KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mac 08, 2009

Sudah tiba masanya Mahkamah Perlembagaan perlu ditubuhkan ekoran "Krisis Perlembagaan" yang sukar ditangani!



PERGOLAKAN selama lebih sebulan dalam krisis paling buruk sejarah negara menekankan betapa perlunya sebuah Mahkamah Perlembagaan ditubuhkan di Malaysia. Perkara ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas perkembangan terbaru "Krisis Perlembagaan" politik di Perak.

Pakar perlembagaan negara itu, mengakui bahawa sebelum ini beliau sendiri tidak yakin tentang keperluan kepada mahkamah berkenaan selain mengambil kira prestasi kebanyakan institusi dan badan yang ditubuhkan termasuk SUruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang begitu mengecewakan.

Aziz berkata sebelum ini beliau tidak mahu wang rakyat dibazirkan untuk menubuhkan sebuah badan yang akhirnya menjadi "harimau kertas" yang hanya menjadi boneka dan alat untuk meneruskan penyelewangan.

"Bagaimanapun, setelah melihat perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh menyedarkan saya tentang betapa kritikalnya keperluan sebuah mahkamah khusus yang menangani isu berkenaan. Sistem yang ada sekarang umpama mahkamah rojak yang mengendalikan apa saja isu dan hakim-hakim yang ada tidak dilihat latar belakang dan kemampuan masing-masing. Melihat kepada apa yang berlaku di Ipoh itu jelas kepada saya bahawa kelayakan undang-undang sahaja belum tentu menjamin kemampuan untuk mentafsir Perlembagaan dengan tepat dan wajar," tegasnya.

Meskipun begitu, Aziz menjelaskan, penubuhan mahkamah berkenaan hanya boleh dibuat oleh sebuah kerajaan yang baru yang akan membawa falsafah yang berbeza dari apa yang ada sekarang.

Di bawah perlembagaan sekarang – khususnya Perkara 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan – Mahkamah Persekutuan menjalankan fungsi-fungsi Mahkamah Perlembagaan.

Katanya lagi Mahkamah Perlembagaan yang benar-benar berwibawa dan dihormati perlu ditubuhkan setelah kajian teliti dibuat ke atas model yang diamalkan dibeberapa buah negara yang telah lama menubuhkannya. Komposisi hakim mahkamah tersebut, Aziz menjelaskan, akan turut memasukkan kepakaran dalam bidang lain dan bukan undang-undang sahaja.

"Sesuai dengan sifat perlembagaan itu sendiri selalunya hanya separuh daripada komposisi mahkamah itu terdiri daripada hakim dan peguam. Selebihnya akan diisi oleh cerdik pandai, ahli hukum dan negawaran yang dihormati," tambahnya.

Beliau berkata kedudukan dan kuasa Mahkamah Persekutuan agak longgar dan terbatas jika dibandingkan dengan mahkamah-mahkamah yang sama di Jerman atau Thailand. Selain itu komposisinya juga tidak impresif kerana hakim-hakim yang ada tidak semestinya pakar dan mendalami Perlembagaan.

Tiada ulasan: