KUEK Ser Kuang Keng dari Malaysiakini melaporkan isu tentang saman pemula Dr Zamry Abdul kaderterhadap Speaker Dun Perak: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini memutuskan bahawa peguam yang mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar tidak mempunyai locus standi untuk mewakilinya dalam satu permohonan yang difailkan oleh Menteri Besar Datuk Zambry Kadir dan enam Exco kerajaan negeri.
Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim, memutuskan demikian ekoran permohonan yang dibuat oleh peguam yang mewakili Zambry.
Peguam Tommy Thomas (foto) yang mewakili Sivakumar berkata, alasannya ialah Speaker adalah sebahagian daripada kerajaan negeri, dan oleh itu, hanyapenasihat undang-undang kerajaan negeri yang boleh mewakili Sivakumar. Tommy memberitahu pemberita demikian selepas Ridwan mendengar kes itu selama 30 minit di dalam kamarnya.
Zambry dan enam anggota exco kerajaan negeri itu semalam memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi Ipoh mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN antara 12 bulan dan 18 bulan sebagai terbatal dan tidak sah.
Zambry dan enam Exco berkenaan turut memohon supaya mahkamah mengisytiharkan mereka berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua persidangan DUN dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan.
Tommy berkata, pesuruhjaya kehakiman itu memutuskan bahawa peguam-peguam yang mewakili Sivakumar sekarang tidak mempunyai locus standi dan tidak boleh mewakili speaker tersebut.
Katanya, yang boleh mewakili Sivakumar hanya penasihat undang-undang kerajaan negeri.
Tommy berkata Ridwan juga menolak hujah pihaknya bahawa akan berlaku konflik sekiranya penasihat undang-undang kerajaan negeri mewakili Speaker.
Ridwan juga, katanya, menolak permohonan mereka untuk menjadi peguam pemerhati dengan hak untuk mengemukakan hujah bagi pihak Speaker.
"Pesuruhjaya kehakiman berkata kami boleh menjadi peguam pemerhati tetapi tidak boleh mengemukakan sebarang hujah," tambahnya.
Dengan keputusan tersebut, Tommy berkata beliau akan menunggu arahan Sivakumar mengenai tindakan selanjutnya, termasuk kemungkinan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Ridwan. Selain Tommy, peguam lain yang turut mewakili Sivakumar termasuklah Can Kok Leong, Philip Koh Tong Ngee dan Augustine Antony.
Ekoran keputusan tersebut, Ridwan menangguhkan prosiding ke tarikh lain yang akan diputuskan kemudiannya. Peguam yang mewakili Zambry pula termasuklah Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Badrul Hishah Abd Wahab.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Hafarizam (foto) berkata, mereka membantah kehadiran peguam persendirian untuk mewakili Sivakumar.
"Kami membantah kerana peguam-peguam tersebut tidak mendapat kebenaran penasihat undang-undang negeri untuk mewakili Speaker," katanya," katanya.
Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Firoz, Hafarizam juga memberitahu bahawa mereka memfailkan permohonan injunksi itu pada jam 8.30 pagi terhadap sidang dewan undangan negeri yang tidak sah oleh Pakatan. Firoz berkata, permohonan itu bukan setakat untuk mendapat Injunksi, tetapi juga untuk menghalang sebarang sidang dewan yang tidak sah pada masa akan datang.
Ditanya siapakah yang boleh mewakili Speaker, Firoz (foto) berkata, sepatutnya penasihat undang-undang negeri atau wakilnya. Zambry dan Sivakumar tidak hadir di mahkamah pagi ini.
Ketika perkara itu didengar dalam Kamar Ridwan pagi tadi, Sivakumar pula mempengerusikan sidang tergempar DUN Perak di bawah pokok di kawasan letak kereta berhampiran bangunan sekretariat kerajaan negeri Perak di Ipoh di mana wakil rakyat Pakatan meluluskan usul menyokong Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dan pembubaran DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan