KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Januari 21, 2011

Sokong Teng Chang Kim: Pemuda PAS Selangor mahu SPR berlaku adil di Pelabuhan Klang

Pemuda PAS Selangor menyokong tindakan Speaker Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengumumkan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.

Menurut Ketua Penerangannya, Zulkifli Ahmad, keputusan yang dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri itu wajar kecuali jika Badrul Hisham dapat mengemukakan bukti-bukti sahih secara hitam putih yang diperakui bahawa beliau ada menghadiri mana-mana sidang sejak dari 15 Julai 2010. Katanya, mengikut Artikel 69 Perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

"Pemilihan semula amat wajar dijalankan kerana tugas paling penting seorang wakil rakyat ialah mewakili rakyatnya ke sidang DUN untuk membela dan memberi perkhidmatan kepada semua rakyat di dalam DUN masing-masing khususnya para pengundi yang telah memberi kemenangan kepada wakil rakyat tersebut," ujar beliau. "Yang Berhormat" baru perlu dipilih jika yang sedia ada telah tidak berupaya membela nasib rakyatnya, tegas Zulkifli lagi.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Selangor berharap agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan meneliti dan seterusnya mengistiharkan pilihanraya kecil DUN Pelabuhan Klang dengan segera sekiranya Badrul gagal membuktikan dakwaan Speaker Kerajaan Negeri Selangor.

SPR telah mengistiharkan pilihanraya kecil DUN Tenang pada 24 Disember 2010 selepas mendapat notis kekosongkan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya Sulaiman Taha pada 17 Disember 2010. Zulkifli berharap agar SPR akan mengambil masa yang singkat untuk mengistiharkan pilihanraya kecil DUN Pelabuhan Klang sebagaimana tempoh seminggu dalam kes DUN Tenang dan biarlah pilihanraya kecil Pelabuhan Klang juga dibuat pada hari cuti seperti yang diistiharkan di Tenang.

Tiada ulasan: