Kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang kini kosong selepas wakil rakyatnya Badrul Hisham Abdullah didapati tidak hadir persidangan selama enam bulan, kata Speaker Datuk Teng Chang Khim. Teng berkata Badrul Hisham yang keluar PKR Oktober 2009 sebelum menyertai Umno April lalu tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri sejak 15 Julai lalu dan oleh itu, kerusinya dianggap kosong berkuat kuasa 16 Januari.
Artikel 69 Perlembagaan Negeri memperuntukkan bahawa seorang wakil rakyat yang tidak hadir selama enam bulan mesti mengosongkan kerusinya. Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan sama ada kerusi itu kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil.
Kes kedudukan kerusi itu mirip Kota Siputeh, Kedah yang Speaker Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan ia kosong. Bagaimanapun SPR memutuskan tiada kekosongan wujud dan tidak perlu diadakan pilihan raya kecil. Dalam kes itu, SPR mempertimbangkan notis speaker dan juga penjelasan wakil rakyatnya sebelum memutuskan keputusan itu.
Bagaimanapun mahkamah memutuskan pilihan raya kecil perlu diadakan dan ia kini berada di peringkat rayuan. Dalam pada itu Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya perlu menunggu notis daripada Spekaer Dewan Undangan Negeri sebelum memutuskan tindakan susulan.
“Speaker ada hak untuk membuat keputusan mengenai status kerusi, itu hak dan tanggungjawab Speaker yang dibuat mengikut perlembagaan negeri dan peraturan-peraturan Dewan Undangan Negeri,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. Kata Wan Ahmad, selaku wakil rakyat Badrul Hisham juga mempunyai hak untuk memberikan reaksi dan penjelasan kepada pengundi-pengundinya.
Ketika ditanya sama ada SPR akan mendengar penjelasan wakil rakyat Pelabuhan Klang, Wan Ahmad berkata, terlalu awal untuk memutuskan perkara tersebut. “Terlalu awal untuk membuat spekulasi,” kata beliau lagi. "Kita lihat dari sudut undang-undang, berasaskan pada undang-undang, kita asaskan pada undang-undang," katanya lagi.
Pada 30 April lalu, Badrul Hisham menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno setelah enam bulan keluar PKR dan menjadi Adun Bebas. Badrul Hisham, 50, keluar daripada PKR pada 29 Oktober 2009. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Badrul Hisham memperoleh 12,397 undi untuk menewaskan calon Bebas Nazir Mansor dan Roselinda Abd Jamil. Dia memperoleh majoriti 4,407 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan