KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Januari 19, 2011

Ujian buat BN dan PR: Teng Chang Kim perjelas dolak-dalik Adun Pelabuhan Klang

Berdasarkan laporan media kelmarin, Badrul Hisham dikatakan menafikan dia tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri selama enam bulan. Katanya, mereka yang mendakwa dia tidak hadir sidang Dewan Undangan Negeri dan mahukan kerusi itu dikosongkan perlu menilai semula kemahiran mengira, lapor The Malaysian Insider.

"Saya menghadiri hari pertama sidang pada November lalu sebelum mengambil cuti sakit untuk mendapatkan rawatan alternatif. Ini usaha terdesak pihak tertentu yang mengugut saya agar menghadiri sidang khas Dewan Undangan Negeri, 24 Januari memandangkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat kurang tiga undi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga bagi meminda perlembagaan negeri,” kata Badrul Hisham.

Terdahulu pada sidang akhbar, Speakar Dun Selangor, Teng Chang Kim, menjelaskan, terdapat tiga sidang Dewan Undangan Negeri sepanjang tahun lalu iaitu 12 hingga 14 April, 12 hingga 15 Julai dan 8 hingga 15 November. Katanya Badrul Hisham hadir kesemua tiga hari pada sidang April dan tidak hadir dua hari (13 dan 14 Julai) bagi sidang Julai dan kesemua enam hari pada sidang November.

Teng berkata Badrul Hisham mengemukakan sijil sakit bagi ketidakhadirannya bagi dua hari pada sidang Julai dan “mengaku yang beliau tidak hadir pada keseluruhan mesyuarat (November) melalui surat bertarikh November 2010 yang sampai ke pejabat saya pada 10 Disember 2010”. Katanya Badrul Hisham, dalam suratnya itu, memohon kebenaran bagi ketidakhadirannya, menyatakan beliau menjalani rawatan tradisional di Pahang sepanjang tempoh sidang November itu.

Teng berkata beliau menjawab surat itu pada 21 Disember 2010, memaklumkan kepada Badrul Hisham bahawa alasan bagi ketidakhadirannya itu tidak diterima atas dua sebab - pertamanya, beliau tidak memohon kebenaran itu sebelum atau semasa sidang berlangsung dan keduanya, beliau tidak memberikan alasan konkrit bagi membolehkan permohonannya yang lewat itu diterima.

“Oleh yang demikian, saya memutuskan ketidakhadirannya pada sidang November adalah tanpa kebenaran. Bagi keputusan saya itu, Badrul Hisham menjawab dalam suratnya bertarikh 5 Januari 2011 untuk memohon maaf tetapi tiada alasan diberikan.

“Perkara 69, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 menyatakan jika seorang anggota Dewan Undangan Negeri apabila, tanpa kebenaran Speaker, tidak hadir daripada setiap sidang iaitu bagi tempoh enam bulan, kerusi beliau akan diisytiharkan kosong oleh Speaker.”

“Oleh yang demikian, saya perlu memutuskan jika ketidakhadiran YB Badrul Hisham pada sidang DUN termaktub dalam ketetapan Perkara 69 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan, dengan itu, sama ada kerusi itu kosong,” kata beliau dipetik Bernama.

“Isu yang perlu saya putuskan ialah sama ada mengikut peruntukan Perkara 69, Badrul Hisham telah tidak hadir daripada semua sidang Dewan Undangan Negeri selama tempoh enam bulan. Pendek kata, bilakah enam bulan itu bermula, dari 16 Julai atau 8 November 2010?” katanya.

Teng berkata berdasarkan kajiannya, tiada kes duluan isu itu dilaporkan sama ada di Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Katanya rujukan kepada “Erskine May: Parliamentary Practice” juga tidak membantu kerana soal di hadapannya itu merupakan satu tafsiran terhadap peruntukan perlembagaan dan bukannya amalan Parlimen.

Tiada ulasan: