KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mac 10, 2009

Lolosi gas pemedih mata, pedih tapi "sedap" - A Samad Said



"WALAUPUN pedih, tapi 'sedap'," usik Sasterawan Negara, A Samad Said ketika menceritakan pengalamannya meranduk asap gas pemedih mata dan semburan air asid dari trak 'water cannon'.

"Ramai yang bertanya saya. Adakah saya diperalat dalam perhimpunan tersebut. Dan berkali-kali saya menegaskan, saya tidak diperalat. Tetapi saya dimanfaat," jawab beliau lagi.

Penegasan itu sekaligus menolak dakwaan Menteri Pelajaran, Dato Seri Hisyamuddin Hussein yang dari awal menempelak Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) sebagai alat atau perkakas kepada parti-parti pembangkang.

Beliau yang begitu bersemangat, dan sanggup meredah halangan polis berarak ke Istana Negara, sekaligus menangkis dakwaan pihak BN kononnya beliau diperalatkan dalam "Himpunan 100,000 Rakyat Mansuhkan PPSMI" pada 7 Mac lalu.

A.Samad yang lebih dikenali sebagai Pak Samad sewaktu ditemui selepas sidang media Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) di Rumah Pena pada 9 Mac lalu, juga menegaskan sungguhpun terkena semburan gas pemedih mata, beliau tidak gentar apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

"Walaupun saya terkena semburan gas pemedih mata, itu bukanlah penghalang untuk saya meneruskan perjuangan demi memartabatkan bahasa kebangsaan. Saya tidak akan serik. Saya akan berjuang hingga PPSMI dihapuskan.

"Ini adalah pengalaman saya yang pertama menyertai perhimpunan aman. Dan pengalaman pertama inilah juga saya saya merasai pengalaman terkena gas pemedih mata. Bukan sekali tetapi tiga kali saya terkena semburan itu. Walaupun pedih, tetapi 'sedap'," katanya sambil berseloroh.

Jelas Pak Samad, beliau tidak menjangkakan akan terkena semburan gas pemedih mata yang dilepaskan Polis Simpanan Persekutuan (FRU). Malahan beliau yang tidak mempunyai pengalaman menyertai mana-mana perhimpunan, terlupa untuk membuat 'persediaan' sekiranya berlaku situasi seperti itu.

Sepatutnya, beliau membawa air, tuala basah dan garam untuk berdepan dengan apungan asap gas pemedih mata. Namun, kehadiran Pak Samad telah menaikkan lagi semangat para penentang PPSMI yang hadir kira-kira hampir 100,000 orang itu.

Di kalangan mereka, ramai juga yang mengenakan tshirt putih dihiasi gambar Sasterawan Negara yang kini berusia lebih 70 tahun itu. Pak Samad antara Sasterawan Negara yang gigih turun padang memenuhi 'road show' bagi menjelaskan kepada rakyat tentang penentangan dan keburukan PPSMI di seluruh negara.

Tiada ulasan: