KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 05, 2009

Dunia kini kenali Malaysia dengan pencabulan dan pemerkosaan demokrasi berparlimen di Perak demi pengabdian kuasa!



RAKAN saya di Ipoh Perak, JOHARI JAAFAR melaporkan apa yang terjadi pada "Sidang Tergempar Dun" di bawah pokok yang menggemparkan dunia, 3 Mac lalu. Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri Perak terpaksa dibuat di bawah pokok kira kira 100 meter dari pintu masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan setelah Speaker Dewan, V. Sivakumar bersama 27 Adun Pakatan Rakyat dihalang masuk ke bangunan tersebut oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali dan pihak polis.

Insiden ini mencatatksan satu sejarah buruk terhadap amalan demokrasi di negara ini dan ianya suatu yang memalukan.

"Hari ini dunia menyaksikan amalan demokrasi di negeri ini telah direntap oleh Umno dan BN apabila Speaker Dewan Undangan Negeri bersama Adun-Adun Pakatan yang lain dihalang masuk ke Dewan Undangan Negeri dan ianya dilakukan oleh BN demi melindungi kepentingan politik mereka."

Perkara ini ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah sejurus sidang media yang dibuat oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin di Pejabat DAP 3 Mac lalu.

PAS melahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku di negeri ini apabila sidang tergempar Dewan Undangan Negeri telah dihalang oleh pihak polis dan BN telah mempergunakan pihak polis untuk menyelamatkan kerajaan kudeta mereka di negeri ini.

Tindakan ini satu satu pencabulan terhadap kuasa rakyat yang sebelum ini telah memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat memerintah negeri ini, katanya.

"Sepatutnya pihak polis dipanggil untuk memudahkan Adun-Adun untuk memasuki dewan bukan sebaliknya menghalang Adun-Adun untuk dari memasuki dewan untuk mengambil bahagian dalam persidangan tergempar DUN," tegasnya.

Pada 3 Mac lalu, satu sidang dewan tergempar terpaksa diadakan di bawah pokok lantaran Speaker Dewan dan 27 Adun Pakatan Rakyat dihalang untuk masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sidang dewan berjalan dengan lancar bermula jam 10.15 pagi bagi menjalankan mesyuarat ke empat penggal pertama serta meluluskan tiga usul.

Usul pertama dibawa oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim, menyokong mengesyorkan pada dewan, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar yang sah dan telah diluluskan oleh dewan dengan kesemua Adun Pakatan Rakyat menyokongnya.

Usul kedua dari Adun Teja, Chan Lih Kang yang mengesyorkan pada dewan usul Tuanku Sultan memperkenankan Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan usul berkenaan telah disokong sebulat suara.

Sidang tersebut dihadiri oleh semua 28 ADUN Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin dan speaker sendiri.

Adun Sitiawan, Dato' Ngeh Khoo Ham membawa usul supaya dewan menerima keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Dato' Zambry Abdul Kadir dan enam exconya. Usul diterima sebulat suara.

Menurut Mahfuz, apa yang peliknya sebelum ini Umno mempertikaian kesahihan sidang tergempar tersebut dan ianya dikatakan tidak sah tetapi kenapa pula Umno menghalang sidang tergempar DUN tersebut jika ianya tidak sah.

Ini jelas menunjukkan sidang tergempar DUN yang diberi notis oleh Speaker Dewan, V. Sivakumar adalah sah, kerana itu BN tidak ada cara lain kecuali menghalang sidang DUN tersebut dengan menggunakan kuasa polis dan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

"BN cukup terdesak, pemimpin-pemimpin mereka tidak mampu berhadapan dengan hujah daripada Pakatan Rakyat, cara untuk menyelamatkan kedudukan kerajaan kudeta BN ialah mempergunakan pihak polis menghalang persidangan dewan.

"Walaupun melucukan persidangan DUN dibuat di bawah pokok, tetapi sebenarnya ia menggambarkan kepada dunia bahawa percabulan demokrasi berlaku di negeri ini," katanya.

Secara sinis Mahfuz menyatakan persidangan dewan yang dibuat di bawah pokok itu sama seperti filem P Ramlee dalam Laksamana Doremi apabila raja dan pembesar negeri Pasir Dua Butir bermesyuarat di bawah pokok setelah Jason King merampas kuasa.

Tiada ulasan: