KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 05, 2009

BN Perak ingkari Syed Hamid Albar, GESA kesal dan keliru dengan peranan polis pada "Sidang Tergempar Dun Perak"

GERAK Sedar Anak Perak (GESA) menyokong penuh langkah yang diambil oleh Speaker Dun Perak, V Sivakumar menganjurkan "Sidang Tergempar Dun Perak" di bawah pokok sena, 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan dewan bersidang.

Menurut Presidennya, Tarmizi Mohd Jam tindakan Dr Zamry Abdul Kader dan nasihat para pemimpin Umno Pusat agar mereka mengunci pintu Dewan dan melarang ke semua Adun Pakatan Rakyat masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan dianggap bacul dan memperkosa demokrasi berperlembagaan secara terang-terangan.

Sekaligus, apa yang diucapkan oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Syed Hamid Albar pada sidang Parlimen baru-baru ini, tegasnya tidak diikuti malah digodam, dihentam dan dilanggari semahunya bagi memenuhi nafsu serakah mereka untuk mempertahankan kuasa yang baru dirampas dari Pakatan Rakyat.

Syed Hamid berkata: "Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang Ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini; dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu.Pada 3 Mac 2009, berdasarkan tafsiran kononnya 'sidang DUN tergempar tidak sah."

Tarmizi yakin, hingar-bingar "Sidang Tergempar Dun Bawah Pokok" telah meningkatkan suhu kemarahan rakyat Perak terhadap kerajaan kudeta BN yang canggung, dalam meneruskan pentadbiran negeri secara efisyen.

"Apa yang Zamry boleh lakukan sekarang? Exco nak mesyuarat apa? Kalau tandatangan Menteri Besarpun tak laku, macam mana nak jalankan tugas?" soal beliau.

Beliau hairan, setelah Zamry menyifatkan keputusan Speaker memanggil "Sidang Tergempar Dun" sebagai kartun dan tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan, mengapa Zamry dan kuncu-kuncunya memfailkan injunksi mahkamah untuk menghalang sidang?

Paling teruk mereka (sudah tentulah BN) mengunci pintu dewan dan mengggunakan polis untuk menyekat, menghalang dan memburaikan himpunan 28 Adun Pakatan Rakyat yang mahu menjalankan tugas-tugas mereka sebagai wakil rakyat untuk bersidang?

Sedangkan tegasnya, kuasa tertinggi Dewan ialah Speaker bukannya Setiausaha Dun, Abdullah Abong Sabri hingga layak beliau mentafsir peraturan tetap dewan dan mengesahkan "Sidang tergempar Dun" itu sebagai tidak sah.

Tarmizi menyifatkan penglibatan polis bukan untuk mengawal keadaan dan keselamatan sebaliknya "mengawal" mereka yang berkepentingan dalam BN Perak yang kini menguasai Bangunan SUK itu.

"Siapa memberi arahan kepada polis agar menghalang 28 Adun itu bersidang? Sedangkan injunksi mahkamah belum diperolehi lagi pada pagi itu?" tanya beliau lagi.

GESA katanya teus mendesak agar Tuanku Sultan Perak membubarkan Dun dan mengadakan pilihan raya umum negeri yang baru bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang mereka yakini sama ada Pakatan Rakyat ataupun BN dalam masa terdekat.

Jika tidak, tegasnya, kemelut dan kekalutan pentadbiran Perak tidak akan usai malah ia akan merosakkan lagi urusniaga ekonomi di negeri itu, ditambah pula kegawatan ekonomi melampau yang sedang melanda negara sudah ditandai dengan pembuangan ribuan pekerja, tiada pelaburan baru dan nasib rakyat dibimbangi akan bertambah malang dengan "Krisis Perlembagaan" yang sepatutnya sudah ada jalan keluar.

Tarmizi mengucapkan sekalung tahniah kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat Perak dan khususnya kepada 28 Adun yang berani, kental dan dedikasi dalam memikul amanah rakyat bergelut dengan kemelut yang sengaja dicetuskan oleh BN di negeri ini.

Tiada ulasan: