Kain rentang "Bermulanya Pembelotan Adun Changkat Jering" banyak dinaikkan sekitar Bukit Gantang tetapi kebanyakan "wajah" Osman dikoyak-koyak tanda "marah" orang ramai terhadap beliau
PILIHAN RAYA Kecil Bukit Gantang kini menjadi fokus dunia dalam menilai demokrasi yang terkubur di Perak. Sejak rampasan kuasa dilakukan oleh BN di negeri ini, kebangkitan rakyat Perak sukar diempang. Bukit Gantang bagaikan tempat mereka melepaskan amarah terhadap BN. Kerisauan BN di sini tidak dapat disembunyikan lagi.Ikuti pendapat Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Masduki tentang 'mood' pengundi Bukit Gantang menghadapi 'perang" BN pada pilihan raya kecil ini:
Pada pilihan raya kecil ini mungkin khidmat dua Adun Pakatan Yang melompat itu khususnya Osman Jailu dan Jamaludin Radzi akan digunakan kerana sebelum ini pemimpin Umno melabelkan mereka adalah hero yang menyelamatan orang Melayu di Perak. Apa komen saudara?
MISBAHUL MUNIR: Selama 10 bulan kerajaan Pakatan Rakyat menerajui negeri Perak apa peranan dua Exco itu dalam mesyuarat Exco yang bermesyuarat setiap minggu. Dalam mesyuarat, semua Exco bebas memberi pandangan, cadangan dan teguran secara terus dan telus. Saya difahamkan, Osman dan Jamaluddin antara Exco yang kurang bercakap.
Pendek kata mereka tidak ada idea bernas bagi membantu kerajaan negeri Perak dari sudut ekonomi, sosial, apatah lagi yang berkaitan dengan agama. Mereka lebih suka berdiam diri dalam apa sahaja isu yang berbangkit dalam mesyuarat. Sekali sekala sahaja mereka bersuara, tetapi apa yang disuarakan tidak rasional.
Maknanya kedua-dua mereka lebih banyak diam dari menyuarakan kehendak rakyat?
Sekiranya mereka tidak mampu bersuara dalam mesyuarat disebabkan tidak upaya berhujah atau mungkin pandangan mereka akan diperkecilkan oleh orang lain, mereka boleh berjumpa Menteri Besar untuk menyatakan pandangan-pandangan dan teguran kalau betul Menteri Besar mengikut telunjuk DAP.
Pintu bilik Menteri Besar sentiasa terbuka untuk Exco bila-bila masa sahaja. Tidak ada sebab mereka tidak boleh berjumpa untuk berbincang dengan Menteri Besar dalam isu-isu yang kononnya merugikan orang Melayu. Menteri Besar cukup terbuka dalam hal ini. Tetapi sayang mereka tidak pernah menggunakan kesempatan ini untuk tujuan tersebut.
Bagaimana peranan Adun Changkat Jering sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri?
Osman tidak berperanan dalam melaksanakan tugas sebagai Exco dan juga wakil rakyat. Beliau adalah Exco Pelancongan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO dan Pembangunan Insan. Apa yang beliau buat untuk pelancongan, melainkan selalu ke luar negara dengan isteri barunya itu. Untuk apa?
Beliau melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi sebuah anak syarikat di bawah portfolio Exco Pelancongan, dan melantik isteri barunya itu sebagai Pengurus Besar syarikat tersebut.
Majlis Pakatan Rakyat Negeri baru bercadang untuk menegurnya supaya letak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat tersebut kerana bercanggah dengan peraturan, dan menasihati supaya tidak melantik isterinya sendiri sebagai Pengurus Besar, tetapi belum sempat berbuat demikian, beliau telah hilang dan akhirnya keluar parti.
Osman juga bertanggungjawab dengan NGO dan Pembangunan Insan?
Sepuluh bulan Osman tidak buat apa-apa pun untuk NGO dan Pembangunan Insan. Tidak ada satu cadangan apatah lagi program yang dijalankan untuk portfolio tersebut.
Manakala prestasi beliau sebagai wakil rakyat juga cukup tidak popular, tanyalah pengundi Changkat Jering. Berapa kali beliau bertemu rakyat?
Berapa kali pula beliau berjemaah di masjid atau surau seluruh Dun Changkat Jering? Berapa kali beliau menziarahi orang sakit dan kematian?
Di Changkat Jering, ada sembilan buah masjid. Saya diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai, sepanjang 10 bulan sebagai Adun, beliau tidak pernah sekali pun solat Jumaat di masjid-masjid tersebut.
Bahkan saya sendiri tidak pernah melihat kelibatnya solat jemaah dan mendengar tazkirah Zuhur di surau Setiausaha Kerajaan Negeri, sedangkan beliau kerap juga berada di pejabatnya. Saya juga diberitahu, selama 10 bulan, belum sekali pun beliau hadir Mesyuarat Jawatankusa Tanah Daerah, dan hanya sekali pernah hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah.
Tapi Osman cukup lantang menuduh Dato' Seri Nizar ikut telunjuk DAP sebelum ini?
Osman Jailu ada menyatakan Menteri Besar ikut telunjuk DAP dalam membuat keputusan dalam mesyuarat Exco. Saya cabar Osman Jailu, senaraikan keputusan-keputusan mesyuarat Exco yang dikatakan MB ikut telunjuk DAP.
Dan senaraikan isu yang melibatkan orang Melayu dan Islam yang beliau kononnya perjuangkan dalam mesyuarat Exco. Tanya juga pimpinan KeADILan Perak, apa peranannya pula dalam parti?
Dulu Osman kata tangkapan rasuahnya itu fitnah dari BN...
Saya juga mendapat maklumat ada komplot BN/Umno berhubung dengan isu rasuah. Beliau cukup takut jika disabitkan. Sehingga beliau pernah menyebut akan keluar parti dan menjadi bebas daripada masuk penjara.
Beliau menafikan berkali-kali dakwaan rasuah itu. Menurutnya dakwaan tersebut palsu dan komplot jahat BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan, tiba-tiba BN pula yang disokongnya.
Apakah dengan melompat jadi wakil bebas dan menyokng BN itu satu tindakan yang menyelamatkan Melayu?
Orang Melayu sudah selamat di bawah Pakatan Rakyat. Apa yang dia buat dalam Exco dahulu untuk selamatkan orang Melayu. Kalau tidak berani hendak menyuarakan dalam mesyuarat Exco, kenapa tidak berbincang dengan bertemu Menteri Besar di pejabat. Tidak ada usaha dibuat ke arah itu. Yang saya tahu mereka jumpa Menteri Besar hendakkan projek.
Adun Behrang macam mana pula?
Adun Behrang, Jamaludin Radzi cukup tidak suka jika sesuatu permohonan itu latar belakangnya orang Umno. Sedangkan Menteri Besar kadang kala bersikap terbuka, DAP pun kadang kadang bersifat terbuka. Asalkan seseorang layak, berikan sahajalah walaupun latar belakangnya Umno.
Tetapi Jamaluddin antaranya yang menentang. Dia pernah cakap kepada saya permohonan-permohonan yang berlatarkan orang Umno jangan bagi langsung. Umno ini orang Melayu sedangkan kita masih lagi bersikap terbuka. Kita hendak bagi tanpa mengirakan fahaman politik tetapi dia tolak terus. Tiba-tiba dia menyokong BN.
Adakah Saudara setuju kalau dikatakna mereka berdua adalah pengkhianat perjuangan?
Pada saya mereka ini pengkhianat. Pertama mengkhianati mandat rakyat. Menderhaka mandat rakyat. Mereka sebenarnya pengkhianat. Saya hendak cabar mereka apa yang hendak mereka selamatkan.
Apa harapan PAS pada pilihan raya keci ini?
Harapan kita tinggi. Mahu melihat calon PAS memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang. Kita berikan sepenuh tumpuan di Bukit Ganttang. Pilihan raya kecil ini menentukan pengaruh kita walaupun itu bukan mutlak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan