KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 22, 2011

Mansuh Yuran Persekolahan RM 4: Tapi pelbagai "yuran" menimbun bebani ibubapa

Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) melahirkan rasa kesal kerana pemansuhan yuran persekolahan RM 4 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebelum ini seolah-olah "ada udang di sebalik batu" kerana masih terdapat yuran lain yang dikenakan.

Menurut Penyelaras GMPP, Bawani. KS, berdasarkan kajian yang dilakukan GMPP di beberapa sekolah rendah  di sekitar negeri Selangor dan Perak, bayaran tambahan dikenakan di antara RM35 sehingga RM40 berbanding tahun sebelumnya sekitar RM26 sehingga RM28 bagi setiap pelajar. Bagi sekolah menengah pula katanya, jumlah bayaran tambahan yang dikenakan juga adalah lebih besar dan berbeza-beza sekitar RM60 hingga RM80 dan ia tidak termasuk lagi yuran tahunan PIBG. 

Katanya lagi dalam kenyataannya kepada Harakah, mungkin bayaran tambahan ini satu perkara kecil bagi keluarga yang berpendapatan lebih  RM4,000 ke atas sebulan tetapi 1.3 juta rakyat Malaysia masih berpendapatan kurang dari RM 700 sebulan.

"Bayangkan keadaan keluarga yang mempunyai anak di antara tiga hingga lima orang yang masih bersekolah. Keadaan menjadi lebih teruk bagi ibu bapa yang mempunyai anak ke Tadika. Yuran pendaftaran sahaja sudah mencecah RM 300-RM 400. Ia tidak termasuk yuran bulanan di antara RM 50-RM 100. Dianggarkan secara purata setiap ibu bapa perlu memperuntukkan tidak kurang RM 300- RM 400 untuk menyediakan keperluan lengkap bagi seorang anak mereka yang bersekolah dan ia bertambah mengikut tahap," katanya.

Tambahnya, realitinya ibu bapa dipaksa untuk membuat bayaran dan sekiranya gagal berbuat demikian, anak-anak tidak diberi buku. Ekoran situasi tersebut, kebanyakkan ibu bapa yang berada dalam kemiskinan tegar mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. 

Selain itu katanya, terdapat ibu bapa yang rela menghantar anak mereka untuk bekerja daripada ke sekolah. Beliau juga menegaskan selain bebanan yuran persekolahan, kerajaan BN turut melenyapkankan beberapa insentif untuk murid secara senyap-senyap seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang telah diganti dengan E-Kasih.

Justeru katanya, memandangkan pendidikan adalah sesuatu yang perlu diberi secara percuma dan bukannya dibayar dengan wang semata-mata, yuran perlu dimansuhkan serta-merta. Disamping itu katanya, kerajaan harus selaraskan semua sekolah supaya dijadikan sekolah bantuan penuh kerajaan serta menyediakan pengangkutan, pakaian seragam  dan makanan percuma perlu untuk keluarga yang berpendapatan  kurang dari RM1,500.

"Kerajaan sepatutnya menggunakan keuntungan yang diperolehi dari Petronas atau dan hasil kutipan cukai pendapatann dari korporat dan kapitalis gergasi untuk disalurkan dalam pendidikan. Projek-projek mega yang tidak menjaga kebajikan rakyat juga harus dihapuskan," katanya.

Tiada ulasan: