KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 13, 2011

Blogger, facebooker, websiter dan twitter dalam Himpunan Media Baru di Temerloh 15 Januari

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan

Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan Himpunan Dunia Media Baru Peringkat Kebangsaan pada 15 Januari ini. Menurut Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan, himpunan yang akan berlangsung di Hotel Green Park Temerloh Pahang itu dianjur bagi mengeratkan hubungan Dewan Pemuda dengan semua pengamal media baru termasuk blogger, facebooker, websiter, dan twitter.

Selain mahu membina jejantas yang kukuh dan erat antara PAS dengan pengamal media baru, mereka juga mahu memberi sokongan padu kepada pengamal dunia baru untuk berperanan membentuk minda ummah, kata beliau.

"Dewan Pemuda PAS menyedari malah benar-benar memahami kepentingan dan keupayaan kuasa media baru menakluki dunia maklumat. Justeru itu, sebagai sayap penting kepada sebuah gerakan Islam (PAS) di Malaysia ini, Dewan Pemuda merasakan media baru yang kini sedang membina empayarnya mestilah dipimpin dan dibimbing agar lahir sebuah dunia yang benar-benar boleh mendatangkan manafaat kepada ummah dan membina tamadun yang harmonis dan informatif," katanya.

"Langit terbuka ini bila-bila masa sahaja boleh diceroboh dan dihuni oleh petualang media yang berperanan melampiaskan fitnah jahat untuk mengkucar kacirkan dunia, mencetus permusuhan, merosakkan kejernihan maklumat, mengeksploitasi realiti dan mencemari persepsi," tambahnya lagi.

Program akan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala dua kertas kerja akan dibentangkan. Kertas kerja pertama bertajuk 'Media Baru dan Isu Semasa' akan dibentang oleh blogger Cucu Mat Kilau, manakala kertas kerja kedua 'Peranan Media Baru dalam Gerakkan Islam' dibentang oleh Pengerusi Akademik Tarbiyah Pemuda, Nik Abduh bin Nik Abdul Aziz. 

Tiada ulasan: