KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 09, 2009

Mencari nahas: Ketua Pemuda Umno masih pertahankan PPSMI sebagai betul, nampak enggan tunduk kepada tuntutan rakyat!



KETUA Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak andaian bahawa demonstrasi membantah pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 7 Mac lalu, didalangi individu dalam Umno sendiri bertujuan menjatuhkan beliau pada pemilihan agung Umno hujung bulan ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran akan bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Tidak. Kita dalam Umno semua dididik untuk meletakkan kepentingan ramai lebih penting dan kedua, semalam saya tengok (dalam televisyen) tidak ada muka-muka yang saya cam macam orang Umno, tetapi muka pembangkang ramai," katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada demontrasi besar-besaran bantah PPSMI itu boleh memberi impak kepada imej beliau sebagai calon naib presiden, Hishammuddin berkata dia tidak melihatnya sebegitu.

Dalam sidang media di kediamannya di ibunegara hari ini, Hishammuddin juga sekali lagi menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI terletak di tangan kabinet dan bukannya kementerian itu.

"Keputusan muktamad bukan daripada kementerian ini tetapi pada jemaah menteri. Tugas kementerian adalah untuk meneliti, mengkaji dasar ini selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Disember lepas. Kertas kabinet "Masa dua setengah bulan bukannya jangka masa yang panjang untuk menentukan hala tuju dasar yang melibatkan jutaan pelajar, ratusan ribu guru dan puluhan ribu sekolah," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kertas kabinet PPSMI telah pun berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi.

"Saya harap orang ramai akan memberi seluas-luasnya peluang kepada kita untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, angka dan kajian daripada hanya membuat satu kesimpulan berdasarkan emosi dan demonstrasi seperti mana yang kita lihat dilakukan semalam," katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu PPSMI bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih besar.

"Apa yang dipikul merupakan satu amanah dan tanggungjawab, yang melebihi kepentingan diri. Selaku menteri saya mesti membuat keputusan yang baik demi anak-anak kita," kata Hishammuddin.

Beliau berkata di sebalik keriuhan yang dibangkitkan sesetengah pihak, masih ada golongan yang menyokong dasar berkenaan dan untuk itu kementerian berharap dapat membuat keputusan terbaik bersandarkan keadaan sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi.

Tiada ulasan: