KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mac 10, 2009

"GMP bukan dalang pembangkang! Saya bukan boneka. Saya ada akal dan ilmu. Saya bukan monyet atau beruk" - Dr Hassan Ahmad




PELBAGAI tandatanya timbul selepas Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) menyerahkan 'Memorandum Membantah PPSMI' ke Istana Negara. Demonstrasi kira-kira 100, 000 orang telah mengejutkan Perdana Menteri. Seperti lazimnya polis menggunakan hujah, perhimpunan tersebut tidak mengikut kehendak permit, melanggar peraturan sehingga mencetuskan "kekecohan" sebagai alasan untuk memburuk-burukkan perhimpunan aman. Bagaimanapun, himpunan tersebut telah memberi signal jelas kepada BN dan memberi satu kejayaan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu dalam memperjuangkan hak untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Namun 1,001 cabaran berada di depan. Ikuti transkripsi penuh sidang media GMP yang sampaikan Pengerusinya, Dato' Dr Hassan Ahmad di rumah Pena pada 9 Mac:

SAYA mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana sudi hadir pada sidang akhbar ini. Saya ingin memberitahu tentang hasil usaha serta ikhtiar Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) untuk memberitahu kerajaan tentang mengapa PPSMI ini patut dimansuhkan.

Pertama, GMP ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana dalam kenyataannya pada akhbar semalam (8 Mac) menunjukkan reaksi positif dan agak baik. Beliau berjanji akan membawa isu ini pada Persidangan Umno akan datang supaya masalah PPSMI ini diselesaikan segera dan sebaik-baiknya sebelum timbul isu-isu lain yang lebih buruk.

Dalam mesyuarat GMP sebelum sidang media ini, kami bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menjelaskan lagi pendirian kami bahawa GMP adalah satu gerakan aman.

Usaha GMP hanya meminta kerajaan kembali kepada dasar lama yang kami anggap adalah dasar yang sangat baik dan tidak pernah menimbulkan masalah besar. Dasar lama itu adalah pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains hendaklah dikembalikan dasarnya kepada bahasa kebangsaan di sekolah kebangsaan dan kepada bahasa ibunda iaitu bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan.

Itu sahaja tujuan GMP. Tidak lebih dan tidak kurang. Dan kami anggap ini adalah untuk kepentingan semua kaum termasuklah ibu bapa dan guru-guru. Dan kami tidak mahu bahasa kebangsaan menjadi bahasa pinggiran dan hanya menjadi bahasa kebangsaan dari segi simbolik sahaja tetapi tidak mempunyai nilai ilmu dan pembangunan. Kita tidak mahu perkara tersebut berlaku.

Jadi kesannya buruk sekiranya pelajar Melayu tidak boleh lagi menuntut ilmu khususnya dalam bidang sains yang merangkumi kira-kira 89 bidang sains. Jika ia tidak lagi diajar dalam bahasa kebangsaan, kita tidak akan menjadi bangsa yang mengetahui ilmu kedoktoran dan kejuruteraan.

Dan kita tidak boleh lagi menjadi bangsa Melayu yang boleh menjadi ahli kimia yang boleh berbahas, menulis buku dan berbincang dalam bahasa sendiri mengenai ilmu-ilmu ini. Itulah kesan buruknya yang diharap dapat dicegah sekarang ini.

Ada juga sesetengah pihak yang menyatakan mengapa baru sekarang GMP membantah? Sebenarnya bukan GMP sahaja. Banyak lagi pihak-pihak lain yang 'bising' dan mendesak sejak 2003 agar PPSMI dimansuhkan. Bukan baru sekarang. Dan kerajaan pula memberitahu, tunggulah sehingga lapan tahun. Buat apa kita hendak tunggu sehingga lapan tahun?

Ia akan menimbulkan banyak masalah lain seperti untuk menggantikan buku-buku teks. Ini bukan desakan baru selepas enam tahun. Malah sebelum 2003 juga pelbagai seminar, kongres serta forum meminta supaya bahasa kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan itu dilaksanakan dengan tegas dan sebaik-baiknya.

Selain itu, kami juga selalu tegaskan dan jangan ada yang menyangka GMP ini menentang bahasa Inggeris. Malah kita mahu pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dipertingkatkan kaedah pengajarannnya. Ia harus diperbaiki supaya pelajar-pelajar kita terutama di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di luar bandar dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah selama 11 tahun.

Jika kaedahnya baik, pelajar masih tidak dapat bercakap atau menggunakan bahasa dengan baik dan lancar, tentu ada kesilapan pada sistemnya. Tidak boleh kita mengatakan pelajar lembap atau tidak suka bahasa Inggeris. Dan pelajar-pelajar Melayu dalam subjek bahasa Melayu juga ada yang lemah malah dalam peperiksaan ada yang gagal.

Dalam keputusan peperiksaan 2004 dan 2005, 40,000 lebih pelajar Melayu yang lemah bahasa kebangsaannya. Ini masalah yang harus diselesaikan bukan pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Sebelum 2003, saya sering bertanya kepada pihak yang menjaga sistem pendidikan negara ini. Saya bertanya, cuba sebutkan dua atau tiga sebab mengapa dasar lama yang telah baik itu diubah. Kalau tidak boleh sebut tiga, sebut satu sajalah.

Apakah ia dapat memudaratkan bangsa kita dan apakah bangsa kita tidak boleh maju jika tidak belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris? Dan apakah ia menyebabkan pelajar kita tidak pandai matematik dan sains jika diajar dalam bahasa ibunda atau kebangsaan? Adakah contohnya?

Kita bukan anti bahasa Inggeris. Malah kerajaan menjadikan bahasa Inggeris pelajaran wajib sejak merdeka. Umno sendiri waktu itu semangat kebangsaan kuat sebelum merdeka. Tetapi mereka menerima keputusan kerajaan Perikatan supaya bahasa Inggeris dikekalkan dalam sistem pendidikan kebangsaan sebagai bahasa wajib diajar di semua sekolah. Saya anggap dasar yang sedia ada paling baik dalam negara kita yang pelbagai kaum ini. Kenapa hendak dihapus dan dimusnahkan?

Seterusnya ada pihak yang mengatakan jika dilihat pada situasi 7 Mac, GMP sudah jadi gerakan politik dan sudah diambil alih orang politik tidak kira daripada parti mana. Kami tidak tahu pun tentang hal ini. Kami hanya tahu GMP hanya berusaha untuk meminta kerajaan mengembalikan dasar lama. Itu dasar kami.

Jika beratus-ratus ribu malah berjuta orang hendak menyokong, apa kami boleh buat. Sama ada daripada PAS, KeADILan atau Umno serta DAP, kami tidak boleh tolak. Apa niat mereka? Apa agenda mereka? Kita tidak tahu. Kami tidak boleh tanya? Contohnya kepada Dato Seri Abdul Hadi Awang. "Dato' ni menyokong kami untuk tujuan apa? Untuk agenda PAS ke?" Saya tidak boleh tanya begitu nanti dia kata saya kurang ajar pula. Isu ini merentas perkauman. Sebab tidak ada orang lain hendak buat, jadi GMP yang buat.

Ia tidak berdosa. Kita bukan menentang kerajaan. Kita bukan parti terrorist. Kami semua baik-baik. Dipancut air (water canon) atau gas (pemedih mata) kami tidak melawan. Itu kerana hendak mempertahankan bahasa kebangsaan.

Dato' A. Samad Said kena gas (pemedih mata). Saya tidak kena sebab polis suruh saya naik kereta. Saya pergi sebab saya hendak menyampaikan memorandum kepada raja. Orang sudah menunggu dekat situ. Jika orang itu tidak ada dekat situ saya bagi dekat kuda yang jaga pintu. Tapi kuda tidak ada waktu itu.

Tapi Alhamdulillah, sampai juga hajat kami hendak menyampaikan memorandum tersebut. Saya dengan Dato' A. Samad Said. Sepatutnya tujuh orang yang menyampaikan memorandum sebagaimana ditandatangani pada memorandum tersebut.

Yang lain menyertai perarakan. Berarak itu bukan kehendak kita. Bukan kehendak GMP dan bukan kehendak polis. Saya berjumpa dengan pihak polis dan polis menyatakan bolehlah pihak GMP berhimpun di Masjid Negara tetapi tidak boleh berarak.

Orang hendak datang beramai-ramai juga kita tidak boleh sekat. Kami juga harus memberitahu di sini, pihak polis sangat baik dengan kami. Sebab mungkin dia tengok muka kami ini tidak garang. Jangan tanya kenapa budak-budak muda itu berarak.

Asal dengan aman dan jangan bertumbuk dengan polis. Mereka juga hendak menjalankan tugas mereka kerana mendapat arahan pihak atasan. GMP mempunyai prinsip. Prinsip itulah yang ingin kami pertahankan. Begitu juga dengan orang Kementerian Pelajaran. Dia juga mempunyai prinsipnya yang hendak dipertahankan. Ini masalahnya.

Dan jangan kata kami diperalatkan. Daripada sudut hati sanubari saya, kita suruh orang politik sokong kita dan peralatkan kita. Ikhlas saya cakap, isu politik tidak ada langsung. Kalau tidak buat apa kita minta kerajaan mansuhkan. Kita biarkan sahaja. Tetapi kerana memikirkan mudaratnya, kerosakan yang boleh berlaku pada alat pemikiran dan tamadun serta budaya kita iaitu bahasa yang termusnah.

Jadi, yang berlaku semalam bukanlah wayang kulit. Tidak ada dalang. Biasa dalang ini menyorok di balik tabir. Jika nampak, bukan dalang tapi penyokong. Saya tidak mahu saya dikatakan boneka. Menghina. Saya bukan boneka. Saya ada akal dan ilmu. Saya ada perasaan dan jiwa. Saya makhluk Tuhan. Sama juga anda semua. Saya bukan monyet dan beruk. Ini saya tidak mahu orang kata ada dalang di belakang kami. Itu yang dapat saya katakan.

Saya juga menghargai para penyokong yang datang daripada segenap kaum. Ada juga NGO Cina dan Tamil datang memberi sokongan mereka untuk dilampirkan dalam memorandum yang hendak dihantar oleh kami. Oleh kerana kelam kabut berlaku, mereka tidak dapat hantar kepada saya yang telah ada di Istana Negara untuk disertakan bersama memorandum GMP. Kita dapat juga menyampaikan memorandum kepada pihak Istana. Itu sahaja matlamat kami.

Saya perlu ingatkan balik, saya menghargai layanan pihak polis di Istana dan di Masjid Negara. Keluar gambar dalam Utusan Malaysia saya seperti hendak bergaduh dengan polis. Bukan bergaduh. Kita berunding. Tidak baik bergaduh.

Salah seorang yang ditangkap itu, boleh saya cerita kenapa dia ditangkap? (Sambil bertanya kepada beberapa orang anggota GMP yang turut serta dalam sidang media itu dan diiyakan) Dia itu ditangkap kerana semangatnya lebih. Dia bertengkar-tengkar dan kena tangkap.

Agaknya kalau saya maki polis, saya kena tangkap juga. Tapi kita sudah bagi tahu awal-awal jangan menyusahkan ikhtiar GMP. Anda ingin datang menyokong, Alhamdulillah. Datanglah sokong beramai-ramai. Tetapi jangan buat gangguan. Jika ada pihak ketiga hendak buat gangguan, itu hal dia.

Asalkan jangan ada penyokong dan pihak GMP buat gangguan. Kita tidak mahu seperti itu. Nanti orang kata kita jahat. Kerajaan kata kita buat kacau. Apa yang berlaku semalam tidak membayangkan GMP ini satu gerakan yang ganas. Tidak.

Dan kami masih sanggup berjumpa dengan anda sekalian (media). Jika tidak kami sudah menyorok bimbang jika Pengerusi GMP dipanggil polis. Panggillah. Kami bersedia memberi penerangan kepada sahabat dan sebagai warganegara Malaysia. Kita tidak mahu bergaduh.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

PPSMI adalah keadaan klimaks bahasa Melayu didera. Isu papan tanda di Pulau Pinang dalam pelbagai bahasa antara motif perlekeh bahasa kebangsaan.

Banyak isu kemelut bahasa ini, misalnya syarat kerja berbahasa Mandarin dan Inggeris. Ini semua adalah agenda memupuskan bahasa Melayu di negara ini.

Tidak ada yang menentang untuk menguasai bahasa apa pun yang ada di dunia ini. Tetapi janganlah diabaikan bahasa kebangsaan kita.

Tanpa Nama berkata...

1. Perdana Menteri pertama yang diangkat menjadi wakil rakyat BUKAN kerana potensi peribadinya tetapi kerana mengenang jasa arwah bapanya.

2. Perdana Menteri pertama yang mempunyai sejarah “duda mengahwini janda”.

3. Perdana Menteri pertama yang dikaitkan dengan konspirasi pembunuhan zalim warga Mongolia.

4. Perdana Menteri pertama yang tidak merasa malu atau rasa bersalah mengizinkan isterinya berlaku sumbang bersama pelakon lelaki Bollywood di hadapan orang ramai.

5. Perdana Menteri pertama yang dikaitkan dengan perbuatan rasuah bernilai ratusan juta ringgit.

6. Perdana Menteri pertama yang didakwa berlaku sumbang dengan seorang artis wanita tempatan di Port Dickson.

7. Perdana Menteri pertama yang melakukan penyembunyian wakil rakyat demi menjatuhkan sebuah kerajaan negeri pilihan RAKYAT.

8. Perdana Menteri pertama yang didakwa melakukan perhubungan sulit dengan wanita Mongolia yang kemudiannya mati dibunuh.

9. Perdana Menteri pertama yang diketahui umum terlalu menurut telunjuk isteri.

10. Perdana Menteri pertama yang telah diperakukan melalui ‘Akuan Bersumpah’ telah menggunakan khidmat bomoh Hindu untuk tujuan tertentu.