KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 09, 2009

Dato' Dr Hassan Ahmad nafi jadi dalang kepada parti pembangkang cetus demontrasi yang mengejutkan Pak Lah 7 Mac lalu!



GERAKAN Memansuhkan PPSMI (GMP) menafikan didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam usaha gerakan itu membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), lapor Malaysiakini.

Pengerusi GMP, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata apa yang berlaku pada perhimpunan membantah PPSMI Sabtu lepas adalah di luar bidang kuasa GMP dan "GMP menganggap mereka yang datang adalah untuk menyatakan sokongan mereka".

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata apabila mereka mula berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Perhimpunan tersebut turut disertai beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tiada dalang di sebalik apa yang berlaku, kami bukan wayang kulit yang dimainkan oleh tukang cerita...yang datang (berhimpun) sebagai penyokong, saya tak mahu dikatakan boneka, ia seperti menghina (saya)," katanya dalam sidang akhbar di Rumah Pena di ibu negara hari ini, Bernama dipetik sebagai berkata.

Hassan berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa perhimpunan Sabtu lepas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu.

Hassan menegaskan gerakan itu bukan sebuah gerakan yang berunsurkan politik malahan mempunyai prinsip asas iaitu mengembalikan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, GMP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat sebelum perhimpunan agung Umno hujung bulan ini bagi menjelaskan pendirian gerakan itu sebagai sebuah jawatankuasa yang aman.

"Kami mahu Pak Lah selesaikan isu PPSMI segera sebelum isu ini jadi lebih berat, kami berniat baik dalam memperjuangkan prinsip mahu mengembalikan dasar lama yang tiada masalah dalam sistem pendidikan negara. Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau berkata apa yang patut dilakukan kerajaan ialah mengembalikan pengajaran mata pelajaran itu dalam bahasa Melaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan selain meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.

Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003 telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya termasuk ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.

Tiada ulasan: