Sidang tergempar Dun Selangor yang dijangka diadakan hujung bulan ini penting untuk mengembalikan peruntukan asal mengenai perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor. Peruntukan asal yang meletakkan kuasa tersebut di tangan Sultan telah dipinda secara senyap-senyap oleh pentadbiran Umno pada 1993.
Menteri Besar ketika itu ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan negara sedang dilanda krisis perlembagaan akibat pindaan peruntukan imuniti Raja oleh pentadbiran Mahathir. BN Selangor telah membuat kenyataan tidak akan menyokong pindaan yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat itu. Sikap tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Dato' Seri Noh Omar.
Bagaimana pun, Speaker Dun Selangor, Dato' Teng Chang Kim berkata Noh bukan ahli Dun Selangor. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Dalam pada itu sumber-sumber menyatakan ada di kalangan Adun Umno yang akan menyokong pindaan yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat itu. Agak jelas bahawa Umno berada di dalam keadaan serba salah. Dengan tiba-tiba terdedah bahawa Umno telah memadam kuasa Sultan sebelum ini - sesuatu yang hanya diketahui apabila Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap Sultan untuk mendapat penjelasan. Selama ini Umno menuduh Pakatan anti Raja.
Pindaan yang mereka lakukan pada 1993 benar-benar memalukan mereka kerana rakyat tahu siapa sebenarnya yang mengikis kedudukan dan kuasa Raja. Bagaimana pun, dalam krisis perlantikan SUK ini Umno amat memerlukan Raja. Bahkan dalam pengumuman awalnya Ketua Ssetiausaha Nenara (KSN) Tan Sri Sidek Hasan mengumumkan pelantikan Dato Khusrin Munawi telah pun diperkenankan oleh istana.
Tetapi apabila pelantikan itu menjadi kontroversi dan peruntukan yang dipinda itu terdedah, Sidek membuat kenyataan yang berbeza Rabu lalu. Dalam kenyataannya, Sidek menyatakan bahawa perkenan sultan tidak perlu.
Ketika saya menghubungi pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata pindaan Perlembagaan yang Umno buat pada 1993 itu tidak sah kerana ia bertentangan dengan syarat yang diletakkan oleh Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 38(4). Menurut peruntukan ini, jelasnya, apa saja undang-undang yang menyentuh kedudukan dan kuasa Raja mesti diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.
"Nampaknya Dun Selangor meminda perlembagaannya pada 1993 tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja dan itu boleh menyebabkan peruntukkan yang ada sekarang itu tidak sah", tegas Aziz.
Pindaan yang akan dibawa oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor hujung bulan ini jelas mahu mengembalikan kedudukan dan martabat Raja di Selangor yang telah dicabul oleh Umno. Meskipun Pakatan tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dun, ia yakin hasrat murni itu boleh dicapai. Umno perlu mengotakan apa yang dilaung-laungkan selama ini mempertahankan institusi Istana.
Jika Umno enggan memberi sokongan dalam sidang tergempar ini nanti, rakyat akan tahu tembelang sebenar mereka hanya hanya suka "memperalatkan" Raja-raja Melayu demi mencapai kepentingan politik mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan