KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 06, 2009

Taktik kotor: Najib tarik semula larangan penggantungan Harakah bukan satu pembaharuan!


BIARPUN hanya 12 hari digantung, tindakan PM baru, Najib Tun Razak mengembalikan permit dua akhbar rasmi Pakatan Rakyat, Harakah dan Suara Keadilan serta-merta tidak boleh dianggap sebagai satu pembaharuan di era kepimpinan beliau, lapor Anis Nazri.

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar, berkata 'tindakan pembaharuan' Najib itu asasnya hanyalah dasar lama yang dilakukan Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengangkat sumpah sebagai PM terdahulu.

Tegas Mahfuz, sekiranya Najib benar-benar mahukan pembaharuan, beliau sepatutnya mengembalikan permit Harakah tanpa sebarang syarat seperti 'terhad untuk ahli sahaja' dan beberapa syarat lain.

Tambah Mahfuz, penarikan kembali penggantungan itu juga bukan sebagai jaminan bahawa ketelusan media di negara ini akan bebas dan telus, apatah lagi kuasa dalam beberapa hal masih berada di bawah Menteri Dalam Negeri.

"Walaupun mengalu-alukan penarikan kembali penggantungan ini, ia bukan mengambarkan satu jaminan bahawa ketelusan media dikembalikan. Perlu diingatkan, kuasa seperti pemberian permit, pembaharuan permit setiap tahun masih berada di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri," jelas beliau.

Selain menyifatkan tindakan Najib itu 'mempunyai kepentingan politik', Mahfuz berpendapat ia juga berkenaan kebimbangan Najib terhadap kecenderungan pengundi di tiga kawasan pilihan raya kecil yang dilihat lebih memihak kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, prestasi Najib ketika mengetuai dua pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebelum ini membuktikan kegagalan beliau, dan usaha mengembalikan permit dua akhbar ini dilihat sebagai 'pemanis pilihan raya' bagi mengembalikan imej beliau.

Mengulas pembebasan 13 tahanan ISA yang turut diumumkan Najib, Mahfuz berkata sepatutnya semua tahanan dibebaskan memandangkan masih terdapat 40 tahanan ISA yang masih merengkok tanpa bicara.

Malah, tambah Mahfuz, jika Najib benar-benar mahukan perubahan akta zalim itu harus dimansuhkan segera memandangkan ia secara jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

Tiada ulasan: