai Perdana Menteri.

Keputusan Pilihan Raya 2008 itu menunjukkan bahawa Anwar Ibrahim bukan sahaja relevan tetapi mempunyai kekuatan untuk memimpin perubahan.

Dalam sejarah Malaysia Kerajaan Persekutuan tidak pernah jatuh melalui undi tidak percaya.

“Tetapi kita harus ingat bahawa undi tidak percaya ini dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(4) dan terpulang kepada Anwar untuk melakukannya”, terang Dr. Abdul Aziz.

Beliau menyambung bahawa undi tidak percaya ini pernah menumbangkan Kerajaan Kelantan pada 1977 ketika di bawah Datuk Mohamed Nasir selaku Menteri Besar.

Sementara itu, di Terengganu kerajaan negeri terpaksa meletakkan jawatan apabila ahli-ahlinya menyertai parti lawan pada 1962. Insiden yang sama berlaku di Sabah pada tahun 1994.

Dr. Abdul Aziz berpendapat inilah peluang terbaik untuk Anwar menjadi Perdana Menteri menurut wawasan beliau sendiri.

“Beliau cuba untuk menjadi Perdana Menteri melalui Umno tetapi gagal dan beliau terpaksa menggadaikan banyak prinsip perjuangan beliau apabila beliau menyertai Umno pada 1982.

“Sekarang beliau boleh memimpin dan menentukan wawasan kerajaannya tanpa tertakluk kepada budaya politik Umno yang pada hakikatnya telah menghumbankan beliau ke Penjara Sungai Buloh”, kata Pensyarah berminda kritis itu!

Tiada ulasan: