KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mac 08, 2009

Mahkamah tidak punyai bidang kuasa tangani isu berbangkit perjalanan dalaman Dun Perak


MAHKAMAH tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangani isu berbangkit mengenai perjalanan dalaman dewan. Dengan demikian perintah yang melarang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang oleh Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa lalu adalah tidak sah dan jangan dipedulikan. Demikian ditegaskan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh Rabu lalu.

Kata ahli parlimen Bukit Jelutong itu oleh kerana ia melampaui bidang kuasa mahkamah sendiri maka perintah yang dikeluarkannya adalah "tidak sah dan terbatal" dan dengan itu tidak perlu diambil pusing.

"Pada hakikatnya ia tidak wujud", ujar Karpal yang juga seorang peguam.

Karpal juga mempersoalkan mengapa Pesuruhjaya Kehakiman Ridzuan Ibrahim tidak membenarkan Peguam Tommy Thomas mewakili Speaker V. Sivakumar atas alasan beliau adalah pegawai awam dan perlu menggunakan khidmat Penasihat Undang-undang Negeri.
Selain Karpal, Majlis Peguam melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato Ambiga Sreenivasan turut mempersoalkan perintah Ridzuan yang mengendalikan kes di Mahkamah Tinggi itu.

Ambiga berkata kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri yang mewakili Dato Dr Zambry Abdul Kadir dalam kesnya melawan Dato Seri Mohamad Nizar Jamaluddin di Kuala Lumpur sudah cukup untuk membuktikan wujudnya pertentangan kepentingan. Dengan itu Sivakumar perlu dibenarkan mencari peguamnya sendiri, tegas Ambiga.

Dalam pada itu kedudukan Pesuruhjaya Kehakiman Ridzuan Ibrahim juga turut menimbulkan tanda tanya apabila kontrak jawatan beliau telah tamat ketika beliau menjalankan kes berkenaan. Beberapa orang peguam juga telah menimbulkan persoalan tentang maksud perintah yang dikeluarkan yang menurut mereka agak kabur dan tidak jelas serta menimbulkan pelbagai tafsiran.

Selasa lalu sidang DUN itu terpaksa diadakan di tempat letak kereta, 100 meter dari Kompleks Perak Darul Ridhuan yang menempatkan dewan bersidang kerana pihak polis menghalang Sivakumar dan ahli-ahli Dun memasuki premis berkenaan.

Di dalam sidang bersejarah tersebut tiga usul diluluskan. Usul pertama dibawa oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim yang mencadangkan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Usul kedua pula dibawa oleh Adun Teja, Chan Lih Kang mencadangkan agar Tuanku Sultan membubarkan Dun. Sementara usul ketiga dibawa oleh Adun Setiawan, Dato' Ngeh Khoo Ham yang mencadangkan dewan menerima keputusan Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan menggantung Dato' Zamry Abdul Kadir dan enam Exconya selama 12 dan 18 bulan. Ketiga-tiga usul diterima sebulat suara.

Sebelum ini Harakah menyiarkan pandangan ramai peguam dan pakar perundangan yang berpendapat bahawa sidang DUN berkenaan adalah sah. Pada 3 Mac lalu pihak pentadbiran negeri menghalang sidang berkenaan diadakan di dalam bangunan. Keputusan speaker memanggil sidang tersebut juga adalah sah kerana beliau menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepadanya di bawah Peraturan Tetap DUN Perak. Permohonan beliau untuk mendapat perkenan sultan bagi sidang DUN itu juga tidak berjawab.

Tindakan pihak polis menutup Kompleks Perak Darul Redhuan masih menjadi tanda tanya kerana Zambry mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang notis yang meminta orang ramai tidak datang hampir ke premis berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Abdul Rahman Hashim juga tidak mengaku telah mengeluarkan notis berkenaan. Anihnya pihak polis terus melarang speaker dan ahli-ahli DUN untuk memasuki dewan sehingga memaksa mereka bersidang di bawah pokok di tempat letak kereta.

Khamis lalu (5 Mac) pihak polis dilaporkan menyoal siasat ahli-ahli DUN yang menghadiri sidang berkenaan atas alasan mereka mengadakan perhimpunan haram. Sebelum ini pihak SPRM juga menimbulkan tanda tanya apabila mereka dilaporkan menyiasat Speaker S. Sivakumar yang kononnya "menyalahgunakan kuasa".

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Toksago,
Kalau Zambry mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang notis yang meminta orang ramai tidak datang hampir ke premis berkenaan.

Dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Abdul Rahman Hashim pula tidak mengaku telah mengeluarkan notis berkenaan.

Notis yang dikeluarkan tanpa tanda tangan dan anggota polis yang menutup Kompleks Perak Darul Redhuan ikut arahan siapa...?

Mungkin anggota polis itu ikut arahan dari hantu Altantuya....

Bila tiba waktunya nanti, pejawat awam yang terlibat dan bersubahat dalam kemelut politik negeri perak mesti didakwa dan dihukum. Biar pun ketika itu mereka sedang bernafas menggunakan tiub....