Mohamad Nizar Jamaluddin melambaikan tangan kepada para penyokong sejurus selesai "Sidang Tergempar Dun Perak" kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak darul Ridzuan sambil diiringi Speaker dan Adun-Adun Pakatan Rakyat
SIDANG Tergempar Dun Perak" yang terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridhwan, 3 Mac lalu adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada Speaker untuk menetapkan tempat dan lain-lain perkara berkaitan.
Menurut pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang mengulas tentang 'Tragedi Hitam Demokrasi" di Perak itu, pihak polis awal-awal lagi sudah melanggar Perlembagaan apabila menerima arahan dan perintah dari Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan dari Speaker yang menjadi kuasa tertinggi dalam dewan.
"Apa yang berlaku sah dan tidak menyalahi undang-undang kerana perlembagaan dan arahan tetap dewan menyerahkan kepada speaker untuk menetapkan tempat bersidang," tegas beliau ketika dihubungi.
Dua usul yang diluluskan oleh dewan diperakui sah dan perlu dilaksanakan. Malah Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamalauddin boleh mengadap Tuanku Sultan dan persembahkan usul dewan untuk tindakan seterusnya.
Aziz berkata, mahkamah tidak ada kuasa untuk mengeluarkan injunksi kepada dewan. Beliau kesal, pihak pentadbiran negeri (SUK), polis dan lain-lain pihak terpaksa menyekat dan menutup dewan dari digunakan untuk sidang tergempar Dun.
"Mereka (BN) tidak ada pilihan lain," ujar pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu.
Aziz mempersoalkan sejak bila seorang setiausaha dewan (Abdullah Antong) diberi kuasa mentafsirkan peraturan tetap dewan sedangkan setiausaha hanya kakitangan biasa yang bekerja di bawah arahan Speaker.
Polis juga, tegas beliau boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) kerana menghalang dewan bersidang dan perkara ini telah disebut oleh Speaker, V Sivakumar.
Mengimbas apa yang terjadi pada pagi 3 Mac lalu, insiden di Perak itu cukup menyedihkan kerana ini membuktikan bagaimana institusi rakyat seperti pentadbiran awam termasuk polis yang sepatutnya bersikap neutral dan tidak memihak serta menjunjung perlembagaan, rela dijadikan 'kuda tunggangan' oleh pihak tertentu, kata Aziz.
"Demokrasi tidak akan makmur tanpa kerjasama insititusi itu. Anehnya Zambry tidak mengaku mengeluarkan arahan menutup bangunan sekretariat. Begitu juga dengan Dato' SS. Jadi, bagaimanapun OCPD terus tidak membenarkan ahli dewan masuk?" soal Aziz kehairanan.
Dari satu sudut, ini telah menimbulkan persoalan, "Apa asas pihak polis untuk tidak membenarkan 28 Adun Pakatan Rakyat masuk ke Dewan? Takkan mereka (polis) tak kenal Speaker? Takkan Adun-Adun Pakatan ini dianggap pengganas dan penjenayah? Ini perlu dijawab oleh pihak polis."
Tegas Aziz lagi, insiden di Perak itu gagal menyuburkan proses demokrasi kerana institusi awam seperti polis tidak memainkan peranan dengan betul.
Sebelum ini, Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.
"Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong", jelas beliau.
Menurut beliau, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.
"Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu," tegas beliau lagi.
Aziz berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.
"Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi," tambahnya lagi.
Aziz berkata sidang Dun itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka.
Aziz menjelaskan, "Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan."
Aziz berpendapat "jika sidang Dun tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh Dun dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan."
Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, "itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya."
Jumaat lalu, Sivakumar telah memanggil persidangan tergempar Dewan pada 3 Mac, namun Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri berkata persidangan itu tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak. Sivakumar bagaimanapun tetap menyatakan ia sah dan dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Sivakumar sebelum ini menggantung dan melarang Zambry daripada menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan manakala enam anggota exco itu dikenakan larangan selama 12 bulan. Beliau turut menggantung serta merta tugas Setiausaha Dewan Undangan Negeri Abdullah Antong dan menggantikan Setiausaha Politik Dato' Seri Nizar, Misbahul Munir Masduki.
Sejarah tercipta apabila sidang dewan diadakan di bawah pokok di kawasan lapang kira-kira 100 meter dari pintu masuk bangunan kerajaan negeri. Speaker Dewan yang lengkap berpakaian rasmi telah mempengerusikan sidang dan sebanyak dua usul telah dibentang dan diluluskan iaitu usul undi percaya kepada Menteri Besar, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan usul mohon pembubaran Dun Perak kepada Tuanku Sultan.
Kedua-dua usul diluluskan sebulat suara oleh semua ADUN Pakatan Rakyat yang hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan