KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Januari 05, 2011

Reaksi positif: Kesatuan Guru-guru Melayu terima tawaran Pakatan Rakyat beri RM500 sebulan untuk warga pendidik

Ketika ramai guru yang takut mendedahkan pendirian, dan banyak kesatuan guru-guru termasuk NUTP yang tidak menunjukkan sokongan terbuka terhadap tawaran Pakatan Rakyat memberi elaun khas RM500 kepada guru-guru jika mentadbir di peringkat Pusat, namun ada kesatuan guru yang berani dan berkata berkata benar. 

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Mohamed Sabri Arshad (foto kanan) menegaskan, beliau menyambut baik tawaran imbuhan RM500 kepada guru-guru setiap bulan oleh kerajaan Pakatan Rakyat jika berjaya memerintah negara ini.

Katanya, KGMMB tidak mempunyai halangan untuk menerima tawaran sebaik itu, daripada mana-mana kerajaan yang memerintah. Namun, yang penting kerajaan tersebut menjaga kebajikan golongan guru, ujarnya gembira.

"Oleh sebab itu KGMMB amat mengalu-alukan tawaran itu kerana sebagai mana kita maklum guru-guru sudah lama tertekan dengan bebanan tugas dan mereka membuat rayuan kepada kerajaan, tetapi malangnya belum berhasil," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Mohamed Sabri memberitahu, antara masalah berbangkit termasuklah isu-isu berkaitan elaun guru besar dan elaun perjalanan yang tidak seimbang. 

"Contohnya elaun warden asrama lebih tinggi daripada elaun yang diberi kepada guru besar," dakwanya. Beliau menegaskan, perkara ini telah dibawa kepengetahuan Menteri Pelajaran tetapi jawapan yang diberikannya hanyalah bersandar kepada masalah kegawatan ekonomi yang tidak mengizinkan.

Sehubungan itu kata Mohamed Sabri, sekiranya ada tawaran baik seperti yang dikemukakan Pakatan Rakyat atau BN,  yang mahu menjaga kebajikan guru, KGMMB menyokong dan mengalu-alu langkah yang murni itu.

Tiada ulasan: