KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 07, 2008

Kesediaan TG NIK AZIZ Undur Disifatkan GIMIK RAIH SIMPATI Pengundi

Benarkah PAS terpaksa menunggu masa lebih panjang bagi mendapatkan orang yang dapat memenuhi kriteria ulama seperti Nik Abdul Aziz?

By WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan AZRAN FITRI RAHIM
Utusan Malaysia

KOTA BHARU 6 Feb - Pemimpin UMNO negeri ini menyifatkan kesediaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Menteri Besar jika Pas terus memerintah Kelantan selepas pilihan raya umum kelak, sekadar untuk meraih semula sokongan dan simpati pengundi.

Mereka percaya ia hanya gimik politik kerana Pas tidak mungkin akan membiarkan Nik Abdul Aziz berbuat demikian walaupun keupayaan memenuhi tuntutan pentadbiran semakin terbatas kerana beliau masih diperlukan untuk mengelak daripada keretakan dalam parti dan hakisan keyakinan penyokong.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa berpendapat Pas kini dalam dilema kerana terperangkap dengan corak membina kekuatan parti melalui personaliti sehingga seorang itu dilihat tiada tandingan untuk diganti oleh orang lain.

‘‘Itu harga yang perlu dibayar. Jadi sementara Nik Abdul Aziz terima realiti ketidakupayaan dari segi fizikal dan keupayaan mentadbir negeri berasaskan tuntutan semasa, parti itu belum bersedia (untuk menukar kepimpinan),” katanya di sini hari ini.

Semalam Nik Abdul Aziz menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kepada Badan Perhubungan Pas negeri bagi menamakan penggantinya jika parti itu terus memerintah selepas pilihan raya umum akan datang.

Nik Abdul Aziz yang telah menerajui Kelantan sejak tiga penggal lalu dan kerap uzur kebelakangan ini menyatakan ia akan diputuskan melalui undian anggota perhubungan parti.

Mengulas lanjut, Annuar percaya pemimpin baru parti itu tidak akan mempunyai ruang dan Pas terpaksa menunggu masa lebih panjang bagi mendapatkan orang yang dapat memenuhi kriteria ulama seperti Nik Abdul Aziz.

‘‘Ada orang tertentu dalam parti memperlihatkan split personality, sekejap memakai kot dan sekejap berjubah untuk menyesuaikan diri dengan kerangka yang dibina,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini Nik Abdul Aziz pernah dilaporkan akan memilih sendiri penggantinya tetapi dengan kenyataan terbarunya itu, memperlihatkan beliau tidak lagi mempunyai pengaruh besar dan akan akur dengan pemilihan mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas hanya satu gimik dan strategi politik diri dan parti itu.

Sementara itu, semalam Bernama melaporkan kesanggupan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berundur dari jawatan yang dipegang sejak 18 tahun lepas itu dilihat sebagai strategi Pas untuk menarik sokongan pengundi.

Anggota Parlimen Jeli yang juga Adun Ayer Lanas, Datuk Mustapa Mohamed berkata, setiap kali adanya pilihan raya umum, menteri besar berumur 77 tahun itu akan membuat kenyataan yang sama.

"Pada saya, ia hanya strategi mereka (Pas) ketika pilihan raya umum semakin dekat. Apa pun, kita tidak campur urusan parti lain, kita cuma buat kerja kita untuk dapat sokongan rakyat dalam usaha membawa perubahan kepada rakyat,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Baktisiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2008 di kampus sementara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, hari ini.

Tiada ulasan: