KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mac 03, 2009

Setiausaha Dun Abdullah Antong Sabri "tikam belakang" Sidang Tergempar Dun Perak esok


MALAYSIAKINI hari ini melaporkan; Kemelut politik yang melanda negeri Perak, selepas Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri baru awal bulan lalu, terus berlanjutan.

Hari ini, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar Selasa ini adalah tidak sah.

Katanya, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenanSultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Abdullah menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.

Sivakumar memanggil sidang tergempar itu untuk membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasakerajaan negeri itu.

Bagaimanapun dalam reaksinya terhadap kenyataan Abdullah itu, Bernama memetik Sivakumar berkata sidang tergempar Dewan itu Selasa ini adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan.

Sivakumar berkata beliau dengan pakar undang-undang perlembagaan telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Sehingga hari ini, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih mengakui beliau merupakan menteri besar Perak yang sah. Manakala menteri besar BN, Datuk Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah awal bulan lalu, selepas BN menubuh kerajaan baru di negeri itu.

Abdullah dalam kenyataannya berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenanTuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Menurutnya, beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supayamengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar DUN Selasa ini melalui urat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul aripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dan ADUN Titi Serong.

Abdullah berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.

"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat.."

Kuasa mutlak

"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan padawaktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.

Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.

"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.

Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."

Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.

Khamis lalu, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Mengulas lanjut kenyataan Abdullah itu, Sivakumar sebaliknya menegaskan setiausaha DUN itu tidak mempunyai kuasa untukmenafsir Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) dan sebaliknya kewajipan beliau Abdullah) adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat.
"Artikel ini tidak boleh digunapakai dalam keadaan setelah Dewanditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," kata Sivakumar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TERDAPAT isu menarik berkenaan Dun Perak dan kuasa Speaker. Saya berbincang dengan Profesor Dr Abdul Aziz Bari tentang perkara ini. Masih terlalu luas kuasa speaker, apabila ada pihak yang menghina Dewan tidak digunakan. Hatta, kenyataan PM, Abdulah Ahmad Badawi yang memerintahkan Dr. Zamry Abdul Kadir agar tidak menghiraukan keputusan penggantungan oleh Speaker dewan, sebenarnya boleh diambil tindakan dan dijatuhkan hukuman. Namun saya bertanya, apakah yang perlu lakukan sekrang di Perak. Begini jawapan Dr Aziz Bari dan saya melaporkannya:

DUN Perak perlu bersidang dengan segera bagi menyelesaikan kekaburan yang ada sekarang. Demikian pandangan Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas mengenai permohonan Speaker S. Sivakumar kepada Sultan Perak untuk mengadakan Sidang Khas Dewan 23 Februari lalu.

Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

"Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong", jelas beliau ketika dihubungi.
Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.

"Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu," tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.

"Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi," tambahnya lagi.

Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata "pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN".

Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.

Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Aziz menjelaskan, "Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan."

Tiga hari lalu Pandikar Amin dipetik di dalam media sebagai berkata speaker dewan harus adil dan tidak memihak.

Aziz menambah di sisi perlembagaan, Anwar sebenarnya tidak perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008 kerana Abdullah adalah ketua kerajaan dan bukan ketua dewan.

"Mungkin apa yang Anwar lakukan itu sekadar strategi politik, tetapi ia bukan satu syarat. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai budaya politik yang ganjil dan tidak mesra perlembagaan dan strategi seperti itu perlu," ujar Aziz. Abdullah bagaimanapun menolak mentah-mentah sidang tersebut. Pandikar Amin juga enggan memberi laluan.

Aziz berpendapat di dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong bertanggung jawab menitahkan sidang kerana isu sokongan majoriti amat penting dan ia adalah nyawa bagi sesebuah kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

"Pada saya ini selaras dengan kehendak peruntukkan yang berkenaan, khususnya Perkara 43(2)(a), 43(4) dan 55(1) di baca bersama," tambahnya. Keadaan yang sama wujud di Perak sekarang, kata Aziz.

Beliau berkata "jika sidang DUN tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh DUN dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan."

Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, "itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya."

Aziz berkata sokongan majoriti itu terpakai kepada Zambry dan Mohamad Nizar. Beliau menjelaskan soal sokongan majoriti itu boleh dibangkitkan di dalam dewan bila-bila masa sebagaimana yang biasa dilakukan di United Kingdom umpamanya.

"Katakan Zambry kalah kali ini, beliau boleh lepas ini membawa usul undi tidak percaya terhadap Mohamad Nizar pula kalau beliau berasa sokongan ahli dewan terhadap beliau bertambah. Begitu juga dengan ahli dewan yang lain yang berasa mereka mempunyai sokongan yang cukup. Proses ini dizinkan malah dikehendakki oleh perlembagaan," tegasnya.