KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 20, 2011

Anwar tunggu Najib debat: Najib ada ratusan pakar ekonomi bantu berhujah, kenapa gentar?

Senario politik Malaysia yang rosak hari ini kian rumit sebab itu, Umno tidak ada pilihan lain melainkan merujuk semula soal perpaduan dan ketuanan Melayu. Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan PAS lebih konsisten jika mahu membicarakan soal Islam dan orang Melayu. Malah, katanya PAS lebih berhak berbanding dengan Umno kerana parti itu lebih menyentuh tentang kepentingan masyarakat Melayu, umat Islam dan kedudukan Islam di negara ini.

"Negara kita, baik dari segi politiknya rosak dan kian rumit. Umno tidak ada pilihan lain melainkan merujuk semula kepada perpaduan dan semangat ketuanan Melayu. Bila dia (Umno) terdesak dia panggil dan bicara soal Melayu dan keselamatan Melayu. PAS lebih konsisten, jika PAS bicarakan soal Islam, soal Melayu, dia lebih berhak kerana bicara PAS itu lebih menyentuh tentang kepentingan masyarakat Melayu yang terbanyak dan kepentingan umat Islam dan kedudukkan Islam di negara kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno di Dataran Tok Guru, Kampung Geliga Besar, Chukai, Kemaman 15 Januari lalu. Menurutnya, apa yang mahu ditonjolkan oleh Pakatan Rakyat adalah pembelaan terhadap rakyat terbanyak dan masyarakat Melayu yang miskin.

Malah, katanya perjuangan Pakatan Rakyat bukan untuk memperkayakan dua tiga kerat orang-orang Melayu tertentu sahaja. Anwar turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda baru Umno tersebut. Mengulas isu buku jingga "Janji 100 Hari Pakatan Rakyat" pula beliau menjelaskan masih menunggu keputusan Dato’ Seri Najib (Perdana Menteri) bagi mengadakan perbahasan terbuka untuk penilaian rakyat umum.

"Maka, dalam buku jingga kita (Pakatan Rakyat) senaraikan pendirian kita. Mari kita berhujah dengan cara baik dan kita bincang. Tapi kena depan rakyat umum dan dia (Najib) belum jawab lagi.  Kita masih menunggu keputusan Najib dan dia bagilah syarat apa pun asalkan perbahasan itu terbuka. Ini kerana, kita yakin dengan pendirian kita,” tegasnya.

Menurut Anwar, pihak kerajaan mempunyai ratusan pakar-pakar ekonomi bagi membantu Najib mempertahankan hujah dan dasar-dasarnya.

"Saya tidak lihat beliau (Najib) apa kebimbangannya kerana beliau mempunyai ratusan pakar-pakar ekonomi untuk membantu beliau dan oleh kerana, Najib berkeyakinan dengan dasar dia, sebaiknya diadakan perbincangan terbuka kalau pun dia tidak mahu sebut debat. Ini untuk rakyat dan penting sekali. Saya bersedia pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai oleh Najib,” ujarnya di hadapan lebih 20,000 hadirin.

Menurutnya, dalam negara demokrasi perbincangan secara terbuka atau debat menjadi perkara biasa bagi penilaian rakyat serta pendedahan media. Selain itu, katanya sudah tiba masanya persiapan jentera pilihan raya perlu dilakukan dari sekarang kerana keperluan membuat perubahan semakin mendesak.

Menurutnya, banyak polisi kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan kerana berkait dengan bidang kuasa Kerajaan Pusat. "Sebab itu, jika hendak turunkan harga barang, hendak turunkan harga minyak, Pakatan Rakyat wajib sampai ke Putrajaya,” tegasnya disambut laungan takbir.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham serta kepimpinan PAS Terengganu.

Tiada ulasan: