"NIZAR sulah sampai" jerit seorang pemuda Cina sebaik saja kenderaan yang membawa calon PAS, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin tiba di pekan Kuala Sepetang pada 30 Mac lalu.
Pekan yang lebih dikenal sebagai pekan nelayan itu merupakan lokasi pertama kempen Nizar pada hari itu. Penduduk Kuala Sepetang terdiri dari 90 peratus berbangsa Cina.
Beliau bersama para petugas PAS Bukit Gantang tiba di pekan tersebut tepat jam 11 pagi. Wajah-wajah penuh keceriaan menyambut kedatangan Nizar bersama rombongannya yang turut disertai beberapa penulis blog terkenal seperti Harris Ibrahim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sepetang, Tai Sing Ng, Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Adun Gunong Semanggol, Ramli Tusin menyambut ketibaan Nizar.
Calon PAS itu kemudiannya dibawa mengelingi pekan tersebut bermula dari sebuah Tadika Teck Seah Chee Heong Koh. Sewaktu di tadika tersebut, Nizar telah bertemu ibu bapa dan juga murid yang terkejut dengan kehadiran beliau.
Sebaik keluar dari tadika itu, Nizar terus bertemu rakyat di kawasan pemprosesan ikan Hong Teong Fish Dealers. Pengusaha di tempat pemprosesan itu ternyata gembira menyambut kedatangan Nizar.
Sewaktu berjalan kaki ke pekan itu juga, Nizar sempat singgah di Balai Polis Kuala Sepetang untuk bertemu dan beramah mesra dengan beberapa anggota polis yang sedang bertugas.
Beliau juga sempat meninjau kawasan tempat letak kereta masjid yang sedang diturap oleh kontraktor.
"Agaknya inilah projek mee segera yang dilakukan oleh Barisan Nasional di Kuala Sepetang," gurau Nizar kepada semua yang hadir.
Suasana menjadi gamat apabila Nizar masuk ke sebuah kedai kopi di pekan tersebut dan disambut gembira oleh pelanggan kedai makanan dan minuman di situ.
"Kami akan terus menyokong Pakatan Rakyat," kata salah seorang pelangan di kedai kopi Cina tersebut yang sarat dengan pelanggan. Orang ramai berpusu-pusu untuk berjabat tangan dengan Nizar dan ada juga yang sempat bergambar bersama Menteri Besar dari PAS itu.
Nizar telah melapangkan masa lebih kurang dua jam bersama masyarakat di pekan tersebut dengan melawat semua kedai di sana. Penduduk Kuala Sepetang begitu yakin dengan calon PAS itu dan berharap agar kerusi Parlimen Bukit Gantang kekal ditangan PAS.
Setiap kali Nizar mengunjungi restoran atau mana-mana kedai di Pekan Kuala Sepetang beliau menerima sorakan yang kuat dari masyarakat Tionghua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan