KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mac 13, 2008

GEMPAR: ANGKAT SUMPAH MB Perak "TERTANGGUH" lagi...!

By BERNAMA

ISTIADAT mengangkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri daripada PAS sebagai Menteri Besar Perak yang dijadual berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar petang ini telah ditangguhkan.

Penangguhan itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansor Raja Razman di Istana Iskandariah.

Setiausaha PAS negeri, Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini dijadual mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah pada pukul 4 petang ini.

Penasihat DAP Lim Kit Siang sebelum ini mengarahkan semua 18 wakil rakyat DAP di Perak tidak menghadiri istiadat mengangkat sumpah itu kerana tidak setuju dengan pemilihan wakil PAS sebagai Menteri Besar.

Lim kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu.

Sementara itu, Istana Kinta dalam kenyataannya yang difakskan kepada Bernama memaklumkan bahawa penangguhan itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini yang menunjukkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam penubuhan kerajaan campuran.

Kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Sulit Sultan Perak, Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor itu menyatakan Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya majlis angkat sumpah hari ini ditangguhkan.

"Berdasarkan perkembangan terkini, bahawa kelihatan DAP, PKR dan PAS tidak mencapai kata sepakat yang ketara dalam hasrat menubuhkan kerajaan yang stabil bagi negeri Perak Darul Ridzuan.

"Oleh itu Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja telah bertitah supaya angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak yang dijadualkan petang ini ditangguhkan."

Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyatakan bila istiadat itu akan dilangsungkan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dalam kemelut perlantikan MB Perak, dilihat hanya pemimpin PAS, PKR dan DAP Perak yang turun untuk menyelesaikannya. Ke mana perginya Anwar dalam menyelesaikan masalah ini sehingga pemimpin DAP Pusat iaitu Lim Kit Malam (Siang) mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Sepatutnya Anwar terlebih ke hadapan semasa situasi ini baru bermula bagi menyelamatkan keadaan. Anwar yang dianggap sebagai 'Pengerusi' tidak rasmi bagi Barisan Rakyat perlu ke hadapan untuk menonjolkan karismanya dalam menyelesaikan permasalahan antara parti komponen BR, sebelum melangkah lebih jauh bagi membentuk kabinet bayangan. Sepatutnya Anwar sebagai orang tengah yang mengaut keuntungan politik dari PAS dan DAP bersegera berbincang dengan pemimpin DAP dan PAS sebelum kenyataan yang bukan-bukan terkeluar. Apa sikap DSAI sekarang ini setelah LKS telah terhambur kenyataan yang tidak sepatutnya bukan sekadar boleh merosakkan hubungan dengan pihak Istana bahkan mencerminkan DAP tidak menghormati pengundi Melayu yang bersultan terutama pengundi dari Penyokong PAS dan PKR sendiri. Apakah DAP berhasrat ingin menjadikan Perak sebagai Penang 2? Ingat sepenggal pilihanraya bukan lama, penyokong Melayu PAS dan PKR jangan mudah lupa sikap DAP ini. Memohon maaf dari Sultan tidak cukup, bagaimana dengan pengundi Melayu? Pergi ke istana bukan kerana respek sultan tapi ingin mendapat perkenan. DAP juga harus ingat, bukan semua orang Cina sukakan sikapnya itu.