KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mac 08, 2009

Speaker Perak kebal, Majlis Peguam sangkal hujah "bodoh" SPRM yang kini tidak diyakini rakyat!


MAJLIS Peguam Malaysia menyangkal kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Abdul Razak Musa, bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Sivakumar tidak kebal.

Presidennya, Dato' Ambiga Sreenivasan menegaskan kekebalan Speaker Dun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada akta atau undang-undang lain yang boleh mencabarnya kecuali Parlimen sendiri meminda Perlembagaan.

Beliau juga menegaskan Perkara 72(1) dan 72(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 2 dan 3 Enakmen Dewan Undangan Negeri Perak (Hak Istimewa) 1959 secara jelas menghuraikan kekebalan tersebut.

"Kenyataan Abdul Razak bahawa Speaker Dun Perak tidak kebal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," tegas beliau.

Selain itu beliau turut menjelaskan tidak ada akta, peraturan, undang-undang atau undang-undang kecil yang boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan melainkan Parlimen sendiri memindanya dengan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Pada 5 Mac lalu Abdul Razak, mendakwa beliau mempunyai asas untuk menyiasat V Sivakumar atas kesalahan menyalahguna kuasa. Dalam kenyataannya itu, beliau mendakwa Speaker Dun tidak kebal undang-undang dan boleh disiasat atas dakwaan melakukan kesalahan itu. Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Perkara 72(2): "Tiada seorang pun boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apabila mengambil bahagian dalam perjalanan mana-mana Dewan Negeri atau mana-mana jawatankuasanya".

Tiada ulasan: