KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Januari 21, 2011

Usaha sambung talian hayat Umno-BN: SPR ditempelak, undi proksi akan rosakkan demokrasi negara ini

Dewan Pemuda PAS Pusat membantah cadangan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mahu mewujudkan sistem undi proksi yang membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana  individu yang layak pada hari pengundian.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar, pihaknya mencurigai tindakan SPR yang mewujudkan sistem berkenaan boleh mendedahkan sesuatu pilihan raya kepda pelbagai bentuk manipulasi dan penipuan.

"Kami merasakan cadangan SPR untuk mewujudkan undi proksi ini tidak wajar dilaksanakan kerana ia mudah terdedah kepada pelbagai manipulasi dan penipuan," ujarnya dalam satu kenyataan. Pada masa yang sama, Firdaus yang juga ahli parlimen Jerai mempertikaikan tindakan SPR yang langsung tidak menjelaskan siapakah proksi yang layak dilantik bagi menggantikan pemilih yang tidak dapat hadir pada hari mengundi.

"Walaupun sistem ini dilaksanakan dengan kawalan ketat, kami merasa sangsi terhadap cara pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar," tegasnya. Keadaan ini katanya akan menyebabkan mereka yang mewakili pengundi berkenaan tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar. 

"Justeru mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir. Sistem ini boleh mewujudkan rasuah pilihanraya di mana pengundi sebenar boleh diugut atau dipujuk agar memberikan hak mereka kepada proksi. Tidak ada siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa pengundi sebenar menyerahkan hak mereka kepada proksi tanpa apa-apa pujukan, tawaran, mahupun ugutan, " tegas Firdaus.

Katanya, jika undi proksi tersebut benar-benar diadakan, Firdaus berpendapat tidak ada faedahnya diadakan kempen pilihanraya apabila pemilih sebenar tidak turun mengundi, sebaliknya diserahkan kepada pengundi proksi yang tidak tahu latar belakang parti politik mereka.

Pemuda PAS turut mengingatkan kepada SPR agar menjayakan proses pilihanraya yang sedia ada dengan secara lebih telus dan adil. Beliau menempelak SPR yang didakwa cuba mencadangkan sistem yang baru dengan tidak memperbaiki sistem yang sedia ada tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di Malaysia.

Terdahulu ujarnya, Pakatan Rakyat telah lama mendesak agar sistem celup jari digunapakai bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali, membersihkan daftar pemilih, serta menghapuskan undi pos.  "Seharusnya SPR melihat dahulu kepada pelaksanaan sistem undi pos yang sangat dicurigai kerana berlaku ketempangan yang jelas dalam mana-mana pilihanraya.  

Pemuda juga menegaskan agar SPR tidak masuk campur dalam pertempuran politik antara Pakatan Rakyat dengan Umno-BN dan membiarkan Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang berlangsung dengan suasana paling tenang dan aman.  "Janganlah kerana keadaan BN yang sedang nazak, SPR cuba untuk menyambung talian hayat mereka. Rakyat tidak akan sesekali boleh ditipu buat kesekian kalinya," katanya dalam kenyataan tersebut.

Tiada ulasan: